BAB 57

470 51 10
                                    

Berkerut wajah menahan kesakitan. Tangannya terasa sangat sakit setelah jatuh ke bawah. Agaknya sudah patah dihempap tubuh sendiri. Hara berdiri dengan susah payah. Dia perlu beredar secepat yang mungkin kerana dia tidak tahu dengan apa lagi yang dia akan bertemu nanti. Sekumpulan orang berpakaian hitam itu pun dia yakin masih berada berdekatan dengannya.

“Tak guna punya ular. Kau takutkan aku mengalahkan hantu,” gumam Hara perlahan. Kalau dia ada pedang, mahu sahaja dia potong-potong ular itu kemudian bagi makan buaya! Geram betul! Tak pasal-pasal dia mendapat sakit.

Tiba sahaja di tepi jalan konkrit yang disinari lampu jalan, Hara tersenyum lega. Rasa mahu menangis sahaja dirinya ketika ini kerana menjumpai jalan pulang. Entah sejauh mana lagi dia perlu berjalan untuk sampai di Istana Gynzells.

“Akhirnya kami jumpa tuan puteri,” satu suara kedengaran dari arah belakang. Hara menoleh memandang gerangan tersebut.

“Tak guna,” gumam Hara. Dia memang tidak dapat melarikan diri kali ini dengan kaki yang masih berdarah ditusuk duri. Hendak membuang duri itu sendiri, dia tidak berani.

Tiga orang lelaki berpakaian hitam itu berjalan menghampiri Hara. Jika tadinya lebih 20 orang, kini hanya tiga. Berpecah mungkin?

“Kau nak apa daripada aku?” tanya Hara.

“Ketua mahu kami membawa tuan puteri pulang bersama kami,” jawab salah seorang daripada mereka. Hara kemam bibir seketika. Sudah tiada cara untuk dia melarikan diri kecuali dia melawan mereka bertiga. Namun, tangan kanannya sudah tercedera. Bagaimana dia mahu melawan mereka bertiga?

“Okey, aku akan ikut. Tetapi salah seorang perlu papah aku. Kaki aku tercedera,” ujar Hara. Matanya turun memandang kaki yang masih berdarah seketika.

“Baiklah.” Salah seorang daripada mereka maju untuk memapah Hara. Saat lelaki itu ingin memaut lengan, Hara laju merampas pedang yang masih dipegang oleh lelaki itu.

Malam ini... jika dia tidak kuat melawan, maka riwayatnya akan tamat. Jika dia berjaya, maka dia dapat meneruskan perjalanan.

Serentak pedang ditarik, ia terus diseret ke tubuh ketiga-tiga lelaki tersebut sehingga meninggalkan luka calar pada bahagian perut. Nafas Hara sedari tadi tidak keruan. Rasa penat yang menghurung diri membuatkan dia berasa hendak pitam.

Ketiga-tiga lelaki itu masih tidak rebah malah merenung tajam seakan ingin menyerang. Mungkin seretan pedang tadi tidak berapa kuat. Jadi, luka yang ditinggalkan tidaklah begitu dalam.

Melihatkan mereka bertiga ingin mara untuk menyerang, Hara libas pedangnya sekali lagi. Terasa seperti mahu terkehel pergelangan tangan kirinya menampung berat pedang, Hara terus melibas tanpa henti. Dia perlu membalas setiap serangan yang dilakukan oleh tiga lelaki itu.

Berdesing kedengaran bunyi lagaan dan geseran pedang di jalan konkrit yang sunyi sepi itu. Hara bernafas mengah dengan badan yang terbongkok apabila ketiga-tiga lelaki itu berjaya ditumpaskan.

Tidak menunggu lama, kaki dihayun ke depan. Sedikit terhuyung-hayang tubuhnya bertongkatkan pedang yang dipegang. Hara nekad ingin pulang ke Istana Gynzells jikalau pun dia akan kehilangan kaki.

Tubuh tersungkur jatuh akibat lelah yang teramat. Hara mendesis kesakitan setelah lututnya tercedera kerana bergeser dengan jalan konkrit. Kaki digagahkan kembali untuk berdiri.

Langsung tiada kenderaan yang lalu-lintas. Berbekalkan cahaya lampu jalan, dalam keadaan hujan lebat sebegitu Hara terus berjalan.

•••

Resah Raja Rafiq rasakan. Dia tidak berhenti berjalan mundar-mandir menunggu kepulangan Hara. Guruh yang berdentum dengan kilat yang memancar langsung tidak mengganggu dirinya. Mata tidak lepas daripada memandang pintu pagar.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang