BAB 30

582 51 12
                                    

Jayden letakkan beberapa keping sampul coklat di atas meja. Sesekali matanya memandang ke arah Raja Rafiq yang diam meneliti lembaran fail. Bibir bergerak kecil, teragak-agak ingin berkata.

“Tunggu apa lagi? Tak nak buat kerja yang diberi?” tegur Raja Rafiq.

“Bu...bukan. Maklum tuanku, hari ini Puteri Aralyn telah keluar istana sejak petang. Sekarang sudah gelap, namun Puteri Aralyn masih belum pulang.” ujar Jayden.

“Apa? Keluar? Dia keluar atas urusan apa?” Wajah serius Raja Rafiq berubah risau. Di luar sudah tidak selamat. Risau pula Hara ke hutan untuk bertemu dengan Rian.

“Itu patik tidak tahu, tetapi dia turut membawa kudanya sekali.” Mendengar kata-kata Jayden, pen dicampak ke atas meja. Raja Rafiq bergegas berjalan menuju ke bilik Hara. Tombol pintu dipulas beberapa kali, namun tidak juga berjaya membuka pintu.

“Carikan kunci!” arah Raja Rafiq. Jayden segera menurut. Sementara menunggu Jayden mencari kunci, Raja Rafiq mundar-mandir seketika. Dia risau Hara membuat keputusan untuk pulang ke Florensia tanpa memberitahunya. Jika benar begitu, entah apa yang akan terjadi pada hari-hari seterusnya dalam kehidupan dia.

Sebaik sahaja Jayden tiba dengan kunci di tangan, Raja Rafiq lantas membuka pintu. Bilik Hara tidaklah suram malah cerah diterangi cahaya melalui pintu gelangsar.

“Selamat malam daripada Nia yang cantik!” Suara burung kakak tua Hara kedengaran. Raja Rafiq berasa sedikit lega. Untuk memastikan Hara benar-benar tidak pergi, almari pakaian Hara dibuka. Pakaian Hara masih berada di dalamnya.

Raja Rafiq menghela nafas mengah. Dia terduduk lega di atas sofa. Jayden hanya diam di hadapan muka pintu. Tidak faham mengapa Raja Rafiq bereaksi seperti itu.

“Buat apa dekat sini?” tanya Hara. Langkah diatur masuk ke dalam biliknya. Hairan melihat Jayden dan Raja Rafiq di dalam biliknya. Mahu menggeledah atau apa?

Tanpa sebarang bicara, Raja Rafiq berdiri. Tangan Hara ditarik lalu Hara dipeluknya erat. Mata terpejam dengan nafas yang masih termengah-mengah. Jayden pula menarik tombol pintu untuk menutup pintu. Hal sebegitu tidak patut dilihat oleh orang lain supaya tidak menimbulkan sebarang khabar angin.

“Tuanku ke...kenapa?” Terkebil-kebil Hara dengan pipi yang sudah memerah. Pelukan Raja Rafiq cuba dirungkaikan. Dia tidak pernah berada sedekat itu dengan lelaki asing atau lelaki yang tidak mempunyai pertalian darah dengannya.

“Kamu ke mana sahaja tadi? Beta risau... Dekat luar sudah tidak selamat. Jangan keluar lagi, boleh tak?” Nada Raja Rafiq tenang walaupun dia masih dilanda rasa cemas.

“Patik keluar jalan-jalan dekat pasar.”

“Kenapa tidak memaklumkan kepada beta terlebih dahulu?” tanya Raja Rafiq.

“Bukankah tuanku mahu mengelakkan diri daripada berjumpa dengan patik? Patik hantar sarapan, tuanku tidak mahu. Jadi, patik malas hendak kacau tuanku lagi. Pergilah dengan kesibukan tuanku itu.” ujar Hara seakan berjauh hati.

“Dungu! Beta benar-benar sibuk beberapa hari ini. Tentang anak panah itu, beta masih belum mendapat apa-apa maklumat terbaru. Jujur beta katakan, beta sudah buntu hendak mencarinya bagaimana lagi. Orang yang lakukan perkara itu betul-betul licik dan teliti.” tutur Raja Rafiq. Masalah yang difikirkan benar-benar mengganggu dirinya sehingga kepalanya menjadi sakit.

“Duduk dulu.” Lengan Raja Rafiq ditarik supaya lelaki itu duduk kembali. Usai itu, Hara berjalan menuju ke arah pintu biliknya. Tombol dipulas perlahan. Nasib baiklah Jayden masih berada di situ.

“Jayden, boleh tak tolong buat teh untuk kami?” pinta Hara.

“Baik tuan puteri.” Jayden akur. Dia segera beredar dari situ. Hara menutup pintu kembali lalu punggung dilabuhkan di atas sofa.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang