Celik sahaja mata, pandangan mata Hara dihiasi dengan sepuluh orang 'abang-abangnya'. Pula tu semuanya sedang bercekak pinggang sambil menatap tajam ke arahnya. Ada juga yang sedang memaparkan mimik muka tidak berpuas hati.
“Apa pandang-pandang? Ada hutang?” tanya Hara selamba.
Tidak semena-mena telinganya ditarik oleh Mikaila. Berkerut mukanya menahan sakit. Ini kali pertamanya, dia kena tarik telinga dengan Mikaila. Sudah geram sangat barangkali.
“Kau ni... Dah lama tak jumpa, masih buat perangai eh? Kali ini bukan main-main lagi buat perangainya. Kau tunggu aku denda kau nanti macam mana.” Naim beredar pergi seusai berkata. Bengang dia mendengar tentang Hara ke Gynzells.
“Tak takut!” Hara buat muka. Dari posisi berbaring, dia mula duduk. Tanpa mempedulikan pandangan tajam abang-abangnya yang lain, dia berdiri pula.
“Abang, angkat Hara. Lemahnya tubuh ni...” Hara letakkan tangan di dahi dengan wajah acah-acah tidak berdaya. Mata memandang ke arah Aqeef yang beriak kosong. Drama sekejap! Biar abang kesayangannya itu turuti permintaannya.
“Malas,” sepatah dibalas Aqeef sambil tangan dibawa menyilang di dada.
“Alaa... Sakitnya!” Baru sahaja tubuh mahu dibuat-buat jatuh, tangan seseorang terlebih dahulu menarik dirinya. Lantas, tubuh Hara dicempung tanpa sepatah kata.
Mata Hara membulat melihat wajah yang tidak dikenalinya. Dengan misai tebal dan janggut tidak dicukur. Rambut pula panjang hampir mengena bahu. Wuish! Pak cik mana pulalah sesat dalam istana ni?
“Huwargh! Abang! Tolong! Abang! Pak cik ni nak culik Hara! Abang! Abi! Mama! Kakak! Pak usu! Pak long! Tolong Hara!” jerit Hara. Panik dia dibuatnya apabila tiada seorang pun bergerak menolongnya malah gelak ketawa yang dia dengar.
“Woi diam!” Keras kedengaran suara Hazzar. Pergh! Sakit telinga dia mendengar Hara menjerit sebegitu. Sudahlah suara nyaring! Fikir sedap didengar?
Hara terus menekup mulut. Mimik muka sedih ditayang. Terkejut dia mendengar suara Hazzar. Suara abang-abangnya mana pernah meninggi seperti itu.
“Tadi nak sangat abang angkat. Lepas dah angkat, melalak pula. Bising!” Bebel Hazzar.
“Yang disuruh abang! Bukan pak cik miang sesat!” Kaki dihayun ke bawah dan ke atas mahu diturunkan. Puas dia meronta, Hazzar tetap tidak menurunkannya.
Tiba sahaja di hadapan ruang tamu, tubuh Hara dihempaskan di atas sofa. Aqeef hanya memandang mereka dengan senyuman menghias wajah. Biarlah Hazzar pula yang mengurus Hara. Biar dia rasakan bagaimana rasanya melayan perangai manja tak kena tempat Hara.
“Eh sakitlah!” Dengus Hara dengan muka cemberut. Hazzar tidak hiraukannya malah berjalan pergi.
Selang beberapa saat, Hazzar kembali dengan tuala basah di tangan. Lantas tuala basah itu dilapkan pada wajah Hara. Gadis itu hanya diam dengan muka cemberut. Dia benar-benar tidak berpuas hati ketika ini. Mngapa seseorang yang asing dan tidak dikenalinya melayan dirinya sebegini?
Tangan Hazzar ditepis geram. Gigi diketap dengan mimik muka dibuat marah. Lama dia memandang tajam seraut wajah Hazzar. Lelaki itu hanya memberi reaksi kosong sahaja.
“Apa pandang-pandang? Ada hutang?” Hazzar mengulang soalan Hara tadi.
“Ingat comel buat muka macam tu? Lepas ni kurangkan sikit manja dan mengada-ngada tu.” Tutur Hazzar lagi.
“Huh!” Hara mendengus seraya berpaling ke arah Hannif.
“Abi... Siapa dia ni? Sesuka hati saja buat Hara macam ni! Abi jangan cakap abi cari bakal suami untuk Hara... Rupa macam ni? Seriuslah? Raja Rafiq lagi kacak tahu tak? Da...” Tidak sempat Hara habiskan bebelannya, Hazzar menyumbat roti ke dalam mulut.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantastik[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...