Berang sekali mimik muka Hazzar ketika ini. Dia terlambat! Terlambat untuk membawa Hara pulang dengan selamat. Aqeef di sebelah mengepal tangan. Silapnya kerana mempercayai Raja Rafiq. Sekarang, persoalannya kenapa Raja Rafiq mahukan Kapten Hans? Dia tidak mengerti.
“Mana Hara?” tanya Areez. Zaqif dipandangnya tatkala Aqeef dan Hazzar tidak memberi tanda-tanda ingin menjawab. Nafas dihela lalu Zaqif gelengkan kepala.
“Raja Rafiq meminta pertukaran. Dia mahukan Kapten Hans. Kemudian, baru dia akan beri Hara.” Ujar Zaqif.
“Haa?” Bingung Areez mendengar kata-kata Zaqif.
“Hara dalam tawanan Raja Rafiq. Zaqif rasa ada sesuatu yang teruk berlaku dekat sana. Sekarang, tunggu Kapten Hans datang untuk jelaskan segala-galanya dan kenapa Raja Rafiq mahukan Kapten Hans.” Ujar Zaqif lagi. Areez ketap gigi. Inilah yang dia rasa mahu mengamuk ni. Kalau tahu jadi macam ini, dia tidak akan lepaskan Hara pergi.
“Raja Rafiq, mahu bermusuh dengan Florensia?” Ternaik hujung bibir Areez. Dia mendecit bengang akan tindakan Raja Rafiq. Licik sungguh mempermainkan perasaan Hara! Entah bagaimana keadaan gadis itu ketika ini.
Aarash hanya diam mendengar. Ada sesuatu yang harus dia lakukan setelah ini. Sekarang dia perlu bertenang dan tidak bertindak melulu agar dia dapat mencari kebenarannya. Ada benarnya juga kata-kata Zaqif, sesuatu telah terjadi di Gynzells.
Bukannya dia tidak mendengar berita daripada pengintipnya bahawa Istana Gynzells telah diserang banyak kali. Namun kebelakangan ini, mengapa dia tidak mendengar khabar berita daripada pengintipnya itu?
Bunyi derap kasut seakan sedang berlari menghampiri, menggamit perhatian mereka. Wajah tenang Kapten Hans menyapa pandangan mata. Lelaki itu memberi tanda hormat seketika lalu memandang ke hadapan.
“Ada apa-apa yang patik boleh lakukan?” tanya Kapten Hans. Mikaila di satu sudut sudah tidak dapat duduk diam. Ada sesuatu yang tidak kena!
“Raja Rafiq minta Kapten Hans ke Gynzells sebagai pertukaran Hara.” Tajam mata Hazzar memandang Kapten Hans sambil menuturkan kata. Lelaki itu masih lagi beriak tenang seolah-olah tidak terkesan atau terkejut mendengar kata-katanya. Sahlah, Kapten Hans tahu sesuatu.
“Sebenarnya, kenapa Raja Rafiq mahukan kapten?” tanya Aqeef bernada tenang.
“Rasanya...” Teragak-agak Kapten Hans ingin menjelaskan situasi sebenar kerana dia juga tidak pasti selagi dia tidak menemui gerangan yang membuat masalah itu.
“Jelaskan kepada kami, kapten.” Suruh Hazzar. Dia tidak mampu bersabar lagi. Sebolehnya dia mahu keluarganya dalam keadaan selamat walaupun berada jauh daripada mata.
“Hez, adik patik. Wajahnya seiras dengan patik bagaikan kembar, tetapi kami bukan kembar. Rasanya Hez yang buat masalah di sana sehinggakan Tuanku Raja Rafiq berasa marah.” Ujar Kapten Hans. Itu apa yang dia rasakan sahaja.
Perbualannya bersama Hara beberapa bulan yang lepas menyatakan bahawa Hara bertemu dengannya di Gynzells, namun dia tidak pernah keluar dari Florensia. Hanya ketika waktu kecil dia menetap di Gynzells. Semenjak berumur 15 tahun, dia sudah berpindah ke Florensia dan menjadi penduduk tetap.
“Tapi kenapa adik kapten buat masalah?” Zaqif menyoal.
“Mungkin dia masih belum lupakan amarah lama. Jika dia buat masalah dengan Istana Gynzells, tidak lain tidak bukan tentang bapa patik yang mati terbunuh ketika menjalankan tugas. Hez fikir semua tu salah Raja Raqin, raja Gynzells sebelum Raja Rafiq.” Kapten Hans menjeda seketika.
“Kata Hez, dia melihat ibu kami dihalau keluar oleh para pengawal istana apabila cuba menghalang bapa kami. Malangnya ibu kami terjatuh dan dadanya tertusuk pedang yang dipegang oleh pengawal istana. Lain yang terjadi, namun lain yang ditafsirkan Hez. Dia kemurungan akibat terlalu sedih.” Cerita Kapten Hans.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...