Tidak dihiraukan nafas yang termengah-mengah, Hara mendadak turun dari kuda putihnya. Langkah diatur laju masuk ke dalam istana.
“Eh Hara? Hara dah balik!” Mikaila memeluk tubuh adik bongsunya. Hampir dua bulan tidak melihat, perasaan rindu sudah membuak-buak di dalam diri.
“Kak... semua dekat sini okey ke? Mana Abang Aqeef?” tanya Hara. Mikaila tersenyum nipis seraya mengangguk.
“Semua okey. Abang Aqeef pun baik-baik saja.” Balasan Mikaila buatkan Hara sedikit sebanyak merasa lega.
“Mari masuk. Abi dan mama dah lama tunggu Hara pulang.” ajak Mikaila. Lengan adik bongsunya lantas ditarik masuk ke dalam.
“Hara, anak mama.” Airish laju memeluk anak bongsunya. Hannif tidak ketinggalan memeluk Hara.
“Hara rindu mama dan abi.” Mencebik bibir Hara diselangi esak tangisan. Rindu sungguh akan kedua orang tuanya itu.
“Itulah! Siapa suruh keluar senyap-senyap?” Airish memukul bahu Hara perlahan. Tidak dapat dia luahkan betapa risaunya dia terhadap Hara kebelakangan ini. Hara juihkan bibir. Dipukul pula! Ingatkan mahu cium dia banyak-banyak.
“Jangan buat macam ini lagi lepas ni. Sekarang, ikut abi pergi makan. Baru balik macam ni mesti penatkan?” Hannif mengusap lembut kepala Hara. Tangan anak bongsunya itu dipimpin perlahan menuju ke arah meja makan.
“Mama, abi, mana Abang Aqeef?” Soalan Hara buatkan Airish tidak tentu arah. Mikaila yang duduk tidak jauh daripada mereka cuba memberi isyarat. Entah kesampaian atau tidak.
“Abang Aqeef...” Airish jeda tatkala melihat Aqeef berjalan menghampiri mereka. Hara tanpa kata, terus berlari memeluk Aqeef.
“Abang tak apa-apa bukan? Biar Hara tengok.” Tubuh Aqeef dibeleknya laju.
“Abang tak apa-apalah. Haa... balik pun! Areez kata adik berdegil tak nak balik. Nak tinggal berapa lama lagi dekat sana?” Aqeef berpeluk tubuh acah berjauh hati dengan Hara. Bengang juga dia rasakan apabila mendengar perkhabaran Hara berkeras tidak mahu pulang.
“Entahlah. Sampai selesai agaknya. Abang tahu tak Hara balik kali ini sebab Hara rasa tak sedap hati. Masa Hara kupas epal, jari Hara tercedera. Lepas tu masa Hara nak minum air, gelas pecah. Disebabkan rasa tidak sedap hati ni jugalah seharian Hara ikut Raja Rafiq ke mana-mana sahaja. Terperap dalam bilik bacaan dia tu rasa berpusing kepala.” Hara mendecit di akhir ayatnya. Yang lain sudah terkebil-kebil mendengar cerita Hara. Mengapa mereka tak boleh hadam apa yang diceritakan?
“Ikut Raja Rafiq? Hara buat apa sebenarnya dekat Istana Gynzells?” Aarash bercekak pinggang dengan mimik muka tegasnya. Tidak lama jari jemarinya mahu hinggap di telinga Hara. Biar gadis itu rasakan kerana tidak mendengar kata.
“Kata Tuanku Bonda Permaisuri Kella, Hara ialah dayang kesayangan Raja Rafiq. Hara buat sarapan, hantar makanan, teman Raja Rafiq, kemas bilik bacaan. Itu sajalah yang Hara buat. Tapi... Hara betul-betul buntu tentang anak panah tu. Raja Rafiq tak bagi apa-apa petunjuk langsung.” Terpamer wajah kecewa Hara.
“Wah kau! Tak sampai dua bulan dah jadi kesayangan raja di sana. Kau pakai taktik apa ni?” tanya Zaqif ingin tahu. Jus yang hampir suam diteguknya.
“Nak tahu ke?” Hara jongket kening. Melihat anggukan Zaqif, Hara berdeham beberapa kali.
“Hara goda dia dengan teh dan kuih hasil air tangan Hara.” Mendengar kata-kata Hara, jus yang diteguk Zaqif tersembur keluar dari mulut sebelum dia gelak berdekah-dekah.
“Kenapa ketawa pula? Tak lawaklah! Taktik berjaya tu tahu tak?” Hara mendecit geram. Boleh pula Zaqif ketawakan dia. Yang lain pun dilihatnya sudah tersengih-sengih ingin ketawa. Ada juga yang hanya pamer wajah pelik kehairanan.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...