Hara menutup separuh wajahnya menggunakan kain. Jam yang menunjukkan angka tiga pagi dipandang sekilas. Waktu ini, pastinya Raja Rafiq tiada di dalam bilik bacaan melainkan Raja Rafiq berjaga malam.
Kaki dihayun perlahan menuju ke bilik bacaan. Pagi ini... dia mahu menggeledah bilik bacaan Raja Rafiq bagi mencari beberapa maklumat yang melibatkan kes Aqeef dan Areez. Dia nekad ingin menyelesaikan masalah itu secepat yang mungkin walaupun terpaksa melakukannya tanpa pengetahuan Raja Rafiq.
Baginya, sudah terlalu lama masa yang diambil oleh Raja Rafiq untuk menyiasat kes berkaitan perihal tersebut. Kini, biarlah dia menyiasat sendirian pula.
Kepala dijengul keluar dari hadapan pintu bilik bacaan. Melihatkan lampu terpadam, Hara dapat pastikan tiada sesiapa lagi di dalam bilik bacaan. Lantas langkah diatur masuk ke dalam. Tidak ingin menyedarkan sesiapa, jadi Hara hanya membuka lampu meja. Satu persatu laci dibuka dan dokumen serta fail dibelek.
“Kalau bukan Raja Rafiq sekalipun pelakunya, pasti Raja Rafiq ada maklumat berkaitannya.” gumam Hara. Tangan laju bergerak mencari fail demi fail yang mempunyai maklumat tentang tentera.
Walaupun maklumat tersebut merupakan maklumat sulit Kerajaan Gynzells, Hara tetap perlu mencarinya. Dia tidak peduli Raja Rafiq akan memarahi atau menghukum dirinya sekalipun.
Tangan Hara berhenti membelek tatkala sampul berwarna coklat menyapa mata. Terlihat agak pelik bentuk cop yang tertera di atas sampul tersebut. Langsung tidak sama dengan cop Gynzells mahupun mana-mana cop negara lain yang dia kenali.
“Apa ni?” gumam Hara. Belum sempat dia ingin membuka sampul surat tersebut, bunyi derap kasut kedengaran membuatkan Hara terkejut. Laju dirinya memandang sekeliling sebelum menyembunyikan diri di bawah meja.
Bunyi derap kasut yang semakin mendekat buatkan dada Hara semakin berdebar. Ada orangkah di dalam bilik bacaan ini? Mengapa bunyinya begitu dekat sekali?
Bahu Hara sedikit terhinjut apabila bunyi seseorang meletakkan kedua telapak tangannya di atas meja sehingga mengeluarkan bunyi sedikit kuat. Kepala ditundukkan ke bawah, mengintai dari celahan bawah meja jika benar ada seseorang di dalam bilik bacaan.
“Sudah puas menyorok?” Suara yang agak dikenali kedengaran. Hara telan air liur yang dirasakan kelat. Kenapa cepat sangat dia boleh terkantoi walhal dia sudah cukup berhati-hati?
“Puteri Aralyn... Sudah cukuplah. Keluar,” tutur Raja Rafiq lagi. Dengan keterpaksaan dan pasrah, Hara keluar dari tempat persembunyian. Wajah tidak bersalah dipamer sambil punggung dilabuhkan di atas kerusi. Kain yang menutup separuh wajahnya diturunkan.
“Buat apa dekat sini?” tanya Raja Rafiq, masih bersuara tenang. Sepasang matanya merenung sepasang mata milik Hara.
“Main sembunyi-sembunyi.”
“Menipu. Akui kesalahan kamu yang sebenar.” Hara mendecit mendengar kata-kata Raja Rafiq.
“Tuanku sudah tahu, tetapi masih bertanya. Lagipun... kesalahan apa yang patik patut akui? Patik hanya menyelidik siapa sebenarnya dalang yang memanah kedua abang patik. Tidak akanlah tuanku sudah takut?” ujar Hara.
“Apa maksud kamu?” Raja Rafiq mengerutkan dahi. Ayat Hara kedengaran lain sahaja.
“Patik... masih meragui tuanku. Sudah berbulan lamanya, namun hal ini langsung tiada apa-apa petunjuk terbaru. Patuk ragu tuanku menyembunyikan sesuatu daripada patik.”
“Hara Aralyn!” Raja Rafiq ketap gigi. Entah mengapa dia berasa geram dan kecewa mendengar kata-kata Hara. Ia seolah-olah mengatakan betapa jauhnya hubungan antara mereka berdua. Langsung tiada keakraban malahan Hara seakan menganggapnya sebagai musuh.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasi[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...