BAB 15

521 44 4
                                    

“Kenapa masih tak menjadi?” Cemberut muka Hara. Kuih yang dibuatnya dihempas kecewa di atas talam. Diajar pecahkan telur sekali, memang senang. Mahu buat kuih mengikut sukatan bahan yang betul, itu agak susah baginya.

“Belajar sekali tak semestinya menjadi. Usaha lagi.” Ketua dayang menepuk bahu Hara beberapa sekali. Sengaja ingin menyalurkan sedikit rasa semangat.

“Kenapa memasak susah sangat kakak?” rengek Hara. Semalaman dia tidak tidur kerana belajar membuat kuih, tetapi satu pun tidak menjadi. Ada yang terlalu cair, ada yang masin dan ada yang keras. Bila buat bersama-sama ketua dayang, elok pula rasanya.

“Tak susah, cuma Aralyn yang tak mahir sangat. Harus berlatih lagi. Erm lagi satu, jangan panggil saya kakak. Panggil Cik Nara. Bukankah semasa pemilihan dayang, sudah saya cakapkan.” ujar ketua dayang yang dipanggil Cik Nara itu.

“Sekejap... saya peliklah. Saya rasa saya tak pernah nampak kamu.” Cik Nara berfikir seketika. Kebanyakan dayang di istana ini dia ingat wajah setiap orang walaupun nama dia kurang ingat. Namun, tidak pula dia ingat wajah Hara di mana-mana. Sejak akhir-akhir ini barulah dia perasan akan kehadiran Hara.

“Err... Cik Nara lupa kot. Saya dah lama ada dekat sini.” Sedikit cuak Hara membalas. Risau kehadirannya secara mendadak itu diketahui. Raja Rafiq pun terlihat tidak mempunyai sebarang kecurigaan terhadapnya.

“Dah cerah. Aralyn pergi mandi dulu eh? Nanti kena hantar sarapan Tuanku Raja Rafiq pula. Apa-apa pun, terima kasih Cik Nara.” Hara mengukir senyuman manis. Melihat anggukan daripada Cik Nara, Hara segera beredar.

"“Fuh...” Dada yang berdegup kencang diusap. Debar dia lain macam sahaja.

Seusai bersiap, Hara ke dapur semula. Dulang yang mempunyai sepinggan kuih dan teh diangkat menuju ke bilik bacaan.

“Dah macam bersenam setiap hari naik turun ke bilik bacaan.” omel Hara. Pintu bilik bacaan diketuk beberapa kali sebelum masuk ke dalam. Dulang sarapan diletak di atas meja.

“Siapa masak?” tanya Raja Rafiq.

“Jawab tuanku, Cik Nara yang memasaknya. Teh pula patik buat sendiri. Kali ini dijamin sedap.” Hara tersengih sambil tangan kanan diangkat menunjukkan thumbs up.

“Tuangkan.” arah Raja Rafiq. Hara hanya menurut. Setelah siap dituang, Raja Rafiq mencicip sedikit. Agak sedap berbanding sebelum ini. Gula pun diletak secukupnya.

“Macam mana? Sedapkan?” soal Hara.

“Boleh tahan.” Balasan Raja Rafiq buatkan Hara tersengih suka. Aish! Dia sudah pandai buat teh sekarang. Mama dan abinya pasti bangga.

Jayden yang baru masuk ke dalam bilik bacaan menggamit perhatian mereka berdua. Lelaki itu terlihat tergesa-gesa sahaja.

“Tuanku...” Jayden berdeham seketika seakan memberi isyarat kepada Raja Rafiq.

“Ada apa?” tanya Raja Rafiq. Jayden segera mendekat dan membisikkan sesuatu. Selang beberapa saat, Raja Rafiq berdiri seraya mengemaskan fail di atas mejanya. Baru sahaja beberapa langkah dia menapak, suara Hara membuatkan dia pusing kembali.

“Macam mana dengan sarapan ni?” soal Hara.

“Habiskan.” Raja Rafiq terus beredar seusai berkata.

“Baik hati pula.” omel Hara. Dia mencebik seraya duduk di atas kerusi. Orang dah bagi, kita kenalah terima. Lagipun benda yang diberi tidak memudharatkan. Kuih di dalam pinggan diambil satu lalu digigit.

"Sedap juga. Rugi tak makan. Hmph!" ujar Hara. Sebiji lagi kuih dicapai lalu digigit. Tidak sampai sepuluh minit, Hara menghabiskan sepinggan kuih tersebut. Dek kerana terlalu haus, Hara tanpa sedar menghabiskan teh di dalam cangkir yang sudah digunakan oleh Raja Rafiq.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang