Melihat tompokan darah segar pada wajah Hez, hatinya dirundung rasa resah. Bukankah tadi Zaqif yang berlawan dengan lelaki itu? Sekarang, Zaqif baik-baik sahaja bukan?
“Hez... lepaskan kami. Hentikan semua ni!” Pinta Kapten Hans bernada separuh merayu. Daripada reaksi Hez, dia tahu adiknya itu masih keras kepala dan nekad. Entah bagaimana dia boleh melunturkan kemahuan adiknya itu.
“Abang, aku bagi kau satu lagi peluang. Ikut aku dan tinggalkan mereka. Kita bangunkan Gynzells sama-sama. Hancurkan pembunuh ibu dan ayah kita!”
Kata-kata Hez dibalas gelengan oleh Kapten Hans. Tidak mungkin! Dia tidak akan bekerjasama untuk memusnahkan orang yang tidak bersalah.
“Hez.... Hez tahu tak, rakyat Gynzells dan istana inilah yang ayah lindungi dengan nyawanya sendiri. Dan Hez nak hancurkannya macam tu saja? Ibaratkan Hez sia-siakan nyawa serta perjuangan ayah selama hidupnya.” Lembut Kapten Hans berkata. Masih lagi cuba untuk memujuk adiknya itu.
“Tapi, disebabkan mereka jugalah ayah kita mati! Mereka aniayai ayah kita!”
“Tidak. Itu memang tugas ayah untuk lindungi raja serta rakyat yang tidak bersalah. Ay....”
“Diamlah! Abang selalu bela mereka macam tu. Tengoklah diri abang sekarang! Abang jadi tentera macam ayah. Suatu hari nanti, jika abang dianiayai, tanggunglah sendiri! Nyawa abang, milik abang. Bukan milik mereka mahupun lelaki tak guna tu!” Bergenang air mata Hez menuturkan kata-katanya. Pedih apabila abangnya itu tidak mahu membela dirinya malah membela orang luar yang tiada pertalian darah.
Pandangan mata dikalihkan ke arah Raja Rafiq yang sedang nyawa-nyawa ikan. Tidak dijangka Hara dan Kapten Hans, Hez menendang kuat dada Raja Rafiq sehingga Raja Rafiq serta Hara jatuh ke lantai.
“Kau ikut aku!” Secara paksa, Hara ditarik berdiri. Kapten Hans mula berasa cemas. Dia tidak dapat menjangkakan apa tindakan adiknya. Cik Nara dan Jayden didudukkan bersandar pada dinding.
“Hez, lepaskan Puteri Hara.” Suruh Kapten Hans. Hez menarik bibir membentuk senyuman sinis.
“Kenapa aku patut dengar cakap kau? Bukan ke kau sendiri nak jadi musuh aku? Berkali-kali aku bagi peluang, tapi kau tolak.” Tangan kiri di sisi dikepal kuat.
Tidak sempat Kapten Hans mahu membuka mulut, dia tercenggang melihat Hara menggigit lengan Hez dan menendang tubuh Hez. Lelaki itu sudah mengaduh kesakitan dengan muka berkerut.
“Puteri keluarlah berlindung. Patik akan lindungi tuan puteri daripada dia,” ujar Kapten Hans. Hara lekas memapah tubuh Raja Rafiq dan berjalan keluar. Sempat dijeling Hez. Geram akan lelaki itu kerana telah melunyaikan Raja Rafiq.
“Kau memang dah tak sayangkan aku, Hans. Kau abang paling kejam!” Jerit Hez. Bengang dengan tindakan abangnya yang menghalang dia daripada menangkap Hara. Semua rancangannya bakal hancur disebabkan Hara dan Kapten Hans!
“Sebab abang sayangkan Hez, abang buat macam ni. Perbuatan Hez sejak awal dah salah. Hez salah faham.”
“Hez benar! Abang yang salah!” Jerit Hez. Dada Kapten Hans ditampar geram. Di hadapan Kapten Hans, dia memang bagaikan seorang budak kecil. Mahu mencederakan Kapten Hans pun tidak tergamak kerana dia terlalu sayangkan abangnya itu.
“Abang harap Hez sedar dan Hez ingat kembali macam mana situasi ketika itu. Abang sentiasa sayangkan Hez. Semua tindakan abang bukan untuk menghukum Hez malah untuk membawa Hez dahulu pulang.” Ujar Kapten Hans. Dia tetap beriak tenang walaupun air matanya hampir menitis.
Hez diam tidak berkata. Air mata yang berjuraian di pipi dilap kasar. Lemah betul dia di hadapan Kapten Hans.
“Hez juga sayangkan abang. Tapi kenapa abang tak percayakan Hez?”
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasía[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...