BAB 33

477 50 7
                                    

Jayden mengetuk pintu bilik Hara beberapa kali. Tidak mendengar sebarang sahutan setelah mengetuk sepuluh kali, Jayden memutuskan untuk ke bilik bacaan. Jika terus-terusan mengetuk, bimbang akan mengganggu orang lain pula.

Raja Rafiq pandang Jayden dengan kerutan di dahi. Pelik melihat Jayden membawa segelas air di atas dulang ke bilik bacaannya.

“Maklum tuanku, patik sudah mengetuk pintu bilik Puteri Aralyn banyak kali, namun Puteri Aralyn tidak memberi sebarang petanda ingin membukanya.” ujar Jayden.

“Mungkin Puteri Aralyn tiada di dalam bilik dan keluar bermain.” Raja Rafiq menduga. Selewat ini, kebiasaannya Hara masih belum masuk ke dalam biliknya. Jika tiada di dalam bilik bacaan, maka dia berada di taman.

“Mustahil. Hari ini Puteri Aralyn langsung tidak keluar dari bilik, malahan pintu biliknya berkunci.” jelas Jayden. Tanpa sepatah bicara, Raja Rafiq berlari menuju ke arah bilik Hara. Kunci pendua dicarinya di dalam laci dengan tergesa-gesa.

Sebaik sahaja ia dijumpai, pintu bilik yang didiami oleh Hara laju dibuka. Gelap suasana di dalam ruangan bilik tersebut. Mata Raja Rafiq terarah ke arah langsir yang berkibaran di pintu gelangsar setelah melihat sekilas gerangan Hara yang berbaring membelakangi. Lantas pintu gelangsar ditutupnya.

Saat suis lampu ditekan oleh Jayden. Ruangan bilik yang malap itu berubah menjadi cerah. Raja Rafiq hela nafas sebelum duduk mencangkung dengan sebelah lututnya menyentuh lantai. Wajah pucat dan berpeluh dingin Hara dipandang risau.

“Aralyn... Hei, bangun.” Bahu Hara digoncang sedikit kuat ingin membangunkan gadis itu, tetapi langsung tiada tindak balas daripadanya.

“Puteri Aralyn.” Kali ini bahu Hara ditepuknya pula. Berkerut dahi gadis itu kerana dikacau.

“Abang janganlah kacau. Hara mengantuk. Hara sakit,” ujar Hara tanpa membuka mata. Bibirnya tersebik sedih. Tidak dijangka oleh Raja Rafiq, Hara menarik lengannya lalu dipeluk erat.

Terketap gigi Raja Rafiq seketika. Fokusnya teralih apabila pipi Hara terasa sangat hangat. Tanpa amaran, tangannya naik melekap pada dahi Hara. Ternyatalah, seorang Hara Aralyn sedang mengalami demam panas.

“Jayden, sediakan air di dalam bekas bersama tuala kecil. Bawakan ubat demam sekali.” arah Raja Rafiq.

“Baik tuanku,” sahut Jayden tanpa bantahan. Langkah diatur menuju ke arah dapur.

“Abang... Hara rindukan abi dan mama. Hara nak pulang.” Bibir Hara tersebik lagi, namun bersama esakkan tangisan.

Raja Rafiq terkedu. Mengapa dia tidak memikirkan tentang itu? Hara sudah lama berjauhan daripada ahli keluarganya. Kini, di sini Hara berseorangan dilanda kesedihan akibat perbuatannya.

Mata dipejam seketika menghadam rasa. Selang beberapa saat, ia dibuka semula. Lengan yang masih dipeluk oleh Hara dirungkaikan.

“Tuanku, patik keluar dahulu. Di sini ubat serta tuala basah.” Jayden letakkan barang yang dimahukan oleh Raja Rafiq di atas meja. Setelah itu, dia bergerak keluar dari bilik. Dibiarkan sahaja Raja Rafiq mengurus Hara walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya permasalahan antara dua manusia itu.

Mahu dikatakan saling mencintai, benar mereka saling mencintai. Jayden tidak dapat memikirkan apa yang menghalang mereka untuk bersama selain daripada permasalahan tentang pembunuhan ayahanda Raja Rafiq. Sehingga sekarang dalangnya tidak ditemui memandangkan Tengku Kella pun tidak mahu membuka mulut perihal itu.

Tuala kecil diperah sedikit, kemudian wajah Hara yang dibasahi peluh dingin dilap lembut. Usai itu, tuala dicelup lagi ke dalam air dan diperah. Raja Rafiq hela nafas seketika sebelum tuala tersebut diletakkan di atas dahi Hara.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang