Tangan yang memeluk lengan Raja Rafiq dipandang sekilas. Fikirnya tadi sudah mahu pulang. Tidak disangka pula Raja Rafiq membawanya ke tempat lain. Padang yang dipenuhi tumbuhan berbunga dan juga rumput terbentang di hadapan mata. Entah mengapa Raja Rafiq membawanya ke sini. Dia ikutkan sahaja.
Coat yang dipakai oleh Hara dikemaskan sedikit sebelum dia duduk di atas bangku yang tersedia. Hara turut melabuhkan punggung di sebelah Raja Rafiq. Matanya memandang kawasan sekitar yang gelap dan hanya diterangi cahaya bulan.
“Kita buat apa dekat sini?” tanya Hara. Wajah Raja Rafiq dipandang ingin tahu.
“Ambil angin. Bukan selalu dapat keluar,” jawab Raja Rafiq.
“Iya ke bukan selalu? Semasa menyamar dahulu bukan ke tuanku selalu saja keluar bersama patik walaupun sebagai Rian?” Hara silangkan tangan di dada dengan mata yang memincing.
“Masa itu, salahkan kamu yang buatkan beta asyik mahu ikut kamu ke mana-mana.” Nada Raja Rafiq jelas tidak berpuas hati.
“Apa maksud tuanku dengan ikut patik ke mana-mana? Tuanku risaukan patik? Cakaplah sejak bila tuanku sukakan patik.” Teruja Hara menyoal.
“Jangan perasan sangat beta risaukan kamu. Beta curiga kamu lakukan apa sewaktu di luar.”
“Ish! Jawablah soalan terakhir patik tadi sekali,” gesa Hara.
“Tidak mahu.”
“Jawablah...” Jari-jemari mencucuk bahu Raja Rafiq beberapa kali. Sengaja ingin mengganggu Raja Rafiq sehingga Raja Rafiq membuka mulut tentang perkara yang ditanya.
“Tidak mahu.” Raja Rafiq masih berkeras tidak mahu menjawab. Mimik muka dibuat comel Hara benar-benar membuatkan jantungnya berdetak hebat. Gadis itu kadang-kadang secara tidak sedar pun terbuat muka comel. Apatah lagi jika dia sengaja membuatnya.
“Jawablah tuanku yang kacak lagikan menawan. Patik sangat menyayangi tuanku. Jadi, jawablah soalan patik.” Hara sengih. Bawa keluar ayat mengampu sekali!
“Tengok sana.” Raja Rafiq menunding ke hadapan. Serentak itu Hara menoleh dan mulutnya mula ternganga kecil melihatkan beratus ekor kunang-kunang berterbangan di atas rumput. Tidak dia menyangka pula kehadiran kunang-kunang di situ.
Raja Rafiq menoleh memandang ke arah Hara. Gadis itu terlihat suka dan teruja sahaja. Tangan Hara dicapai lalu digenggam erat.
“Saat beta menjadi seorang Rian si penjaga hutan, bukankah kita pernah melihat kunang-kunang bersama? Saat itulah beta jatuh hati kepada seorang gadis yang katanya sedang mengembara. Mata gadis itu bersinar-sinar dan dia tampak sungguh cantik. Terlalu cantik sehinggakan beta tidak dapat melarikan pandangan beta daripada menatap seraut wajahnya.” Ujar Raja Rafiq.
Hara berasa berdebar-debar mendengarkan itu. Dalam masa yang sama dia terharu. Raja Rafiq menaruh hati terhadapnya sudah sekian lama dan dia pula entah sejak bila. Mungkin ketika dia cuba menambat hati Raja Rafiq?
“Patik janji, patik tak akan sesekali tinggalkan tuanku walaupun patik berada jauh daripada tuanku. Mulai sekarang, hati patik sepenuhnya milik tuanku.” Tutur Hara. Jari telunjuk dan ibu jari dicantumkan membuat bentuk hati seraya mata dikenyit ke arah Raja Rafiq. Lelaki itu tersenyum suka melihat tingkah Hara.
“Puteri Hara Aralyn,” panggil Raja Rafiq. Hara diam menunggu bicara seterusnya, tetapi mata masih menatap seraut wajah tampan Raja Rafiq.
“Beta... sayangkan kamu,” tuturnya Raja Rafiq. Serentak itu bunga api pelbagai warna mula menghiasi langit malam. Bertambah lebar senyuman Hara tatkala itu.
“Patik juga sayangkan tuanku,” balasan Hara membuatkan Raja Rafiq turut tersenyum lebar.
•••
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasía[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...