Bibir dikemam menahan rasa yang bercampur baur dalam diri. Hara hanya mampu melihat Raja Rafiq dari kejauhan. Ingin menghampiri dan memberi penjelasan, dia terlalu takut walaupun perkara itu bukanlah salahnya. Ianya cuma salah faham.
Dia juga perlu memikirkan keadaan Raja Rafiq ketika ini yang sedang bersedih atas kematian bondanya beberapa hari yang lalu. Dapat dia lihat, Raja Rafiq memerlukan waktu untuk bersendirian malah selalu makan di dalam bilik bacaan. Makanan pula dibawa oleh Jayden.
Dan dia... langsung tiada sesiapa yang mencari. Disebabkan itulah dia tidak berani hendak bertemu dengan Raja Rafiq. Tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh lelaki itu terhadapnya ketika ini.
Mahu tersedak Hara tatkala ada sesuatu yang mahu keluar daripada mulutnya. Dada yang terasa senak dipegang dengan mata terpejam. Tidak melihat lagi Raja Rafiq yang termenung ke luar jendela, dia berlari menuju ke bilik rawatan.
Rylene yang berbaring dengan keadaan tercedera sedikit parah tersentak dengan kehadiran Hara yang mulutnya sudah dipenuhi darah. Gadis itu laju menghampiri singki dan membasuh mulut serta tangannya. Begitu juga dengan baju yang mempunyai bintik-bintik darah.
“Puteri Hara tak apa-apa?” tanya salah seorang doktor yang ada di situ. Hara menggeleng dan duduk di birai katil.
“Biar patik lihat leher tuan puteri sekejap,” pinta doktor itu. Hara angguk memberi keizinan.
“Bintik-bintik ruam ni tak macam disebabkan alergi. Dah lama, tapi masih tak hilang. Apa kata tuan puteri buat ujian untuk lihat dalam tubuh tuan puteri ada racun atau tak.”
“Okey,” sepatah dibalas oleh Hara. Terlalu banyak bintik-bintik merah yang muncul di tubuh serta di kawasan lehernya. Nasib baik sahaja bintik-bintik tersebut tidak muncul di bahagian muka atau tangan. Hara tidak mahu ia diketahui oleh Raja Rafiq.
“Sebelum itu, patik nak tanya beberapa soalan. Tuan puteri ada tak batuk berdarah seperti ini sebelum ni?” Soalan doktor itu dibalas gelengan.
“Kalau macam tu, tuan puteri ada tak sakit dekat mana-mana bahagian?”
“Bahagian dada. Sebenarnya, semasa pergelutan berlaku, ada seseorang suntik bahagian atas dada saya. Saya tak tahu apa kandungan suntikan itu.” Penjelasan Hara buatkan doktor itu terangguk-angguk. Sahlah ada sesuatu yang tidak kena.
“Hanim yang suntik kau bukan?” tanya Rylene tiba-tiba. Hara kemam bibir. Bagaimana dia mahu katakan tentang itu? Hanim paling rapat dengan mereka berdua dan tanpa dijangka Hanim mengkhianati mereka dengan menjadi mata-mata pihak musuh.
“Aku tahu... Sebelum istana diserang, aku terdengar kata-kata dia yang dia nak suntik kau. Masa aku nak dapatkan kau untuk bongkarkan perkara tu, dia terlebih dahulu dapat tahu dan dia tikam aku. Badan kau, betul-betul disuntik dengan racun.” Ujar Rylene.
“Aku tak sampai hati nak bagitahu kau yang Hanim khianati kita. Aku langsung tak jangkakan perkara ni,” kata Hara. Mendung wajahnya.
“Sudahlah. Kau pergi buat ujian dulu.” Tidak mahu Hara sedih dengan perkara itu, Rylene mengalihkan topik.
“Apa-apa pun yang berlaku, jangan bagitahu Raja Rafiq. Jika ada yang bertanya kenapa saya masuk ke sini, cakap sahaja luka Puteri Aralyn terkoyak dan perlu dijahit semula.” Ujar Hara. Dia tidak mahu Raja Rafiq tahu sedikit pun. Sekarang ini, dia tidak tahu apa anggapan Raja Rafiq terhadapnya dan apa yang akan berlaku kepada dirinya. Serahkan pada takdir sahaja.
Sambil dipapah oleh doktor yang sejak tadi berada di sisinya, Hara berjalan masuk ke dalam bilik sebelah. Rylene hanya memandang pemergian Hara dengan perasaan bercampur baur. Seteruk-teruk perangai kembarnya, Rilaila, teruk lagi Hanim! Manusia talam dua muka!
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...