BAB 36

495 54 4
                                    

Memincing mata Hara memandang beberapa orang berpakaian hitam hampir menutupi seluruh tubuh. Langkah diperlahankan mengekori orang-orang tersebut. Dahi Hara berkerut tatkala sebuah gua yang sangatlah asing berada di hadapannya.

Sepanjang perjalanannya hendak ke Istana Gynzells, tidak pernah pula dia melihat gua itu. Tidak akanlah dia sudah tersesat gara-gara mengikuti orang-orang pelik itu? Memikirkan dia telah tersesat, mata mula meliar ke kawasan sekeliling.

Benarlah dia sudah tersesat. Lihat sahaja kawasan yang sedang dilaluinya ketika ini. Kelihatannya seperti sudah terlalu jauh dari tempat yang dia telah tinggalkan White dan Nia tadi.

Kepala dipalingkan ke hadapan kembali. Hara berasa sedikit panik apabila dia sudah kehilangan jejak orang-orang yang diekorinya tadi. Lantas kaki dihayun mendekat ingin mencari keberadaan mereka.

Tanpa sedar, Hara berjalan jauh ke dalam hutan. Gua tadi pun sudah kehilangan jejak. Hara tidak tahu dia berada di mana sekarang ini. Saat dia berpatah kembali, dia menjumpai jalan lain pula. Hara buntu hendak ke arah mana. Kakinya sudah terasa lelah ingin melangkah.

“Harap-haraplah Nia dan White tak ditemui oleh orang jahat.” gumam Hara. Terasa menyesal pula meninggalkan White dan Nia. Sudahlah dua makhluk itu berbulu putih. Mudahlah mereka dijumpai oleh seseorang di dalam hutan ini.

Sisi paha, lutut dan bahagian betis ditumbuk berkali-kali berharap ia akan menghilangkan rasa penat. Tidak kira bagaimana pun, Hara perlu menyambung perjalanannya sebelum hari gelap.

Beberapa belas minit berlalu, Hara kembali berdiri. Langkah diatur menuju ke arah kanannya. Entah apa yang akan ditemuinya nanti, Hara pasrah. Dia hanya ingin menjumpai jalan pulang kembali. Jika jalan yang dipilihnya salah, maka dia akan beralih ke arah lain pula.

Langkah Hara terhenti tatkala mendengar bunyi derap kaki lain selain daripada derap kaki miliknya. Hara yakin ada sesuatu berhampiran dia. Mata meliar melihat sekeliling sambil tangan bersiap sedia untuk menyerang sesuatu yang menghampiri dirinya.

Bunyi dedaunan dan ranting dipijak jelas kedengaran membuatkan Hara lebih fokus. Arah bunyi dicarinya, namun dia tidak dapat mengenal pasti dengan jelas dari arah mana. Punca bunyi yang dibuat seolah-olah berada di sekelilingnya dan Hara dapat merasakan bukan hanya seorang sahaja yang berada di situ selain dirinya.

Bunyi desiran angin membuatkan Hara lantas meniarapkan tubuh. Dia pasti itu bunyi anak panah yang membelah angin menuju ke arahnya. Nafas mengah dihela tatkala satu anak panah terpacak pada batang pokok. Benarlah, musuh sedang mengerumumi dia.

“Siapa? Keluarlah!” Lantang Hara berkata sebaik sahaja berdiri semula. Bergema suaranya di dalam hutan itu. Hara berasa bengang apabila tiada seorang pun yang keluar dari tempat persembunyian.

Anak panah yang masih terpacak pada batang pokok dicabutnya. Seketika mata memerhati anak panah tersebut.

“Anak panah yang sama. Aku tak salah datang.” gumam Hara. Mata meliar memandang ke sekeliling mencari orang yang telah menyasarkan anak panah ke arahnya.

Ssritt!

Hara memandang anak panah yang terpacak pada pokok di sebelah kirinya. Mujur sahaja dia sempat mengelak. Jika tidak, terpacaklah ia pada dadanya. Pandangan dialihkan ke arah tempat anak panah itu datang. Jelas terlihat seseorang di situ. Tidak menunggu lama, Hara terus mengejar.

“Hei!” jerit Hara apabila gerangan itu mula melarikan diri. Larian makin dilajukan. Hara berharap dia tidak akan terlepas lagi kali ini.

Batu yang berada di tepi kakinya diambil lalu dilempar kuat ke arah kepala gerangan itu. Hara tersenyum senget tatkala batu tersebut mengena. Gerangan itu pun sudah rebah terduduk di atas tanah sambil memegang kepala.

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang