Hara silang kaki dengan tangan kiri menopang dagu. Hidup di Istana Gynzells sungguh membosankan kerana tiada peneman. Raja Rafiq seringkali mengelakkan diri daripada berjumpa dengannya sejak kebelakangan ini. Jika bertemu sekalipun, Raja Rafiq hanya bercakap sepatah dua perkataan sahaja.
Nafas dihela bosan. Kaki selamba diangkat naik ke atas meja sambil tubuhnya disandarkan pada kerusi. Kepala didongak ke langit yang sedikit mendung. Terkedip-kedip kelopak matanya memandang gugusan awan kelabu.
“Kenapa awan ni boleh bertukar jadi muka Raja Rafiq pula?” Hara kerutkan dahi. Kedua belah tangan diangkat ingin menggapai wajah tersebut. Namun, dengan semerta wajah tersebut hilang daripada pandangan matanya.
“Kenapa sampai boleh berhalusinasi? Aaaa...” Hara mengeluarkan bunyi tangisan dengan wajah sedih. Tidak faham dia dengan diri sendiri. Adakah dia terlampau merindui Raja Rafiq?
“Hacum!” Hara terbersin kuat. Hidung yang sudah merah dilap menggunakan tisu. Badan yang bersandar terkedepan seketika. Pandangan Hara tanpa sengaja melihat tiga buah kereta putih yang memasuki perkarangan istana. Tertanya-tanya juga dia siapakah gerangan yang datang.
Matanya memincing cuba mengenal pasti gerangan yang baru keluar dari kereta. Terlihatnya, Raja Rafiq mengukir senyuman nipis untuk menyambut gerangan tersebut. Hara laju berdiri dan menghayunkan langkah mendekat ingin mendengar perbualan Raja Rafiq dan gerangan gadis yang baru keluar dari kereta tersebut.
“Silakan masuk Puteri Enna,” pelawa Raja Rafiq. Gerangan gadis yang disebut Puteri Enna berjalan beriringan dengan Raja Rafiq untuk masuk ke dalam.
“Puteri mana pula ni? Puteri Enna...” Hara berfikir seketika. Mungkin dia pernah berjumpa atau pernah terdengar tentang puteri ini, tetapi malangnya tiada memori langsung tentang Puteri Enna. Nampak sangat dia kurang bersosial. Kalau dia terima ajakan Aqeef untuk pergi berjalan-jalan, mungkin dia sudah tahu banyak perkara sekarang.
“Hacum!” Hara terbersin sekali lagi.
Tap! Tap! Tap!
Setitik demi setitik air hujan menitis membasahi dirinya. Hara menghela nafas. Langkah dihayun masuk ke dalam istana melalui pintu dapur. Dia lagi suka masuk melalui pintu itu berbanding pintu utama memandangkan dia selalu keluar masuk.
Dahi Hara berkerut pelik melihat para dayang lebih sibuk berbanding hari biasa. Dapur sudah berasap dan bauan makanan yang menyelerakan mula tersebar. Beberapa orang berbaris sambil memegang dulang makanan.
“Rylene, aku nak tanya kau. Siapa Puteri Enna?” bisik Hara di sebelah Rylene yang sedang memegang dulang yang mempunyai teko teh di atasnya.
“Puteri Enna, puteri kelima dari Nelansia. Kau tak kenal? Nelansia bukan ke anak negara di bawah Florensia?” ujar Rylene.
“Betullah, tapi aku tak kenal. Aku tak pernah ke sana. Eh, biar aku yang hantar ni.” Dulang di tangan Rylene diambilnya. Terkebil-kebil Rylene dengan tindakan Hara. Apa hal rajin semacam pula si Hara ni?
Melihat Cik Nara memberi isyarat agar para dayang mula bergerak untuk menghantar hidangan, langkah dibuka menuju ke ruang tamu. Sesekali mata Hara mengerling ke arah Raja Rafiq. Lelaki itu, katanya sedang sibuk. Boleh pula terima tetamu dari jauh.
“Nampaknya hal ini masih dalam perbincangan. Apa kata patik bertanya kepada ayahanda patik semula nanti?” ujar Puteri Enna. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman manis.
“Baik. Puteri Enna, jemputlah menjamu selera. Pasti sudah penat datang dari jauh bukan? Makanlah dahulu, kemudian beta akan tunjukkan tempat untuk kamu beristirahat.” ujar Raja Rafiq ramah. Bibirnya turut mengukir senyuman buat Puteri Enna.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...