BAB 38

548 61 11
                                    

“Apa yang kamu dapati?” soal Raja Rafiq. Tubuh disandarkan pada kerusi. Matanya tidak lepas memandang Jayden dan ketua tentera bahagian siasatan.

“Maklum tuanku, gua itu mungkin tempat persembunyian mereka. Ada beberapa jenis senjata yang kami temui di sana dan salah satunya merupakan senjata yang tuanku sedang siasat.” ujar ketua tentera tersebut. Anak panah serta busur diserahkan kepada Raja Rafiq untuk dilihat.

Seketika ruangan itu sunyi tanpa bicara. Mata Raja Rafiq fokus meneliti setiap ukir bentuk dan jenis bahan yang digunakan untuk membuat anak panah tersebut.

“Memang sebijik dengan yang tiruan. Nampaknya mereka tidak jauh daripada kita. Arahkan tentera untuk menggeledah hutan. Cari mereka sampai jumpa.” ujar Raja Rafiq.

“Baik tuanku. Jika sudah tiada apa-apa, patik beredar dahulu.” Mendapat isyarat daripada Raja Rafiq, dia terus berjalan pergi dari situ.

“Jayden, hantarkan surat tentang kecederaan Puteri Aralyn kepada Istana Florensia.” arah Raja Rafiq. Jayden buntangkan mata.

“Tuanku pasti? Entah apa yang mereka akan buat jika mereka tahu tentang kecederaan Puteri Aralyn.”

“Jika kecederaan Puteri Aralyn disembunyikan, mereka mungkin akan anggap kita berniat jahat terhadap Puteri Aralyn. Khabarkan sahaja berita tentang kecederaan Puteri Aralyn.” Raja Rafiq berdiri lalu berjalan ke arah sofa. Dokumen yang terletak di atas meja diambilnya lalu dibelek.

Mendengar ketukan pada pintu, Jayden segera menghampiri ia. Lantas pintu dibuka dan tersembul wajah seorang dayang.

“Okey, pergilah.” balas Jayden setelah mendengar kata-kata dayang tersebut. Langkah diatur menuju ke arah Raja Rafiq semula.

“Kata dayang tadi, Puteri Aralyn sudah sedarkan diri.” Maklum Jayden. Tanpa bicara, Raja Rafiq bergegas pergi ke bilik yang dahulu Hara tinggal. Pintu yang dibuka secara mengejut menggamit perhatian Hara serta seorang dayang yang berada di dalam bilik tersebut.

“Jangan bangun, nanti kepala sakit.” Tegah Raja Rafiq saat melihat Hara ingin mengubah posisi baringnya kepada duduk. Sementara itu, Jayden di belakang memberi isyarat kepada dayang yang berada di dalam bilik itu untuk beredar. Kemudian, pintu bilik ditutup meninggalkan mereka bertiga sahaja.

“Lapar tak?” tanya Raja Rafiq seraya duduk di birai katil.

“Tak,” jawab Hara sepatah. Jika dia boleh menggeleng, pasti dia tidak akan mengeluarkan suara. Dia masih lagi geram dan berjauh hati tentang apa yang berlaku sebelum ini antara Raja Rafiq dan dirinya.

“Kalau macam tu, minum air sikit.” Penyedut minuman di dalam gelas disua ke hadapan mulut Hara. Perlahan-lahan Hara menyedut air sambil mata memandang sepasang mata Raja Rafiq. Rindu pula mahu memandang wajah Raja Rafiq. Lelaki itu pula laju memandang ke arah lain.

Usai minum, gelas diletak di atas meja kembali. Hara memandang siling putih bilik yang dihuninya. Dapat dia mengenal pasti di mana dia berada ketika ini. Nafas dihela perlahan. Ingatkan sudah tidak akan kembali ke sini lagi.

“Masih sakit lagi tak?” tanya Raja Rafiq. Hara menoleh dengan bibir terjuih. Mimik muka ingin menangis dipamer. Buang ke tepi sekejap Hara yang kuat. Dia mahu menangis! Sudah lama tidak mengadu kesakitan kepada seseorang.

“Jangan ditanya! Sakit tau! Huwaa...” Wajah ditekup. Matanya sudah lama panas ingin mengeluarkan air mata, akhirnya terhambur jua.

Raja Rafiq menggeleng manakala Jayden mengetap bibir menahan tawa. Duhai mulut, tahanlah tawamu seketika! Perangai Hara tidak ubah seperti budak kecil berusia lima tahun.

“Siapa suruh menghilang? Kata nak balik ke Florensia, tapi kamu pergi ke gua itu pula. Sekarang tengok apa yang jadi.” bebel Raja Rafiq, geram. Punyalah dia cemas sampai mengerahkan pengawal istana untuk mencari Hara di seluruh Gynzells.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang