Figura Hara yang berjalan ke halaman luar dipandang hairan oleh mereka. Sejak pulang dari Cordinia, bibir gadis itu tidak lepas melorek senyuman. Bila ditanya, tidak dijawab.
“Demam budak tu tak kebah lagi ke?” Areez menyoal. Demam-demam pun senyum dia bukan main. Tak sakit ke pipi?
“Dah kebah. Ni mesti penangan Tuanku Raja Rafiq tempoh hari. Hilang otak tiba-tiba selepas 8 bulan tak bersemuka.” Ujar Zaqif. Kunyahan mangga di dalam mulut, disambung kembali.
“Disahkan.” Sepatah perkataan keluar daripada mulut Hazzar. Tangannya yang bersilang di dada, diluruskan ke bawah. Kemudian, dia berjalan keluar menghampiri Hara yang duduk di birai kolam. Tanpa sepatah bicara, tubuh adiknya itu ditolak ke dalam kolam.
“Dah kenapa pula?” Terkedip-kedip mata Zaqif melihat tindakan Hazzar. Tak ada angin, tak ada ribut, pergi tolak Hara ke dalam kolam.
“Abang! Apa ni?” Jerit Hara. Wajahnya jelas terlihat bengang. Airish yang terkejut, segera melangkah keluar. Beberapa orang jejaka di situ hanya memandang.
“Dah puas senyum?” soal Hazzar. Tangannya naik bercekak pinggang.
“Tak! Sibuk saja abang ni. Senyum pun salah.”
“Senyum tak salah, tapi kalau kau asyik senyum sepanjang hari, itu memang masalah. Meluat dipandang tahu tak?”
“Kalau macam tu jangan pandang.”
“Kalau aku tak pandang pun, kau tetap merayau depan mata aku.”
“Butakan sajalah mata.”
“Hara Aralyn!” Hazzar ketap gigi. Menjawab pula adik bongsunya ini. Tak serik dihumban ke dalam kolam!
“Sudah.... Jangan bergaduh. Ni Hara, apa yang tak kena sebenarnya sampai duk senyum macam tu? Sakit teruk sangat ke?” soal Airish. Bingung melihat keadaan anak bongsunya.
“Mama, Raja Rafiq cakap dia nak kahwin dengan Hara. Lepas tu dia cakap, dia nak datang sini esok. Cukup seminggu tak jumpa!” Teruja Hara berkata. Senyuman lebar menghias bibirnya lagi.
“Seriuslah?” Zaqif melopong. Bukan biasa-biasa ni.
“Seriuslah. Dia sendiri cakap, hari ahad dia nak datang.” Tutur Hara. Bertambah tercenggang Zaqif mendengar kata-kata Hara.
“Hari ini hari ahadlah! Kau tak salah hari ke?”
“Bukan ke hari ni hari sabtu?” Soalan Hara membuatkan Zaqif menepuk dahi.
“Hari ahad! Itulah kau! Angau sampai tak ingat hari.” Bebel Zaqif.
“Abang! Pengawal cakap, kereta Tuanku Raja Rafiq ada dekat luar pagar.” Atilia memberitahu. Gelabah Airish masuk ke dalam. Aih! Hara itu pun satu. Awal-awal tak cakap!
“Raja Rafiq datang?” Teruja Hara bertanya. Mendapat anggukan daripada Atilia, kaki dihayun ingin keluar dari kolam. Belum sempat tangannya mencapai palang besi, kaki Hazzar terlebih dahulu menghampiri wajahnya. Terus Hara berundur selangkah.
“Abang nak tendang muka Hara ke apa?”
“Kalau tak dapat tendang, aku pijak kau sampai lemas. Pergi naik tukar baju. Jaga kelakuan kau depan Tuanku Raja Rafiq.” Ujar Hazzar seraya mengalihkan kakinya. Hara menjeling dengan mulut yang memuncung. Kenapa dia kena jaga kelakuan sedangkan Raja Rafiq sudah masak dengan perangainya? Ada juga yang dikata buang tabiat nanti.
Tuala yang dihulur oleh Atilia diambil lalu Hara mengatur langkah ke bilik. Sempat dia curi-curi lihat ke ruang tamu, namun Raja Rafiq tiada. Mungkin masih di luar.
•••
Seusai menukar pakaian, hiasan di kepala dibuang. Rambut yang masih basah dilap sehingga kering. Kemudian, rambut digayakan seringkas mungkin dan dipakaikan perhiasan kecil.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...