BAB 14

485 47 6
                                    

Pakaian dirapikan sambil memandang pantulan diri dalam cermin. Hampir sahaja dia bangun lewat hari ini. Semuanya gara-gara tertidur di bilik bacaan semalam. Setelah dibangunkan oleh Raja Rafiq, dia menjadi susah untuk tidur kembali. Akibatnya, memakan masa jugalah mahu tidur semula.

“Bila masa kau balik semalam?” tanya Rylene.

“Pukul tiga pagi macam itulah.”

“Lewatnya... Tuanku Raja Rafiq buat apa dekat kau? Kenapa Tuanku Raja Rafiq panggil kau?” tanya Hanim pula. Hara jongket bahu.

“Entah. Tak ada pula Tuanku Raja Rafiq bagitahu. Semalam aku pergi ke bilik bacaan, tapi Tuanku Raja Rafiq diam saja buat kerja. Aku pun diamlah baca buku dekat hujung bilik bacaan. Tertidur pula tu. Sedar-sedar dah pukul tiga pagi.” jelas Hara.

“Eh? Itu saja? Seriuslah?” Hanim seperti tidak dapat percaya dengan apa yang dikatakan oleh Hara. Tidur dalam bilik bacaan? Lain macam sahaja bunyinya.

“Hmm serius. Aku dah lewat ni. Tuanku Raja Rafiq suruh aku buat teh dan kuih-muih. Aku pergi dulu tau?” Hara meminta diri.

“Buat teh? Sejak bila Aralyn ambil alih tugas ketua dayang dan tukang masak ni?” Hanim kerutkan dahi. Hanya ketua dayang yang dibenarkan untuk memasak hidangan dan membuat minuman untuk Raja Rafiq. Lain pula jika Raja Rafiq makan bersama-sama keluarganya.

“Jangan-jangan Aralyn bakal dinaikkan pangkat.” Rylene menekup mulut dengan mata membulat seusai berkata. Jika benarlah, itu memang luar biasa.

Hara mengacau acuan kuih mengikut buku resepi. Dari mana dia mengambil buku tersebut pun dia tidak tahu. Ada juga seorang dua dayang memerhatikannya sekilas.

Hairan ada Hara yang turut memasak di dapur. Ketua dayang tidak pula memarahinya. Kebiasaannya, tukang masak yang sama sahaja diberi tugas untuk memasak. Peraturan di dapur amatlah ketat.

Sebiji telur dicapai. Hara berkira-kira mahu memecahkannya bagaimana. Dia jarang hendak ke dapur kerana sibuk bermain dan berlatih bersama Kapten Hans. Kalau ke dapur pun, kerjanya hanyalah makan dan mengacau sesiapa yang sedang memasak.

Pak!

Terpercik ke merata tempat lendir telur tatkala dipukul oleh Hara. Adakah patut dia pukul kuat-kuat seperti sedang tampar orang? Hanim sudah ternganga melihatkan itu.

“Ya Tuhan... Aralyn pandai memasak ke tak sebenarnya ni? Habis bersepah dapur dia buat.” ujar Rylene. Rilaila di sebelah buat muka menyampah.

“Nampak sangat Aralyn tu bodoh. Orang macam ini ke yang tuanku pilih untuk buat sarapan?” kata Rilaila.

“Rilaila, jaga mulut kamu. Kesalahan besar jika kamu perlekehkan tuanku.” tegas kedengaran nada ketua dayang membuatkan Rilaila menelan air liur kelat. Manalah dia berani hendak memperlekehkan Raja Rafiq. Tidak fasal-fasal kepalanya terpisah dari badan.

“Berlatih pedang lagi senang daripada memasak. Susahnya!” rengus Hara. Kulit telur dicampak kasar ke dalam tong sampah.

Ketua dayang mengambil sebiji telur lalu mangkuk ditarik mendekat. Hara dipandang dengan senyuman nipis.

“Mahu pecahkan telur, perlu dibuat perlahan-lahan. Ketuk sedikit sahaja pada mangkuk, kemudian buka.” ujar ketua dayang sambil memperlihatkan cara memecahkan telur.

“Macam tu... Terima kasih kakak cantik.” sengih Hara. Hanim menekup mulutnya akibat terkejut dengan tindakan berani Hara memanggil ketua dayang sebagai kakak cantik manakala ketua dayang pula berdeham kekok.

“Perhatikan bicara kamu dan kerjakan tugas kamu dengan serius.” ujar ketua dayang sebelum berjalan pergi.

Hara cuba memecahkan telur sekali lagi. Terlompat kecil dia dengan tawa riang apabila telur tersebut berjaya dipecahkan dengan baik. Cepat sungguh dia dapat mempelajarinya.  Usai memecahkan telur, Hara mengacau adunan kembali.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang