BAB 59

576 52 26
                                    

Hara celikkan mata sebaik sahaja bunyi derap kasut menyapa halwa telinga. Bibir digagahkan untuk mengukir senyuman nipis tatkala melihat wajah Raja Rafiq. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat wajah Raja Rafiq sebelum dia mati.

Raja Rafiq diam seketika. Ketat wajahnya memandang seraut wajah pucat Hara. Bibir gadis itu menggelupas teruk dan berdarah walhal hanya dua hari tidak diberi makan serta minum.

“Ada yang menyentuh Puteri Aralyn semasa beta tiada?” tanya Raja Rafiq. Pengawal penjara berpusing menghadap Raja Rafiq.

“Maklum tuanku, tiada sesiapa pun berjumpa dengan Puteri Aralyn setelah dihantar oleh Tuan Jayden.” Jawab pengawal tersebut. Naik hairan Raja Rafiq melihat keadaan Hara. Tidak akanlah luka gadis itu terkena jangkitan sehingga wajah menjadi pucat sebegitu.

“Tuanku... datang untuk menghukum patik?” tanya Hara. Raja Rafiq yang silangkan tangan di belakang badan hanya paparkan mimik muka kosong.

“Dipenjarakan juga termasuk menghukum. Hukuman seperti mana yang yang kamu nantikan? Pancung?”

Hara diam mendengar kata-kata Raja Rafiq. Dia tidak takut dengan hukuman yang bakal menanti diri. Cuma hatinya sakit kerana Raja Rafiq memenjarakan dia tanpa sempat dia jelaskan apa yang yang terjadi.

“Puteri Aralyn... Jujur kepada beta, siapa yang berkomplot dengan kamu? Siapa lelaki itu?” tanya Raja Rafiq. Dia baru teringat Hara ada keluar bersama seorang lelaki ketika identiti Rian belum terbongkar. Sulit sungguh hendak mencari identiti lelaki tersebut walau disiasat berkali-kali.

“Patik tak berkomplot dengan sesiapa, tetapi ada lelaki yang asyik mengganggu patik. Na...nama lelaki itu Hez. Dialah di sebalik semua ini.” Terasa tersekat nafas Hara tatkala sakit di dada menjengah kembali. Semalaman dia menahan sakit itu. Sakit yang sama dirasakan saat terkena racun tempoh hari. Hara yakin Risha menyuntik racun yang sama dengan yang disuntik oleh Hanim.

“Di mana lelaki itu sekarang?” tanya Raja Rafiq lagi. Tidak dipeduli Hara yang sudah bernafas secara tidak teratur. Sesekali gadis itu mengetap gigi.

“Patik tak tahu,” jawab Hara.

“Jangan tipu beta!”

“Tipu...” Hara ketawa berbaur kecewa.

“Tuanku pernah berjanji tuanku akan percayakan patik dan melindungi patik. Namun mengapa keadaan jadi begini?” Kata-kata Hara cukup membuatkan hati Raja Rafiq remuk. Ya, dia pernah berjanji. Tetapi apa yang dia harus lakukan apabila Hara terbukti bersalah? Malah kejadian yang menimpa Risha tempoh hari berlaku di hadapan matanya.

Hara Aralyn membunuh Risha Amanda!

“Benar. Tapi apa yang beta harus lakukan apabila kamu mengkhianati beta? Janji hanya sekadar janji. Pengkhianatan harus dibayar. Apa kamu tahu lelaki yang bernama Hez itu sudah membunuh ayahanda beta?” ujar Raja Rafiq.

Hara mendongakkan kepala memandang Raja Rafiq. Tidak hairan Raja Rafiq terlalu marah mendengar perihal dia berkomplot dengan Hez walaupun hal itu tidak benar. Jika difikirkan kembali, banyak salah yang diletakkan di atas bahunya kerana tuduhan Risha.

“Bertahun-tahun beta mencari lelaki itu. Bertahun-tahun juga beta bergaduh dengan bonda beta kerana lelaki itu! Kamu tahu betapa sakitnya hati beta bila dapat tahu kamu berkomplot dengan lelaki itu? Beta tidak sempat hendak meminta maaf dan menebus segala silap beta kepada bonda beta!” Raja Rafiq menjeda seketika.

“Puteri Hara Aralyn, sanggup kamu lakukan perkara ini kepada beta.” Sambung Raja Rafiq lagi setelah beberapa saat mendiamkan diri. Dia cuba untuk menenangkan emosi yang sudah tidak tentu. Marah dan kecewa bercampur baur dalam diri.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang