Senyuman lebar tidak lekang dari bibir Hara. Sesekali dia memandang wajah Raja Rafiq yang berjalan di sebelahnya. Masing-masing berada di dalam mood yang baik kerana hari ini merupakan hari pertama mereka secara rasmi menjadi pasangan kekasih.
“Tuanku...” suara Hara menghentikan langkah Raja Rafiq. Lelaki itu menoleh memandang ke arah Hara dengan mimik muka biasanya. Hanya senyuman nipis menghiasi bibir. Jika disenyum lebih lebar seperti kemarin, seram pula dirasakan Hara. Lain macam sahaja senyumannya.
“Hm?” Deheman diberi menanti bicara daripada Hara. Gadis itu melangkah ke hadapannya. Tangan yang sedari tadi bersilang di belakang tubuh, dihulur ke hadapan.
“Nak apa?” tanya Raja Rafiq.
“Rantai permohonan maaf semalam.” Tutur Hara dengan sengihan. Raja Rafiq mengagau poket seluarnya. Selang beberapa saat, satu kotak baldu berwarna merah jambu dikeluarkan lalu diberi kepada Hara.
Tidak menunggu lama, Hara mengeluarkan seutas rantai berwarna perak. Dahinya berkerut memerhati loket kecil berbentuk daun.
“Kenapa daun? Kenapa tak beli yang bentuk hati saja?” Hara ketawa kecil. Geli hati pula mendengar kata-kata sendiri. Bentuk hati konon! Aish!
“Mimpilah bentuk hati! Itu rantai untuk minta maaf dengan kamu dan bukannya rantai sebagai tanda cinta,” ujar Raja Rafiq. Hara juihkan bibir.
“Apa-apa sajalah. Yang penting, rantai ini bukan lagi hadiah untuk permintaan maaf, tetapi sebagai tanda secara rasminya tuanku dan patik menjadi pasangan kekasih hari ini.” Ujar Hara.
“Suka hati kamu.” Raja Rafiq pasrah. Karenah Hara memang lain macam dan sukar diteka.
“Ergh! Tercekik!” Cuak Hara memandang ke arah Raja Rafiq. Rantai yang cuba diikat pada leher terasa mencekik lehernya apabila dia cuba mengemaskan ikatan.
“Hei! Kenapa kamu pakai rantai macam ikat tali kasut? Ya Tuhan... Puteri Hara Aralyn, bukankah rantai itu ada penyangkutnya?”
“Manalah patik tahu. Dah lama patik tak pakai rantai leher. Biasanya kalau pakai sekalipun, dayang yang pakaikan.” Penjelasan Hara buatkan Raja Rafiq ketawa. Patutlah pelik semacam sahaja gaya pemakaiannya. Aih! Ada juga perempuan yang tidak pandai pakai barang kemas.
“Dungu!” Dahi Hara ditunjal lembut. Cemberut seketika wajah gadis itu. Boleh pula Raja Rafiq cakap dia dungu.
“Sini beta pakaikan.” Rantai leher yang masih dipegang oleh Hara diambil. Perlahan-lahan tangan memakaikan rantai tersebut pada leher Hara.
“Patik rasa... hari ini senyuman tuanku nampak ikhlas. Tak menyeramkan dah. Selepas ini tuanku senyumlah dengan lebih kerap. Boleh tak?” ujar Hara. Dia berpusing menghadap Raja Rafiq semula.
“Bergantung kepada angin beta.”
“Tapi hari ini angin tuanku baik bukan? Jom pergi jalan-jalan,” ajak Hara tersengih-sengih. Jika Raja Rafiq menyetujuinya, ini akan menjadi janji temu pertama mereka.
Lantaklah walaupun perkara ini terlalu awal dilaksanakan. Hara tidak mahu membazirkan masa yang ada. Saat Raja Rafiq tidak sibuk bekerja inilah dia harus memanfaatkan untuk melakukan sesuatu.
“Jalan-jalan ke mana? Di Gynzells ini, tempat mana lagi yang beta belum lawati?”
“Erm itu patik tidak tahu, tetapi yang pentingnya kali ini tuanku jalan-jalan bersama patik. Lain sedikit rasanya.” Hara ketawa kecil. Dia seronok!
“Tapi untuk ke tempat ini, tuanku perlu...” Hara menjeda. Raja Rafiq dipandang dari atas ke bawah. Selang beberapa saat senyuman penuh makna dilorek membuatkan Raja Rafiq berasa ingin tahu.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...