Biskut yang baru dibakar diletakkan di atas piring berhati-hati. Hara tersenyum manis melihat biskut buatannya. Tangan bergerak menuang madu perlahan-lahan supaya tidak dituang berlebihan.
“Buat apa?” bisik Raja Rafiq dari arah belakang. Hara menoleh lalu menjeling.
“Tak serik lagi dipukul dengan sudip?” Hara berpeluk tubuh. Mujur sahaja kali ini dia tidak terkejut. Kalau dia terkejut, alamatnya dulang yang masih ada biskut di atasnya itulah yang akan jadi barang untuk memukul Raja Rafiq.
“Dungu.” Dahi Hara diketuk menggunakan bahagian atas pelipat jari telunjuk. Kerusi ditarik ke tepi Hara lalu Raja Rafiq labuhkan punggung.
“Ini buat apa?” tanya Raja Rafiq. Matanya terarah ke arah biskut yang dibuat oleh Hara.
“Biskut,” jawab Hara sepatah.
“Untuk sarapan beta?”
“Jangan perasanlah. Lagipun takkanlah tuanku nak makan biskut saja untuk sarapan?” Hara turut labuhkan punggung di sebelah Raja Rafiq. Tangan disilang dan diletak di atas meja.
“Apa jangan perasan? Cakap baik-baik. Cubit mulut tu nanti.”
“Cubitlah kalau berani.” cabar Hara. Raja Rafiq memandang sekelilingnya. Jepit kain yang berada di atas meja diambil, kemudian mulut Hara dikepitnya. Terkebil-kebil gadis itu.
“Lima minit. Jangan berani buang selagi tak sampai jam enam pagi. Kalau kamu buang sebelumnya, tunggulah denda daripada beta.” Raja Rafiq memberi amaran.
“Mmmmm!”
“Ha? Beta tak fahamlah.” Tangan diletakkan ke belakang telinga acah-acah tidak mendengar dengan jelas. Sengaja ingin membuat Hara berasa marah dan geram.
“Menjengkelkan! Tak guna!” marah Hara dalam hati. Buang masa juga jika dia bergumam sesuatu yang tidak difahami Raja Rafiq. Jelingan tajam diberi. Bersabar sahajalah mampu.
Raja Rafiq mengambil sebiji biskut. Lantas, biskut itu dimasukkan ke dalam mulut. Beberapa saat dia mengunyah, mata terpandang ke arah Hara yang cemberut memerhati jam. Bibir spontan mengukir senyuman suka.
Tangan yang hendak mengambil sebiji lagi biskut laju dipukul oleh Hara menggunakan sudip. Raja Rafiq memandang tidak berpuas hati. Kenapa tiba-tiba dia dipukul pula?
“Apa?” tanya Raja Rafiq, bernada lembut. Hara tunjuk biskut yang dibuatnya, kemudian jari telunjuk digoyang. Bahasa isyarat pun jadilah. Asalkan difahami.
“Bahan-bahannya semua dari istana beta. Milik beta juga. Beta ada hak ke atas biskut ini.” ujar Raja Rafiq. Sebiji biskut diambilnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Boleh tahan sedap juga biskut hasil air tangan Hara.
Hara mengembungkan pipi. Geramnya sudah memuncak. Tangan dirasakan gatal sahaja ingin memukul Raja Rafiq. Kepala dipalingkan ke arah bertentangan. Mengapa lima minit terasa lambat sangat berlalu? Bibirnya sudah kebas dikepit oleh jepit kain.
Mata Hara membulat tatkala Raja Rafiq selamba mencucuk pipinya menggunakan jari telunjuk. Kepala dipaling ke arah Raja Rafiq perlahan-lahan, berharap apa yang dirasanya itu hanyalah angauan. Namun, ternyata ianya benar. Jari telunjuk Raja Rafiq masih berada di pipinya.
Selang beberapa saat, Raja Rafiq mencapai sebiji lagi biskut dan dimasukkan ke dalam mulut. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, Raja Rafiq mengunyah biskut itu dengan sneyuman nipis.
“Sedap,” komen Raja Rafiq. Jepit kain pada bibir Hara dibuka perlahan lalu diletakkan ke tepi. Belum sempat Hara mengatakan sepatah perkataan, Raja Rafiq terlebih dahulu menyumbat sebiji biskut ke dalam mulut Hara.
![](https://img.wattpad.com/cover/243212026-288-k606731.jpg)
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasía[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...