Helaian buku diselak satu demi satu secara perlahan. Sesekali mata mengerling ke arah Raja Rafiq yang fokus mengerjakan lembaran fail. Mahu dikacau, bimbang lelaki itu tidak dapat menyiapkan kerja lebih awal. Sudahnya, dia diam sahaja menunggu lelaki itu mengerjakan kerjanya.
Posisi duduk diubah. Daripada tangan menopang di atas meja, Hara duduk bersandar pada kerusi. Buku yang sedari tadi dibelek diletakkan di atas muka lalu mata dipejam dengan tangan yang berpeluk tubuh. Tidak salah dia lelapkan mata sebentar bukan? Mana tahu buka sahaja mata, Raja Rafiq sudah pun menyelesaikan kerjanya.
Nafas dihela perlahan. Hampir sepuluh minit berlalu, namun dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Rasa bosan sudah menyelubungi diri. Hara perlu lakukan sesuatu untuk hilangkan rasa bosannya.
Mahu bermain di luar kawasan istana, memang tidaklah. Gynzells masih belum selamat untuk dia merayau keluar. Dia tidak mahu mencari masalah dan menempah bala.
Buku diletak di atas meja kembali. Pandangan mata diliar ke sekeliling cuba mencari apa yang boleh dilakukan. Demi berada di sisi Raja Rafiq, Hara rela ikut 'berkurung' sekali di dalam bilik bacaan. Namun kebosanannya sudah melebihi batas kesabaran.
“Bosan?” Raja Rafiq mengalih pandangan ke arah Hara. Fokusnya sedikit terganggu melihat Hara tidak henti bergerak sedari tadi. Sekejap pusing ke kiri, sekejap pusing ke kanan.
“Bosan.” Hara angguk lalu juih bibir dengan mimik muka sedih.
“Pergilah bermain,” suruh Raja Rafiq.
“Ha? Tuanku suruh patik pergi bermain macamlah patik budak kecil. Patik dah dewasa tahu tak? Mana boleh main selalu.” Cemberut Hara. Terasa pula dia diperlakukan seperti budak kecil. Tidak padan dengan gelaran kekasih raja Gynzells langsung!
Raja Rafiq ketawa. Pen yang masih dipegang diletakkan di atas meja seraya menutup lembaran fail. Mata memandang jam yang menunjukkan angka sembilan malam sekilas. Sudah waktunya untuk dia laksanakan perkara yang dirancang sejak pagi tadi.
“Walaupun Puteri Aralyn mengatakan Puteri Aralyn sudah dewasa, itu tidak dapat mengubah kenyataan bahawa Puteri Aralyn suka bermain.”
Hara berpeluk tubuh setelah mendengar kata-kata Raja Rafiq. Wajah yang cemberut bertukar serta-merta. Bibir melorek sengihan.
“Tak apa! Asalkan tuanku sayang patik. Patik rela tuanku label patik sebagai budak sekalipun.” Ujar Hara.
“Siapa cakap beta sayangkan kamu?” Raja Rafiq turut berpeluk tubuh. Sengaja dia bertanya sebegitu kerana ingin mengusik Hara. Perbualan antaranya dan Hara kebelakangan ini tidaklah begitu panjang kerana kesibukannya.
“Tuanku yang cakap,” balas Hara tanpa teragak-agak.
“Yakah? Bila?”
“Erm bila ya? Rasanya patik ingat, tapi...” Hara buat-buat berfikir seketika. Pelipis yang terasa gatal digaru menggunakan jari telunjuk.
“...sayangnya...” Hara jeda lagi dengan tingkahnya yang masih berfikir. Raja Rafiq diam menanti bicara seterusnya daripada gadis itu.
“Sayangnya...” Kali ini, Hara helakan nafas. Geram pula Raja Rafiq dibuatnya kerana bercakap tersangkut-sangkut. Bila nak habis tak tahu!
“Sayangnya?” Raja Rafiq jongket kening.
“Aha! Bukan ke tuanku baru saja cakap sayangnyaaaa dekat patik?” Hara bulatkan mata dengan mimik wajah teruja. Akhirnya dia dapat mengenakan Raja Rafiq.
“Puteri Hara Aralyn! Kamu mempermainkan beta!”
Hara terus ketawa terbahak-bahak dengan tangan yang bertepuk beberapa kali. Suka betul dia melihat riak wajah Raja Rafiq ketika ini. Geram, tetapi bibir mengukir senyuman nipis seakan mahu ketawa.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasia[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...