Mata fokus memandang ke arah acuan yang sedang dituang ke dalam bekas. Malam ini, dia berlatih sekali lagi tanpa Cik Nara. Serba salah pula mahu mengacau waktu rehat wanita itu. Loyang dimasukkan ke dalam ketuhar sesudah menuang acuan.
“Haraplah kali ini menjadi.” ujar Hara dengan sengihan. Pandangannya terarah ke arah pisau pemotong kek. Terbit pula rasa ingin bermain pedang. Sudah lama tangannya tidak menyentuh pedang semenjak tiba di sini.
Pisau tersebut diambil lalu Hara memulakan gerakannya. Tidak dapat pedang, dapat pisau pemotong kek pun jadilah. Asalkan dia dapat melepaskan rasa rindunya mahu berlatih pedang.
Raja Rafiq yang sedari tadi memerhati menyilangkan tangan di dada. Selang beberapa saat, dia menghayun kaki menuju ke arah Hara. Malam sebegini tidak tidur, esok mulalah mengantuk. Bukannya dia tidak melihat Hara tidur pada waktu tengahari. Seronok gadis itu buat tahi mata semasa dia tiada di dalam bilik bacaan.
Leka dia bermain dengan pisau pemotong kek sehinggakan dia langsung tidak menyedari Raja Rafiq telah pun duduk di atas kerusi berhampirannya. Raja Rafiq berdeham.
“Belum puas lagi bermain?” tanya Raja Rafiq membuatkan pergerakan Hara terhenti. Dengan sengihan dia menoleh ke tepi. Pisau pemotong kek diletakkan di atas meja.
“Kenapa tuanku datang ke dapur?” Teruja Hara bertanya.
“Beta tak boleh datang ke dapur dalam istana beta sendiri ke?”
“Tak adalah. Lagi dua minit, kuih akan siap dimasak. Nak cuba sekali tak?” tanya Hara. Sempat dia memandang ke arah jam sekilas.
“Boleh juga.”
“Erm nak minuman tak? Patik boleh buatkan kopi.” ujar Hara.
“Kalau beta minum kopi sekarang, beta tidak akan dapat tidur dah selepas ini. Buatkan air lain.” suruh Raja Rafiq.
“Hurm tak payah tidurlah. Dah hampir pukul tiga. Apa kata tuanku berbual dengan patik?” cadang Hara. Tangannya lincah mengambil teko untuk membuat teh.
“Berbual? Sekejap, apa yang kamu lakukan di dapur selewat ini? Kebelakangan ini mata kamu sudah ada lingkaran hitam.” Kata-kata Rafiq membuatkan Hara meraba kawasan bawah matanya seketika. Teruk sangatkah lingkaran hitam di bawah matanya?
“Belajar buat teh dan kuih untuk tuanku. Ke tuanku nak rasa teh kasih sayang lagi? Patik boleh tambah gula sekarang.” Hara sudah mengangkat sudu, acah-acah ingin menambahkan gula.
“Cubalah tambah kalau nak makan gula sebalang tu.” kata Raja Rafiq. Hara mencebik. Badan dipusingkan ke arah ketuhar. Sarung tangan dipakai lalu loyang dikeluarkan. Tersenyum Hara melihat kuih itu dalam keadaan yang cantik. Rasanya, kuih yang dibuat oleh dia hari ini sudah menjadi.
“Masih panas. Tunggulah sekejap supaya kuih ni sejuk sikit.” ujar Hara.
“Duduk,” suruh Raja Rafiq. Tanpa membantah, Hara melabuhkan punggung di atas kerusi. Raja Rafiq mencapai cawan lalu teh dituangnya. Kemudian, cawan teh tersebut ditolak ke hadapan Hara.
“Minumlah,” pelawa Raja Rafiq. Terkebil-kebil Hara dibuatnya. Seriuslah seorang raja sedang mempelawa seorang dayang minum bersama? Buang tabiat agaknya Raja Rafiq ini.
“Tuanku demam ke?” tanya Hara. Cawan teh diangkat. Perlahan-lahan teh yang masih mengeluarkan wap itu dicicip. Sedap juga teh yang dibuat olehnya. Tidak sia-sia dia belajar lewat malam sampai ke pagi.
“Tidak.” balas Raja Rafiq sepatah. Dia turut mencicip teh.
“Jadi kenapa tuanku baik sangat hari ini?” soal Hara. Raja Rafiq mengcengkam rahang Hara sehinggakan kepalanya terkedepan. Senyuman sinis dilorek tatkala melihat mimik muka terkejut gadis itu.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...