Wajah pucat Hara ditatap lama. Hampir luruh jantungnya dirasakan tatkala Hara berhenti bernafas. Bernasib baik sahaja jantung Hara kembali berdenyut setelah hampir dua minit.
“Patik hairan bagaimana racun yang sama berada di dalam tubuh Puteri Aralyn kembali. Sebelum ini, semua sisa racun itu telah pun dibuang dan dimuntahkan.” Ujar doktor yang merawat Hara sebelum ini. Raja Rafiq kerutkan dahi, tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh doktor itu. Bila masa pula Hara terkena racun sebelum ini?
“Maksud kamu?”
“Saat istana diserang tempoh hari, kata dayang bernama Rylene, rakannya Hanim telah menyuntik racun tersebut kepada Puteri Aralyn. Untuk beberapa hari Puteri Aralyn sakit dada dan memuntahkan darah. Bersyukur sahaja setelah seminggu, semua racun dapat dikeluarkan.” Dia menjeda seketika.
“Namun kali ini, dos racun itu tinggi. Jantung Puteri Aralyn lemah kesan daripada racun sebelum ini. Tadi Puteri Aralyn hampir tidak dapat bertahan. Jika Puteri Aralyn tidak dapat bertahan, patik pun tidak dapat buat apa-apa.” Ujar doktor itu lagi.
Raja Rafiq terkedu. Fikirnya kecederaan Hara tidaklah begitu parah, tetapi dalam diam gadis itu menyembunyikan kesakitannya. Apa motif Hara berbuat demikian? Raja Rafiq tidak mengerti.
“Kenapa kamu tidak memaklumkan kepada beta perihal Puteri Aralyn telah diracun?” tanya Raja Rafiq. Nada cuba dikawal agar tidak melepaskan amarah. Emosinya benar-benar tidak stabil, jadi dia perlu mengawalnya agar tidak membuat kesilapan lagi sepertimana dia telah memperlakukan Hara.
“Maafkan patik, tuanku. Puteri Aralyn tidak membenarkan patik memberitahu tuanku. Puteri Aralyn tidak mahu tuanku berasa risau.”
Raja Rafiq mengetap bibir dan mata dipejam seketika. Dikala sakit, Hara masih memikirkan tentang dia. Manakala dia pula menuduh secara melulu dan menghukum Hara.
Picagari yang berada di dalam poket baju dikeluarkan lalu diberi kepada doktor di hadapannya.
“Lihat jika darah tersebut merupakan darah Puteri Aralyn. Periksa juga racun apa yang berada di dalam picagari itu.” Raja Rafiq memberi arahan. Doktor itu akur dan beredar membawa picagari tersebut.
Sebaik sahaja doktor itu hilang daripada pandangan mata, Raja Rafiq mengepal tangannya dengan kuat. Siapa sebenarnya yang salah? Siapa pembelot? Risha atau Hara Aralyn? Kedua-duanya orang yang Raja Rafiq sayangi. Perit untuk menerima walau sesiapa pun antara mereka berdua merupakan pembelot.
“Rafiq,” suara lembut Ediana kedengaran. Gadis itu bergegas pulang setelah menerima berita tentang kematian Risha.
“Ada apa kakanda datang kemari? Mengapa tidak berehat di bilik?” Raja Rafiq bersuara tenang.
“Kakanda risau. Adinda betul-betul mahu kakanda pergi?” tanya Ediana. Kini hanya tinggal dia dan Raja Rafiq sahaja setelah pemergian Tengku Kella dan Risha. Siapa lagi yang mahu menemani Raja Rafiq di sini?
Hara Aralyn... Mengingatkan tentang gadia itu, Ediana tidak tahu harus berbuat apa. Gadis itu sendiri sudah tenat tidak diketahui berpunca daripada siapa. Dia hanya tahu tentang perbalahan antara Risha dan Hara.
“Pulanglah ke rumah kakanda. Di sini tidak selamat seperti yang kakanda lihat.”
“Tetapi bagaimana dengan adinda?”
“Adinda tak apa-apa. Jangan risau. Kakanda hiduplah dengan tenang di luar sana. Permasalahan di sini, serahkan kepada adinda. Tidak kira apa pun yang terjadi, adinda mohon kepada kakanda supaya tidak pulang ke sini lagi. Hanya setelah masalah ini selesai, barulah kakanda dapat datang ke sini semula.” Ujar Raja Rafiq. Dia risaukan keselamatan Ediana. Kakaknya itu langsung tiada kaitan dengan apa yang berlaku.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...