BAB 16

503 49 4
                                    

Asap rokok dihembus keluar. Sungguh dia berasa buntu dan keliru saat ini. Jayden yang baru masuk ke dalam bilik bacaan dipandang. Lelaki itu melabuhkan punggung di atas kerusi tatkala disuruh.

“Apa yang kamu dapati? Ada yang mencurigakan?” tanya Raja Rafiq.

“Ada seorang lelaki iaitu salah seorang pengawal Raja Izshah, pergi berjumpa dengan Cik Aralyn dekat halaman istana. Mengikut kata-kata orang yang ikuti Cik Aralyn, dia terdengar perbualan Cik Aralyn. Katanya Cik Aralyn datang ke istana ini atas sebab ada urusan melibatkan abangnya, Putera Aqeef. Dipujuk pulang pun Cik Aralyn tak nak.” jelas Jayden.

“Putera Aqeef... Tak ada yang lain dah?”

“Tiada tuanku. Itu sahaja.”

“Pergi siasat tentang Putera Aqeef. Apa yang terjadi kepadanya baru-baru ini.” arah Raja Rafiq.

“Baik tuanku.” Jayden segera pergi. Raja Rafiq kembali memandang ke arah tingkap. Raut wajahnya jelas menunjukkan dia sedang buntu.

Tadi ketika Izshah tiba, dia memanggil bondanya turut serta sekali bagi tujuan mengumpan memandangkan bonda dialah salah satu punca dendamnya. Namun tiada reaksi seakan rapat mahupun kenal lama pula. Raja Rafiq tidak dapat mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Berkenaan Hara pula, Raja Rafiq masih tidak tahu apa sebenarnya tujuan Hara datang ke Istana Gynzells. Mempunyai niat jahat atau tidak terhadapnya. Kalau benarlah apa yang dikatakan oleh Jayden tadi, mengapa urusan berkaitan Putera Aqeef boleh buatkan seorang Puteri Hara Aralyn tiba di Istana Gynzells? Terlalu banyak persoalan yang bermain di benak fikiran Raja Rafiq.

Sebenarnya siapa yang menjadi punca kematian ayahandanya, Raja Raqin selain daripada bondanya? Dia semakin meragui bahawa Izshah terlibat dalam perkara ini.

“Kenapa ajak bonda bertemu Raja Izshah?” Suara Tengku Kella kedengaran. Dia berjalan ke tepi Raja Rafiq.

“Takkanlah masih syak bonda bersepakat dengan Florensia untuk membunuh ayahanda anakanda?” ujar Tengku Kella lagi.

“Jika bonda masih tak membuka mulut, maka anakanda terpaksa terus mengesyaki bonda dan orang-orang yang terlibat.” Puntung rokok dimasukkan ke dalam bekas abu. Wajah Tengku Kella dipandang serius. Tidak faham dia mengapa bondanya itu ingin menyembunyikan perihal kematian Raja Raqin sedangkan dirinya sendiri pun sudah disyaki.

“Bonda sudah katakan bonda tidak terlibat. Meskipun bonda tahu siapa pelakunya, bonda tetap tidak akan memberitahu anakanda.” Tengku Kella melangkah ingin pergi, namun pertanyaan Raja Rafiq menghentikan langkahnya seketika.

“Siapa dia? Orang yang mempunyai hubungan sulit dengan bonda.”

“Jika bonda beritahu, bukankah bonda sedang membongkarkan segala-galanya?” Melihat Raja Rafiq terdiam, Tengku Kella beredar dari situ. Tidak kisah bagaimana sekalipun Raja Rafiq menggugut atau memujuk dia, dia tidak akan memberitahu walau sedikit pun maklumat.

“Tak guna!” dengus Raja Rafiq. Jika dia tidak memikirkan Tengku Kella ialah bondanya, sudah lama dia sumbat wanita itu ke dalam penjara walaupun dia tiada bukti. Cuma sekarang... tanpa Tengku Kella tiadalah orang yang akan menjaga adik bongsunya.

“Argh!” jeritan seseorang kedengaran. Selang beberapa saat kedengaran pula bunyi sesuatu jatuh. Raja Rafiq alih pandangannya ke arah luar tingkap. Mata digulingkan sebelum kepala digeleng tatkala melihat Hara di bawah sebatang pokok tidak jauh dari tingkap yang didudukinya. Apa lagilah gadis itu tengah buat?

“Eh... Kucing tertinggal dekat atas.” Hara menepuk dahinya lalu memanjat naik ke atas pokok semula. Terjatuh, tetapi lupa membawa kucing sekali. Sia-sia sahaja dia jatuh.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang