“Duduklah. Makan dulu,” suruhnya. Hara akur dan duduk, namun matanya tidak lepas daripada memandang ke arah lelaki itu. Apa niat yang tersembunyi di sebalik kebaikan lelaki itu? Hara tidak mengerti.
Luka sudah dirawat, diberi makan pula. Hidangan makanan pun terlihat agak mewah dengan buah-buahan dan ayam panggang. Terliur juga Hara melihat ayam panggang kegemarannya itu. Sudah beberapa bulan lidah tidak menyentuh serta merasa daging ayam panggang.
“Kau letak racun?” Soalan Hara disambut dengan ketawa kecil daripada lelaki itu.
“Untuk apa aku letak racun? Untuk bunuh kau? Jangan risau, aku tak letak. Kalau betul aku nak bunuh kau, aku akan bunuh kau ketika kau tak sedarkan diri tadi.”
“Manalah tahu kau nak aku jadi alat uji racun.” Hara buat andaian.
“Kau boleh percaya aku soal makanan ni. Aku takkan bunuh kau sebab kau bakal isteri aku. Makanlah,” suruhnya lagi. Tangan disilangkan di dada sambil badan disandarkan pada kerusi.
Teragak-agak Hara ingin menjamah makanan yang terhidang. Sudahnya dia mencapai sebiji anggur hijau sajalah. Ayam panggang boleh jumpa lagi jika dia selamat keluar dari sini.
Melihat sebilah pisau di tepi epal, Hara mengukir senyuman kecil. Dia sudah mendapat idea bagaimana mahu keluar dari tempat ini. Kalau berhasil, dia akan selamat. Jika situasi tidak mengikut perancangannya, nahaslah dia.
Hara berdiri perlahan-lahan dengan senyuman di bibir. Kehairanan lelaki itu sambil kepala sedikit terdongak memandang Hara. Fikir lelaki itu, tindakan Hara agak pelik. Gadis di hadapannya ini panjang akal dan bijak. Pasti ada sesuatu yang sedang dirancang.
“Kau cakap...” Hara menjeda seketika. Tangannya lembut naik mengurut bahu lelaki tersebut yang berlapik pakaian. Kalau boleh dia tidak mahu lakukannya pun, tetapi demi rancangannya, dia sanggup.
“...aku bakal isteri kau bukan?” sambung Hara.
“Hmm.” Lelaki itu angguk disertakan deheman. Hara ukir senyuman sinis. Dengan lajunya tangan mencapai pisau di sebelah epal lalu dihunuskan pada leher lelaki itu. Lengan kiri pula menahan hadapan leher lelaki itu supaya lelaki itu tidak bertindak untuk melarikan diri.
“Kepala otak kau isteri kau! Nikahlah dengan kerbau!” hambur Hara. Lelaki itu hanya beriak tenang.
“Kaulah kerbau tu.” Panas pula hati Hara mendengar balasan daripada lelaki itu. Akibat terlalu geram, kepala lelaki itu dipukulnya kuat sehingga kepala lelaki itu terteleng seketika.
“Tak guna! Kau ikut aku sekarang.” Dipaksakan lelaki itu berjalan mengikutinya. Beberapa orang anak buah lelaki itu sudah berjalan mendekat dengan mengacukan senjata.
“Abaikan kami. Perempuan ni cuma ajak bermain. Kalian semua pergi berjaga di pintu hadapan,” ujar lelaki itu. Tajam mata Hara memandang lelaki itu dan anak-anak buahnya yang beransur pergi.
“Bermain? Kau ingat aku tak boleh bunuh kau ke?” dengus Hara. Lelaki itu tidak membalas, sebaliknya dia mencengkam pergelangan Hara yang memegang pisau lalu badannya dipusingkan berhadapan Hara. Tersentak Hara dengan tindakan itu.
“Kau pula ingat aku tak boleh lawan kau ke? Kita pernah berlawan di hutan Florensia... dan kau tahu kau tak boleh lawan kekuatan aku.” ujarnya sinis. Pisau yang tadinya dihunus lehernya sendiri kini beralih di leher Hara. Tiada niat dia hendak mencederakan, hanya mahu Hara diam akan posisinya saat ini.
“Mati sekalipun akibat berlawan dengan kau, aku takkan menyesal! Aku akan habiskan kau hari ini juga untuk balas dendam bagi pihak abang-abang aku!” Hara menyiku perut lelaki itu seusai berkata.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...