“Hah?” Terbangun Raja Rafiq daripada duduk. Wajah Jayden dipandang terkejut.
“Kamu tak salah cakap bukan?” tanya Raja Rafiq menginginkan kepastian. Jayden geleng.
“Tidak. Sekarang Puteri Aralyn sudah melepasi pintu masuk Gynzells. Dalam beberapa minit lagi, Puteri Aralyn akan tiba di istana ini.” ujar Jayden.
“Atas urusan apa Puteri Aralyn datang ke sini?”
“Itu patik tidak tahu, tetapi Puteri Aralyn masuk ke Gynzells melalui prosedur yang betul dan lengkap. Namun peliknya dia hanya datang dengan sebuah kereta bersama dua orang pengawal.” ujar Jayden.
Raja Rafiq terdiam. Dia bimbang jika Hara duduk terlalu lama di Gynzells, situasi akan menjadi tidak terkawal kembali. Paling dirisaukan, Hara akan cedera lagi. Dia berharap kedatangan Hara kali ini hanyalah untuk seketika.
“Nampaknya Puteri Aralyn sudah tiba.” Tutur Jayden melihatkan sebuah kereta hitam berada di hadapan pagar istana. Deringan telefon di atas meja kedengaran. Raja Rafiq memberi isyarat supaya Jayden mengangkat panggilan tersebut.
“Ya?” Jayden menunggu beberapa saat menanti pengawal istana selesai menuturkan kata-kata. Wajah Raja Rafiq dipandang.
“Tuanku, Puteri Aralyn minta kebenaran untuk masuk atas alasan datang melawat.” Ujar Jayden. Raja Rafiq mengangguk memberi keizinan.
Usai itu dia berjalan turun ke bawah untuk menyambut kedatangan Hara. Seperti biasa, kedua belah tangannya diletakkan di belakang badan. Mata tidak teralih daripada memandang kereta yang sudah memasuki perkarangan istana.
Tidak lama kemudian, sepasang kasut yang agak dikenalinya keluar dari perut kereta. Selang beberapa saat, Hara yang tersenyum manis menjamah matanya. Penampilan gadis itu langsung tidak berubah melainkan rambut yang kemas diurus dan dipakaikan sedikit perhiasan ringan.
“Puteri Hara Aralyn menyapa tuanku.” Tutur Hara dengan kepala yang sedikit menunduk, memberi hormat.
“Selamat datang ke Gynzells, Puteri Aralyn.” Tutur Raja Rafiq pula. Senyuman manis di bibir Hara masih lagi tidak hilang. Sekuntum bunga matahari yang disembunyikan di belakang badan dibawa ke depan. Kemudian, ia dihulur kepada Raja Rafiq.
“Hadiah pertemuan kembali,” ujar Hara. Raja Rafiq menyambut huluran itu dengan sedikit kerutan di dahi. Tidak pernah-pernah dia menerima hadiah berupa sekuntum bunga matahari. Hara Aralyn memanglah lain daripada orang lain.
“Terima kasih. Masuklah,” pelawa Raja Rafiq.
“Apa kata kita duduk dekat sana? Cuaca petang ini agak cantik,” cadang Hara. Tidak sempat Raja Rafiq mahu membalas, Hara terlebih dahulu berjalan ke arah halaman tepi. Punggung dilabuhkan di atas kerusi sambil mata meliar memandang sekeliling. Tiada apa-apa pun berubah setelah sebulan berlalu.
Raja Rafiq turut melabuhkan punggung di atas kerusi. Isyarat tangan diberi agar dayang-dayang serta pengawal yang mengekorinya beredar dari situ. Jayden pula dibiarkan terpacak di belakangnya.
“Eh, pergilah tunggu dekat kereta.” Suruh Hara kepada dua orang pengawal yang mengikutinya. Risau pula mereka akan mendengar perbualannya lalu melaporkan kepada orang-orang di Istana Florensia.
Paling ditakutinya, sudah pasti Aarash. Hannif dan Aryyan hanya akan memanjakan dirinya dan menasihatinya dengan lembut. Jika berhadapan dengan Aarash, sudah pasti telinganya dipiat dan dia diberi hukuman. Tidak ketuk ketampi sebanyak seratus kali, berdiri di halaman selama tiga jam tanpa bergerak. Sudah macam bapa tiri kejam lagaknya!
“Kenapa Puteri Aralyn tergerak hati mahu datang melawat Istana Gynzells? Bukankah Puteri Aralyn masih dalam tempoh yang memerlukan rehat?” ujar Raja Rafiq. Hara menggeleng.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantastik[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...