Sejumlah 200 orang tentera berpakaian khas berbaris di hadapan istana. Mereka lengkap membawa senjata serta memakai pakaian perlindungan. Melihat sahaja kelibat Raja Rafiq menghampiri bersama Jayden, mereka lekas memberi tunduk hormat selayaknya tunduk hormat seorang tentera kepada raja.
“Hormat kepada tuanku!” Kuat kedengaran suara mereka berkata secara serentak.
“Kali ini istana diserang secara mendadak. Beta ada tugas untuk kamu semua. Beta harap kamu semua tidak mengecewakan beta dan melakukan tugas-tugas yang diberi sebaik mungkin serta seikhlas hati.” Ujar Raja Rafiq. Dia menjeda seketika sambil mata meliar memandang tentera-tentera yang berbaris kemas di hadapannya.
“Memandangkan dayang-dayang beta banyak yang tercedera parah, beta memerlukan beberapa orang daripada kamu untuk menggantikan tempat para dayang tersebut. Beta juga akan menyingkirkan dayang-dayang yang tidak tercedera dan yang sedang berkerja bagi 'membersihkan' kawasan istana daripada mata-mata pihak musuh. Selebihnya daripada kamu semua akan mengambil alih kerja pengawal istana dan berjaga di kawasan berkenaan.” Sambung Raja Rafiq.
“Kami pasti akan lakukan dengan sepenuh hati kami, tuanku!” jawab mereka. Tentera yang terdiri dari pasukan khas pastilah yang paling hebat. Saat berperang, mereka berada di baris hadapan sekali. Ini baru sedikit yang tampil di istana, selebihnya mestilah berlatih dan berkawal di kem tentera.
Raja Rafiq berjalan pergi setelah itu. Jayden pula masih berada di situ bagi mengatur tugas-tugas yang diberi mengikut perancangan Raja Rafiq. Kecederaan yang dia alami tidaklah terlalu parah. Hanya tangan kanan sedikit patah dan akan membaik setelah beberapa minggu.
Masuk sahaja ke dalam istana, kawasan sekeliling dipandang. Dayang-dayang yang tersisa hanya beberapa orang saja sedang bekerja. Ahli keluarganya pula, hanya Ediana yang terselamat. Itu pun disuruh jangan pulang ke istana kerana dikhuatiri istana akan diserang lagi.
Beberapa minit dia memandang, langkah diatur ke arah anak tangga. Belum sempat satu kaki naik di atas tangga, Raja Rafiq berhenti. Dia dapat mendengar ada seseorang berlari ke arahnya agak laju.
Saat derap kasut itu semakin dekat kedengaran, Raja Rafiq menoleh. Riak wajahnya kosong walaupun dia dapat melihat seorang dayang berlari ke arahnya dengan memegang sebilah pisau.
Laju tubuh bergerak ke tepi mengelak serangan tersebut. Namun, dayang itu tidak berputus asa. Dia masih cuba menikam Raja Rafiq menggunakan pisau yang dipegang. Setiap serangannya berjaya dielak, tetapi Raja Rafiq tidak boleh berterus-terusan mengelak sahaja. Kaki diangkat lalu dilayangkan ke arah tangan dayang tersebut sehinggakan pisau terjatuh ke lantai.
Masih tidak berputus asa, berbekalkan kemahiran yang ada dayang tersebut cuba menumpaskan Raja Rafiq. Tidak menunggu lama, Raja Rafiq menendang bahagian perut dayang tersebut membuatkan dayang tersebut berundur beberapa langkah.
“Pengawal! Tahan dia!” Kuat suara Raja Rafiq kedengaran memberi arahan.
Segera dua orang pengawal datang menahan dayang tersebut. Bahu ditekan, memaksa dayang tersebut melutut walaupun dayang itu meronta-ronta mahu dilepaskan.
“Siapa yang menghantar kamu ke sini?” tanya Raja Rafiq.
“Walaupun patik terpaksa mati di tangan tuanku, patik tidak akan sesekali memberitahu tuanku!”
“Masukkan ke dalam penjara dan desak dia bongkarkannya menggunakan apa cara sekalipun.” Tutur Raja Rafiq dengan tangan yang dikepal kuat. Disebabkan oleh mata-mata pihak musuh di dalam istananya inilah, bondanya meninggal!
Dahulu dia tidak mengambil tindakan kerana bimbang mereka akan menyerang dan fikirnya mata-mata yang bersembunyi cumalah sedikit. Namun tidak! Hampir 65 peratus dayang-dayang di istananya ialah pengkhianat!
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasi[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...