Risha di sebelah dipandang dengan senyuman sinis. Sudah terlalu lama gadis itu bersembunyi dan kini gadis itu berada di hadapannya untuk sempurnakan rancangannya.
“Kau sudah jumpa di mana tempat letaknya wasiat serta cap mohor Istana Gynzells?” tanya Hez. Risha mengangguk mengiakan. Teruja air mukanya memandang seraut wajah Hez, lelaki dambaan hatinya.
Dia... obses akan Hez sehingga sanggup tikam belakang seluruh ahli keluarganya. Berpura-pura sakit mental walhal dirinya cukup sihat.
“Kalau aku tak jumpa, aku takkan keluar lagi dari istana tu.” Ujar Risha. Lengan Hez dipeluk kemas.
“Baguslah. Aku tugaskan kau untuk bunuh abang kau, Rafiq si raja tak guna tu! Cap mohor serta wasiat, bawakan kemari sekali setelah itu.” Hez memberi arahan. Risha hanya mengangguk dengan senyuman. Tahulah dia bagaimana mahu laksanakannya.
Lelaki itu pasti akan terkejut apabila mendapat tahu dirinya dikhianati oleh adik kesayangan sendiri. Hez ketawa mengejek dengan senyuman sinis tatkala membayangkannya. Pasti merana sekali keadaan Raja Rafiq.
“Masa untuk kau angkuh bakal tamat Rafiq. Apa yang aku mahukan akan menjadi milik aku tidak kira bagaimana sekalipun.” Gumam Hez.
“Tuan...” Salah seorang anak buah Hez menghampiri. Hez segera memberi isyarat agar Risha keluar seketika untuk memberi ruang kepada dia membincangkan perkara penting.
Sebaik sahaja Risha hilang daripada pandangan mata, Hez memandang anak buahnya semula. Jika perkara yang hendak dibincangkan berkaitan dengan Hara, Hez perlu berhati-hati di hadapan Risha. Sudah tahu gadis itu obses akannya, tidak akanlah mahu tunjuk dia sukakan Hara pula? Tidak pasal-pasal gadis itu berniat ingin tikam belakangnya dan membunuh Hara.
“Ada perkhabaran Puteri Aralyn sudah pulang ke Istana Gynzells dan tiga rakan kami terbunuh di atas jalan. Terdapat kesan luka akibat pedang pada tubuh mereka. Mungkin mereka bergelut dengan Puteri Aralyn.” Jelasnya setelah memastikan Risha telah pun keluar dari bilik yang didiami oleh Hez.
“Perempuan tu memang bijak.” Hez menggeleng seraya ketawa kecil. Dia akui Hara agak licik kerana dapat melarikan diri daripadanya setiap kali diculik. Dahulu, fikirnya Hara cumalah seorang gadis yang polos serta nakal. Namun tidak disangka pula jadi seperti ini.
“Tunggu sajalah aku dapat cap mohor dan wasiat tu... Saat itu aku tak perlu menculik kau lagi,” tutur Hez. Dia nekad untuk memiliki Hara. Tentang Risha pula, sudah pastilah dia akan hapuskan gadis itu setelah semua yang dia inginkan tercapai agar tidak mengganggunya dan Hara nanti.
“Aku ada rancangan baru...” tutur Hez lagi sambil memandang anak buahnya.
•••
Bunyi batuk melengking-lengking di dalam bilik. Airish duduk di birai katil seraya mengusap pipi Hannif. Sesekali dia memerah tuala dan mengelap leher Hannif yang dibasahi peluh dingin.
“Masih sejuk?” tanya Airish. Tangannya menggenggam erat tangan kanan Hannif. Dia risau dan dia takut..... Takut untuk kehilangan Hannif.
“Sedikit,” balas Hannif. Senyuman payah dilorek.
Comforter ditarik ke dada. Airish mengusap tangan Hannif agar kekal hangat. Bunyi ketukan pada pintu menggamit perhatian Airish. Lekas dia berdiri dan membuka pintu. Wajah Raissa menyapa pandangan matanya.
“Hazzar dah balik,” tutur Raissa. Dada Airish mula berdegup kencang. Diri dihurung rasa sebak yang mendalam.
Hazzar merupakan kembar Mikaila. Sudah bertahun-tahun tidak pulang ke istana kerana dihukum oleh Hannif, menetap di kem berhampiran sempadan dan belajar untuk menjadi tentera yang tegas.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasia[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...