Mata tidak beralih memandang bangunan-bangunan cantik itu. Sungguh moden dan canggih, sepertinya mereka berada di masa depan.
"Teknologi Negeri Bunian Salju lebih maju berbanding manusia. Sebab itulah kami mampu membina penempatan sebesar ini." Lin mengalihkan perhatian mereka.
"Bunian juga menggunakan pantun dalam kebanyakan komunikasi mereka. Dalam jual beli, kata kunci dan sebagainya, supaya adat berpantun tak akan pupus." Lin menambah.
"Kalau mereka bekerjasama dengan manusia, pasti bandar kita lebih maju sekarang." Wawa mendongak ke atas, melihat rumah-rumah yang tergantung di atas pokok sambil mereka berjalan masuk ke tempat tersebut.
Wajah Lin berubah muram. "Sebenarnya, mereka memang pernah bekerjasama dengan manusia, 100 tahun yang lalu, semasa pembangunan awal negara ni.
Tapi, manusia telah khianati puak mereka. Mereka mengundurkan diri dan ghaibkan negeri bunian, agar tidak diburu manusia."
"Macam mana kau tahu Lin?"
"Sebab aku pun bunian juga." Lin berwajah sayu.
"Hm, banyak lagi misteri negara ni yang kita perlu dedahkan. Kami bersimpati, Lin. Kami tidak tahu," Aiden menyampuk.
Dahi Lin berkerut, "Kalian tidak tahu?" soalnya. Mereka semua menggeleng.
"Tiada sejarah tentang negara kita dalam buku sejarah sekolah atau di perpustakaan awam tentang hal ni. Ia hanya menceritakan bagaimana bandar ini pernah dijajah dan diceroboh kira-kira 60 tahun lalu, dan juga kesaktian yang pernah wujud di negara ini sebelum ia disahkan mitos." Isya membuka jam tangannya, menyatakan maklumat yang dijumpainya.
Lin tersenyum nipis, "Mereka memang tak mahu rakyat tahu tentangnya. Semua cerita dalam buku sejarah itu telah diputar belit."
"Siapa? Tentang apa?" Mia pula mencelah.
"Presiden Sri Jaya."
Masing-masing terdiam. Ya, lelaki itulah paling misteri. Entah apa agendanya, serta orang kanannya.
Mereka pening. Terlalu banyak rahsia bermain dalam kepala yang perlu dibocorkan, demi keselamatan semua.
Mereka terpandang salah seorang bunian yang keluar dari kawasan kediaman. Bunian tersebut serta-merta bertukar pakaiannya, berubah seperti manusia. Mereka terpegun sementara Lin hanya tersenyum.
"Jika ada bunian yang ingin keluar dari kawasan ini, mereka akan automatik berubah menjadi manusia." Lin menerangkannya.
"Hm, bagus untuk penyamaran." Isya menaipnya di dalam jam tangan. Dia suka mengumpul dan mencatat maklumat baru.
"Emm, kita nak ke mana sebenarnya?" Rina mengubah topik.
Iyalah. Dari tadi mereka berjalan, mahu ke mana?
"Kita nak ke Istana Ratu Bunian Salju." Lin bersuara tenang.
"Untuk apa?"
"Adalah hal aku." Lin menjawab selamba.
Setelah beberapa lama berjalan, mereka tiba di pintu gerbang istana.
"Adam, muka surat 39." Lin berbicara sambil memandang pintu gerbang istana. Adam memahami isyarat tersebut. Buku jampi diselak mencari halaman yang disebut oleh Lin. Mantera itu dibaca.
"Jalan kaki, ke rumah Mak Uda, jadikanlah pintu ini terbuka!"
Pintu gerbang tersebut serta-merta terbuka sendiri. Masing-masing terpempan. Mereka didatangi dua pengawal bunian.
"Indah sungguh, sang Matahari, apakah hajat hamba semua kemari?" salah seorang pengawal tersebut memulakan bicara, penuh sopan.
Mereka semua bingung hendak menjawab apa. Namun, Lin hanya tersenyum.
YOU ARE READING
{BOOK 1}Dystopia: The Begins Of Heroes
Adventure"Kau akan berdepan dengan cabaran yang sebenar." Mengisahkan sekumpulan remaja yang secara tidak sengaja telah menjalinkan ikatan persahabatan di alam maya, kini mempunyai misi untuk menyelamatkan bandar mereka. Pelbagai rintangan dihadapi oleh mere...