BAB 24

526 57 7
                                    

Empat orang pengawal yang berjaga di hadapan pintu tumbang tatkala dilempar sejenis serbuk yang dapat membuatkan mangsa tidak sedarkan diri. Hara menghentikan kudanya seraya berjalan masuk ke dalam istana. Rata-rata para dayang tidak berani menghampiri dia melihatkan dia membawa sebilah pedang bersama dengan muka bengis.

Hara memilih untuk masuk melalui pintu di mana dayang keluar dan masuk kerana dia lebih arif jalan itu. Tidak mahu dia merisikokan diri untuk masuk melalui pintu utama.

“A...Aralyn.” Rylene cuba memanggil. Terkejut dia melihat Hara datang sebegitu. Hanim di sebelah menarik lengan Rylene sambil menggeleng.

“Jangan dipanggil. Aku dapat rasakan ada sesuatu tak kena.” kata Hanim. Mulutnya dan Rylene ternganga kecil melihat Hara berlawan dengan beberapa orang pengawal di tangga. Tidak mereka sangka Hara bukan sahaja berani malah pandai berlawan.

“Aku yakin sangat Aralyn bukan orang biasa,” kata Hanim lagi separa berbisik. Rylene angguk menyokong kata-kata Hanim.

Pintu bilik bacaan ditendang kuat. Raja Rafiq dan Jayden serentak menoleh ke arah Hara yang dikuasai kemarahan. Tidak menunggu lama, Hara berlari ke arah Raja Rafiq lalu menghunuskan pedang ke leher Raja Rafiq.

“Tuanku bagitahu patik sekarang, kenapa tuanku sasarkan abang-abang patik!” kata Hara separuh menjerit. Dia tidak peduli jika orang lain mendengarnya sekalipun.

“Lindungi tuanku!” jerit salah seorang pengawal. Belum sempat para pengawal masuk ke dalam bilik bacaan, Raja Rafiq terlebih dahulu memberi isyarat tangan supaya para pengawal berundur.

“Menyasarkan abang-abang puteri bongsu Florensia, Puteri Hara Aralyn? Soalan tuan puteri salah.” Tenang Raja Rafiq menuturkan kata.

“Salah? Apa yang salah? Lihat! Ini anak panah milik tentera Gynzells! Anak panah yang sama yang telah menusuk tubuh dua orang abang patik!” Anak panah yang dipatahkan olehnya dua hari yang lepas diletak kasar di atas meja.

“Benar anak panah ini serupa dengan anak panah milik tentera Gynzells dari segi bahan, kualiti dan coraknya. Namun beta yakin ini bukan milik tentera Gynzells kerana gudang senjata beta langsung tiada masalah dan sebarang senjata dilaporkan hilang.” ujar Raja Rafiq.

“Patik tidak bertanya tentang gudang senjata tuanku. Sebaliknya patik bertanya kenapa tuanku menyasarkan abang-abang patik sedangkan mereka tidak berbuat salah terhadap tuanku.”

“Beta tahu, tetapi perkara itu benar-benar tiada kaitan dengan beta. Lagipun beta tiada motif mahu menyerang abang-abang Tuan Puteri Hara Aralyn.”

“Bohong! Tuanku sebagai seorang raja berani berbohong? Memalukan!”

“Beta tidak berbohong! Jangan melampaui batas jika kamu tidak menyiasat perkara ini betul-betul Puteri Hara Aralyn!” Raja Rafiq menepis pedang ke tepi. Nafas Hara sudah tidak teratur. Dia terlalu penat selama lima hari tidak berehat dengan betul.

“Melampaui batas! Patik dah berminggu-minggu duduk di sini semata-mata ingin menyiasat perihal ini, tetapi tetap tidak dapat mengelakkan abang patik daripada dipanah!”

“Beta tahu...”

“Tuanku tahu kerana tuanku yang arahkan orang untuk bunuh abang patik!” Hara memintas percakapan Raja Rafiq. Air mata yang berjuraian di pipi dibiarkan sahaja. Tiada rasa ingin mengesat langsung.

Luluh hatinya ketika melihat Areez terbaring lemah. Kata jururawat yang menjaga, anak panah yang tertusuk terlalu dalam hingga membuatkan Areez berada dalam keadaan koma.

“Beta sudah katakan, beta tiada kaitan! Kenapa sukar sangat untuk kamu percayakan beta?” Raja Rafiq menumbuk meja.

Hara menghunus pedang ke arah Raja Rafiq kembali. Dia benci mendengar kata-kata nafi daripada Raja Rafiq. Bukti yang dikemukakan memang sudah terarah ke arah Raja Rafiq. Mustahil untuk mengatakan bahawa Raja Rafiq bukanlah pelakunya.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang