"Dan satu lagi Kuasa Cahaya berjaya dibawa pulang." Arin meletakkan Kuasa Cahaya Merah di meja bulat berdekatan dengan patung Dayana.
"Tinggal dua lagi sebelum kita berjaya kumpulkan semuanya. Lepastu, Penjaga Kuasa Cahaya akan bertukar menjadi kelopak bunga."
Aiden menghela nafas berat. Isya yang mendengar, menggenggam erat kain bajunya. "Dan..." perlahan dia berbicara. Yang lain juga turut tertunduk.
"Aku harap semuanya baik untuk dia." Wawa mencelah.
"Ya. Sharja pasti dapat selesaikannya," Adam menambah. Isya hanya tersenyum kelat dan mengangguk.
Tiba-tiba, mata mereka beralih kepada Mia dan Rina yang sedari tadi kelihatan tidak ceria walhal mereka baru saja memperoleh Kuasa Cahaya yang kelima.
"Mia, Rina, korang okay ke? Nampak sedih je." Wawa menyoal. Mia hanya membalas dengan keluhan.
"Hari ini aku sedar, aku tak menyumbangkan apa-apa pun pada kita." Rina seakan mengeluarkan apa yang terbuku dalam hati Mia.
Mereka yang lain memandang antara satu sama lain dengan bingung. Pandangan dialihkan semula kepada dua gadis itu untuk menyambung luahan mereka.
"Selama ni, kami hanya jadi tawanan musuh, seolah-olah tiada guna kami di sini. Mungkin tanpa kami pun, kamu semua tetap akan menang." Mia tertunduk layu.
Rina juga mengangguk dengan wajah yang suram. "Maaf, sebab menyusahkan korang," tambahnya.
Hal itu membuatkan wajah masing-masing bertukar keruh. Isya bangun dari tempat duduknya, berdiri di sisi Mia.
"Mia, Rina, semua itu tak benar. Kalian juga banyak menyumbang. Tanpa Mia, kita tak mampu kalahkan Darma dan mungkin takkan terselamat dari serangan garfu gergasi itu."
"Kalau bukan sebab Rina, kita takkan dapat bolos dari doh Darma yang menyebabkan kita terlekat pada dinding," Adam menyambung ayat Isya.
"Kerana gabungan kuasa kalian berdua tadi pun, kita mampu alihkan perhatian Irene!" Arin turut memberi pendapatnya.
"Kalian juga membantu kami menumpaskan Nazriel dan Hayra sebelum ini," Wawa menambah lagi.
"Jadi kesimpulannya, semua ada tugas dan peranan masing-masing. Walaupun nampak kecil, tapi perkara itulah yang memberi kejayaan besar untuk kita sekarang ni.
Kalau nak ikutkan, aku sendiri ada kelebihan dan kekurangan sebagai ketua. Tapi aku tetap berusaha kerana aku tahu kamu semua akan tetap dengan aku walau apapun.
Aku tak nak dan tak akan kecewakan orang yang dah bersama dengan aku. Jadi jangan rasa diri tu tak berguna bila bersama dengan orang yang hargai kau," panjang lebar Aiden memberi sedikit kata-kata semangat.
Mia dan Rina seolah-olah terinspirasi dengan kata-kata mereka. Benar, semua mempunyai peranan masing-masing walau kecil atau besar. Mungkin kerana faktor umur juga, mereka tidak diberi peranan yang berat. Mereka perlahan-lahan mengerti mesej yang cuba disampaikan.
"Sudah, tak mahu sedih-sedih. Apa yang pasti sekarang, lepas ni giliran kamu berdua pula untuk menerima Kuasa Cahaya seterusnya. Antara kamu berdua akan mendapatkannya dahulu. Sudah bersedia?"
Kedua-dua gadis itu mengangguk laju dengan senyuman tak lekang di bibir. Mereka semua tersenyum.
"Sekarang, baru lah Arin mengerti."
Bicara Arin membuatkan mereka mengalihkan pandangan ke arah gadis tersebut.
"Kuasa Cahaya Merah tidak perlukan bukti kesetiaan Arin. Ia ada pada kita semua. Itu tujuan sebenar kuasa ini. Benar kata Viora. Ia bukan melibatkan individu, tetapi lebih daripada seorang.
Lihatlah bagaimana kita tetap mendorong Mia dan Rina. Mereka merasakan diri mereka tidak layak bersama kita, tetapi kita tetap menyokong dan memberikan kata semangat. Bukankah itu satu kesetiaan?"
Kata-kata Arin membuatkan mereka tersedar. Benarlah, bukan kesetiaan yang menciptakan hubungan mereka, tetapi merekalah yang menciptakan kesetiaan.
Hubungan yang terjalin di antara mereka membentuk satu perkara yang sukar difahami sifatnya. Ia seperti jiwa yang disatukan, menjadi sebuah rumah yang penuh dengan bahagia, duka lara dirasai bersama.
"Jadi itulah yang Viora nak kita nampak. Kesetiaan tidak terletak pada kuasa. Tapi ditentukan oleh kita."
Mereka semua tersenyum, mula mengerti tujuan kuasa tersebut. Terkadang, kuasa bukan sekadar satu senjata pertarungan, bahkan juga pelengkap hubungan.
"Eh, sudahlah berborak. Jom makan? Biar aku masak." Isya mengubah topik. Tiba-tiba, kedengaran bunyi perut berkeroncong dari Adam. Pipi Adam memerah. Mereka yang lain hanya tertawa.
Kuasa Cahaya Putih dikeluarkan, dan digabungkan sebelum diletakkan di atas meja bulat yang berdekatan dengan patung Dayana. Masing-masing mendapatkan lif untuk turun ke bawah.
Aiden orang terakhir turun kerana ingin meletakkan Kuasa Cahaya Putih di tempat yang sepatutnya. Lelaki itu tersenyum melihat gelagat rakan-rakannya yang berebut lif dengan cara bergurau. Perangai mereka yang kadangkala seperti kanak-kanak mencuit hati lelaki itu.
Arin, Mia dan Rina yang tertinggal sedikit jarak umur dengan yang lain, tidak pernah disisihkan. Semua dilayan sama rata, menunjukkan umur bukan penghalang untuk persahabatan terjalin. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja, di mana jua.
Aiden kini sedar, umur bukan segalanya. Benar, dia terpaksa layan karenah budak-budak yang belum matang ini, tetapi kadang-kadang itulah memori. Ia juga mengingatkan dia tentang waktu kecilnya.
Banyak contoh yang Arin, Mia dan Rina boleh ambil dari rakan-rakan mereka yang lain agar tidak melakukan kesilapan yang sama sewaktu sebaya mereka.
"Aiden, cepatlah!"
Adam memanggil Aiden yang sedari tadi mengelamun. Mereka semua sudah berada di dalam lif.
"Ah, baik!"
Aiden berlari pantas ke lif, sebelum menyelit masuk bersama rakan-rakannya.
"Kau nak masak apa, Isya?" Aiden melirikkan pandangannya pada tukang masak utama kumpulan mereka.
"Aku nak macaroni boleh?" Wawa mencelah.
"Alah, aku nak ayam buttermilk." Adam membantah.
"Kalau Arin, nak spageti lah!"
"Ewah, ewah. Seronok je korang request ya? Bayarlah." Isya mencekak pinggangnya sementara yang lain tertawa.
Aiden tersenyum lagi. Tiba-tiba, memorinya tentang Feraz terpancar di minda.
Andai Feraz masih di sini, pasti Aiden bertambah gembira. Tapi, perkara tidak boleh diundur. Hidup perlu diteruskan. Baginya, rakan-rakannya kini seperti rumah keduanya, dan dia telah pulang.
YOU ARE READING
{BOOK 1}Dystopia: The Begins Of Heroes
Adventure"Kau akan berdepan dengan cabaran yang sebenar." Mengisahkan sekumpulan remaja yang secara tidak sengaja telah menjalinkan ikatan persahabatan di alam maya, kini mempunyai misi untuk menyelamatkan bandar mereka. Pelbagai rintangan dihadapi oleh mere...