“Hacum!” Kuat kedengaran Hara bersin di dalam biliknya. Wajah Raja Rafiq dipandang dengan sengihan. Cemberut sahaja wajah lelaki itu ketika ini. Marah agaknya.
Jayden membawa dua gelas coklat hangat. Lantas, gelas tersebut diletakkan di hadapan Hara dan Raja Rafiq. Baju di bahagian pergelangan Raja Rafiq, Hara tarik beberapa kali.
Raja Rafiq hanya menjongketkan kening sebagai pertanyaan 'Apa?'. Tiada angin dia mahu mengeluarkan suara. Hara terlalu degil dan sekarang ini Hara sudah selesema. Mana dia tidak geramnya? Kalau dirinya sahaja yang selesema tidak mengapa. Tetapi Hara, dia tidak suka melihat gadis itu sakit.
“Tuanku... janganlah buat muka macam tu. Dah tak menawan,” ujar Hara sekadar memujuk. Raja Rafiq tetap sahaja mendiamkan diri.
“Aih! Macam mana nak pujuk ni? Marah pula. Nak pujuk budak kecil lagi senang berbanding pujuk seorang kekasih.” getus Hara dalam hati. Mungkin dia boleh pakai cara memujuk kanak-kanak? Cuba sajalah!
Poket gaun digagau mencari sesuatu. Jumpa sahaja, barangan tersebut terus dikeluarkan, kemudian dihulur kepada Raja Rafiq. Hara sengih dan tayang muka comelnya.
“Janganlah marah lagi,” tutur Hara. Dia berharap Raja Rafiq menerima gula-gula yang dihulur olehnya. Sudahlah gula-gula berwarna merah dan biru itu merupakan gula-gula kegemarannya.
“Ambillah...” rengek Hara. Hampir pasrah dia ingin memujuk Raja Rafiq. Namun saat gula-gulanya diambil oleh Raja Rafiq, Hara terus melorek senyuman suka. Yes!
“Jangan marah lagi, okey?” kata Hara. Wajah Raja Rafiq yang masih muram membuatkan Hara menghela nafas. Ingatkan dah ambil gula-gula, marah Raja Rafiq berkurang. Rupa-rupanya marah dia masih lagi sama.
“Eish! Macam mana ni? Haa!”
Seakan mentol muncul di atas kepala, Hara tersengih. Teringat pula saat-saat Raja Rafiq pasrah akan permintaannya tempoh hari. Hanya dengan panggilan 'sayang' hatinya mencair seperti ais. Mungkin dia boleh cuba cara kedua ini.
“Sa...” Nafas disedut dengan keterpaksaan tatkala Hara berasa mahu bersin semula. Memang tak kena masa sungguh bersin datang!
“Hacum!” Terhambur jua bunyi bersinnya. Tisu ditarik sehelai kemudian hidung dilap.
“Dasar kau hidung! Diam kau!” dengus Hara dalam hati. Dia berdeham seketika membetulkan anak tekak. Cuba sekali lagi...
“Sa... Say... Hacum!” Hara terasa mahu menangis tatkala cubaan keduanya tidak berjaya. Dengan pasrah kepala dijatuhkan ke belakang. Bibir tersebik sedih sambil memandang Raja Rafiq. Lelaki itu langsung tidak menoleh malah menghirup coklat panas tanpa menghiraukannya.
“Tuanku sayang yang kacak lagikan menawan. Baby, manja, darling dan segala panggilan manja. Pandanglah Aralyn,” kata Hara. Terus tersembur air coklat yang berada di dalam mulut Raja Rafiq. Jayden di belakang menggeleng kepala berkali-kali seraya berundur pergi. Meremang bulu romanya mendengar kata-kata Hara.
“Janganlah marah patik lagi.” Muka sedih dibuat-buat comel dengan harapan agar Raja Rafiq tidak marah lagi. Dia mahu mendengar suara lelaki itu. Bukannya terus membisu seperti dia tidak wujud sahaja.
“Puteri Aralyn...” Raja Rafiq hela nafas seraya memandang ke arah hadapan seketika.
“Patik tahu apa yang tuanku mahu cakap. Tapi, patik tak apa-apa bukan sekarang? Selesema sedikit saja.” Baju di bahagian lengan Raja Rafiq ditarik dan digoyang.
“Beta cuma tidak mahu kamu sakit. Selesema ni mungkin nampak macam tiada apa-apa pun, tetapi beta tidak suka. Selepas ini, dengar cakap beta. Jangan cuba mencari penyakit lagi.” Ujar Raja Rafiq. Hara angguk dengan sengihan. Walaupun dia tidak dapat menjamin, namun dia akan cuba. Asalkan Raja Rafiq maafkannya.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...