BAB 35

521 52 10
                                    

Jayden menghampiri Raja Rafiq dalam keadaan sedikit termengah-mengah. Puteri Enna yang baru sahaja habis menghirup teh meletakkan cawan di atas meja. Matanya tidak lepas memandang Jayden yang sedang mengatur nafas.

“Ada hal apa Jayden?” tanya Raja Rafiq.

“Maklum tuanku, pengawal yang mengekori Puteri Aralyn keluar mengatakan bahawa dia sudah kehilangan jejak Puteri Aralyn. Sudah berjam-jam dia mencari di seluruh kawasan pasar yang dilalui, namun tidak dijumpai.” Ujar Jayden membuatkan Raja Rafiq mula berasa tidak tenang.

“Puteri Aralyn keluar atas urusan apa?”

“Kata pengawal yang berjaga di pintu keluar, Puteri Aralyn keluar berjalan-jalan. Kuda dan burung kakak tuanya pun dibawa sekali. Lagi... Puteri Aralyn bawa satu beg. Patik tidak pasti apa isinya.” jelas Jayden.

“Mungkin Puteri Hara sudah dalam perjalanan pulang ke Florensia.” Andaian Puteri Enna mengejutkan Raja Rafiq dan Jayden.

Raja Rafiq bingkas berdiri. Langkah laju diatur menuju ke bilik Hara. Jayden dan Puteri Enna pula terkocoh-kocoh mengikutinya.

Ini sudah kali kedua Raja Rafiq menggelabah memeriksa jika barangan Hara masih berada di dalam bilik yang dihuni olehnya. Almari pakaian dibuka. Pakaian milik Hara masih ada membuatkan Raja Rafiq menghela nafas lega.

Punggung dilabuhkan di birai katil dengan helaan nafas. Keningnya berkerut tatkala terpandangkan sehelai kertas bertulis di atas meja. Lantas, kertas tersebut diambil dan dibacanya.

'Tidak perlu mencari patik. Patik pulang dahulu. Semoga tuanku selalu bahagia. Selamat tinggal.'

Raja Rafiq telan air liur. Kepala ditunduk dengan mata yang sudah terpejam rapat. Perkara inilah yang dia mahukan, tetapi sungguh berat untuk melepaskan Hara pergi. Lama dia berdiam sehingga menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri Puteri Enna. Teragak-agak ingin bertanya, namun rasa ingin tahu seakan memaksa.

“Apa yang terjadi?” tanya Puteri Enna. Raja Rafiq dipandang, kemudian pandangan dialihkan ke arah Jayden apabila Raja Rafiq tiada tanda-tanda ingin menjawab. Jayden geleng lalu memberi isyarat supaya Puteri Enna keluar. Nampaknya Raja Rafiq perlu menenangkan diri. Jika dikacau lagi, bimbang pula Raja Rafiq akan mengamuk.

“Kenapa?” bisik Puteri Enna setelah keluar.

“Melihatkan reaksi Tuanku Raja Rafiq, rasanya Puteri Aralyn telah pulang. Puteri Enna sendiri tahu betapa sayangnya tuanku kepada Puteri Aralyn bukan?” ujar Jayden. Puteri Enna mengangguk kecil.

“Ini bermakna semuanya telah selesai bukan?” tanya Puteri Enna lagi.

“Benar Puteri Enna,” jawab Jayden. Sesekali dia memandang ke arah pintu bilik. Lama lagikah Raja Rafiq akan keluar?

“Jayden!” Suara Raja Rafiq kedengaran. Jayden laju berjalan masuk ke dalam semula.

“Kirim orang untuk tanya pengawal yang berjaga di pagar sempadan dan juga pintu besar sempadan sama ada Puteri Aralyn sudah melepasinya atau belum.” arah Raja Rafiq.

“Baik tuanku.” Jayden segera beredar.

Kau kenapa Rafiq? Bukankah ini yang kau mahukan supaya dia selamat? Tapi, kenapa semuanya terasa sukar? Semangat seolah-olah hilang. Aralyn... kenapa kamu tidak mengucapkan selamat tinggal secara bersemuka?” Raja Rafiq memegang dadanya yang terasa berat.

Dia mahu menangis, namun dia perlu menahannya. Dia tidak boleh terlihat lemah hanya disebabkan perkara ini malahan dia perlu merasa lega kerana Hara jauh daripada ancaman bahaya.

Petang berganti malam. Raja Rafiq masih lagi menunggu khabar berita daripada Jayden. Beberapa kali dia termenung. Bilik bacaannya penuh dengan memori Hara sebelum ini. Setiap sudut yang dipandang, di setiap sudut itulah dia terbayangkan telatah Hara ketika berada di sini.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang