Jayden dan Raja Rafiq memandang Kapten Hans serta Hez silih berganti. Wajah mereka benar-benar mirip membuatkan Raja Rafiq menghela nafas. Nampaknya Kapten Hans berkata benar tempoh hari. Yang membuat onar di Gynzells ialah adiknya, Hez dan bukannya diri dia.
“Akhirnya, dapat tangkap juga kau.” Tutur Raja Rafiq. Hez melorek senyuman mengejek.
“Dapat tangkap? Jangan haraplah! Kau fikir aku tak ada rancangan lain untuk tumpaskan kau?” Ujar Hez. Kapten Hans mengetap gigi. Dia mahu Hez menyerah kalah agar hukuman Hez dapat diringankan. Jika beginilah sikap Hez, Kapten Hans takut dia tidak dapat menyelamatkan Hez lagi.
“Sudahlah Hez. Tolonglah menyerah. Abang akan tolong Hez merayu dan meminta keampunan daripada Tuanku Raja Rafiq.” Nada Kapten Hans kedengaran seperti separuh merayu.
“Kau diam sajalah! Kau akan menyesal sebab buat aku macam ni,” marah Hez.
“Pengawal! Bawa lelaki ini ke penjara!” Raja Rafiq memberi arahan.
“Kau berani nak humban aku ke dalam penjara? Lebih baik kau lepaskan aku sekarang kalau tak nak kakak kesayangan kau, Puteri Ediana mati di tangan anak buah aku.” Tutur Hez sinis. Melihat kegelisahan Raja Rafiq, Hez berasa puas. Sangat puas!
Isyarat segera diberi kepada Jayden untuk menghubungi pengawal yang berjaga di kediaman Ediana.
Beberapa minit dia menunggu, Jayden kembali dengan air muka hampa. Semakin berdebar-debar Raja Rafiq ketika ini. Ediana... hanya kakaknya itu sahaja keluarga yang dia ada.
“Para pengawal cakap, keberadaan Puteri Ediana tidak dapat dikesan.” Bisik Jayden kepada Raja Rafiq. Lelaki itu terus nengepal penumbuknya.
“Kenapa? Kau tak percayakan aku? Aku rasa perkara yang baru disampaikan tu cukup untuk membuktikan kata-kata aku tadi.” Hez ketawa mengejek.
Tidak mengeluarkan suara, Raja Rafiq laju berjalan ke arah Hez. Baju di bahagian leher lelaki itu ditarik kasar.
“Apa? Kau nak belasah aku? Cubalah sentuh aku. Anak buah aku ada di dalam istana ini. Sedikit saja kau sentuh aku, dia akan hantar isyarat dan kakak kesayangan kau... Bang! Bang! Berkecai tak agaknya kepala kakak kau tu?” Ujar Hez.
Raja Rafiq ketap gigi. Menggigil tangannya menahan amarah. Keadaan masih tidak memihak kepada dirinya walaupun dia berjaya menangkap Hez. Baju lelaki itu dilepaskan lalu Raja Rafiq berundur selangkah.
“Hez, lepaskan Puteri Ediana. Jangan buat perkara yang akan buat Hez menyesal!” Kapten Hans bersuara. Dia sudah tidak tahu bagaimana hendak mengawal adiknya itu.
“Kaulah yang akan menyesal! Kau tahu tak lelaki bodoh ni anak kepada pembunuh ibu dan ayah kita! Kau masih cuba buat-buat buta Hans! Kau kenapa sebenarnya? Kenapa kau memihak kepada dia dan bukannya adik kau sendiri!” Melenking naik suara Hez. Tahap kesabarannya terhadap abangnya itu sudah menipis.
“Sebab Hez salah! Ibu mati sebab terlalu terkejut dan bukannya dibunuh! Ayah mati sebab nak selamatkan negara! Itu dah tugas dia! Kenapa Hez susah sangat nak faham? Perkara yang Hez nampak dengan mata Hez tu tak semestinya betul!” Kini suara Kapten Hans pula meninggi.
“Suka hati kaulah nak cakap apa!” Hez menjeling. Langkah diatur ke arah sofa, kemudian Hez labuhkan punggung. Tunggu sajalah anak buahnya datang dan dia akan berjaya menakluk Gynzells! Raja Rafiq akan patuh akan arahannya!
Bunyi detingan pedang berlaga dan keriuhan di luar menggamit perhatian mereka. Hez melorek senyuman sinis. Nampaknya semua anak buahnya sudah tiba.
“Arahkan pengawal kau berundur,” suruh Hez.
“Jangan harap!”
“Kau nak kakak kau mati?” Hez berdiri dengan tangan yang berpeluk tubuh. Tersentak Raja Rafiq, Jayden dan Kapten Hans melihat Hez sudah berjaya menguraikan ikatan pada tubuhnya.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasi[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...