Dayang-dayang di dapur tidak henti-henti mengerling ke arahnya membuatkan dia berasa rimas dan seram sejuk. Lagi sepuluh minit dia perlu ke laman kiri untuk bertemu Raja Rafiq.
“Apa kau nak buat Aralyn? Tuanku Raja Rafiq dah panggil kau.” Hanim mundar-mandir dengan peluh di dahi. Dia pula panik menanti apa yang akan dilakukan oleh Raja Rafiq kepada sahabatnya itu.
“Buat apa lagi? Hadap sahajalah hukuman nanti atau dibuang terus dari istana.” Salah seorang dayang di dapur itu menyampuk. Hara semakin gelabah. Dibuang dari istana? Dia tidak boleh biarkan perkara itu berlaku! Rancangannya akan hancur jika dia dibuang dari istana.
“Eh, aku pergi dululah. Nanti lambat pula.” Hara terus beredar sebaik sahaja mendapat anggukan daripada Hanim.
Kerusi yang tersedia ada menjadi pilihan untuk dia duduk menunggu. Masih ada tiga minit berbaki daripada waktu yang ditetapkan. Kelibat Raja Rafiq pun masih tidak kelihatan. Dia atau Raja Rafiq yang akan terlewat nanti?
Bunyi derap kaki seseorang membantutkan niat Hara untuk menghela keluhan. Laju dia berdiri dengan kepala yang ditundukkan.
“Kamu?” Suara Raja Rafiq sedikit menyentakkan Hara. Tanpa sengaja dia menoleh ke arah Raja Rafiq. Menyedari kelakuannya, Hara menunduk kembali. Gelabahnya tidak boleh bawa bincang. Bukan takut kepada Raja Rafiq, tetapi risau dibuang istana.
“Raja Rafiq kenal aku ke? Tak mustahil juga, bukan? Diakan pernah ke Istana Florensia. Ah... Mampus! Mampus! Kenapa kau tak pernah terfikir pasal ni Hara?” getus Hara dalam hati.
“Beta tidak pernah melihat kamu di dalam istana ini. Siapa kamu?” soal Raja Rafiq. Hara menelan air liur kelat.
“Mungkin kerana patik tidak selalu muncul di hadapan tuanku. Mungkin juga tuanku lupa.” jawab Hara.
“Pandai menipu. Apa niat kau masuk ke dalam istana ini budak?” Raja Rafiq menyungging senyuman sinis. Kaki disilangkan sambil matanya tidak lepas menatap seraut wajah cantik Hara.
“Mungkin... Jadi, kenapa kamu tolak beta pagi tadi walhal beta menyelamatkan kamu daripada terjatuh?” Pertanyaan Raja Rafiq membuatkan Hara semakin gelabah. Selepas satu, satu soalan membawa maut ditanya. Mahu mati akal Hara hendak mencari jawapan.
“Err terkejut. Patik tidak selesa duduk terlalu rapat dengan seorang lelaki. Jadi... Emm... Maaf.” Tubuh ditundukkan 90°. Berharap agar Raja Rafiq memaafkannya.
“Nama?”
“Hah?” Hara blur. Dia tidak salah dengar bukan? Haish Raja Rafiq di hadapannya ini memang pakar mengalihkan topik. Mengalahkan dia pula.
“Nama. Oleh disebabkan ini ‘mungkin’ pertama kali beta melihat kamu, jadi beta mahu tahu nama kamu.” ujar Raja Rafiq. Sengaja ditekankan perkataan ‘mungkin’.
“Aralyn.” Hara masih menunduk. Tidak berani dia mahu menatap wajah dingin tidak beriak Raja Rafiq. Mana tahu Raja Rafiq mengubah angin baiknya secara tiba-tiba.
“Aralyn... Okey. Pergi sambung kerja semula.”
“Hah?” Hara blur lagi. Entah sejak bila dia mendapat penyakit blur sebegini. Rasa mahu hempuk kepala diri sendiri sahaja. Raja Rafiq yang baru melangkah setapak menoleh ke arah Hara kembali.
“Sambung. Kerja.” Sepatah demi sepatah disebut oleh Raja Rafiq.
“Tapi... hukuman macam mana? Tiada denda?” tanya Hara kebingungan. Bukankah dia dipanggil ke laman untuk menerima hukuman? Kenapa hanya tiga soalan yang ditutur dan dia dilepaskan begitu sahaja? Raja Rafiq ini terlalu baik atau terlalu dungu?
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...