Sejam yang lepas.
Selesai solat Isyak, Yuhanis menyangkut telekungnya ke tempat penyidai. Setelah itu, rambut beruban penuhnya itu diikat rapi dan terus melangkah keluar dari bilik tidur menuju ke dapur.
Terangkat kening Yuhanis melihat anak bongsunya sedang menjamah nasi bersama lauk yang dimasak tengahari tadi.
Seharian dia tidak berjumpa dengan Harraz. Setiap kali cuti hujung minggu, ada sahaja aktiviti anaknya itu di luar.
Yuhanis hanya mengerling dari ekor mata sahaja. Malas mahu menegur. Sekarang juga anaknya itu lebih selesa berdiam diri sahaja. Entah kenapa. Sudah berbulan-bulan Harraz berperangai begitu. Sejak Hakim dan Raisa keluar dari rumah.
"Ibu dah makan ke?" Soal Harraz tiba-tiba.
Agak terperanjat juga Yuhanis. Jarang-jarang Harraz mahu memulakan perbualan.
"Sudah. Dengan walid tadi. Sepanjang hari tak nampak Yaz. Pergi mana?" Soal Yuhanis sambil mula dia mencuci pinggan mangkuk di mangkuk sinki sebelum berehat di dalam bilik.
"Hiking dengan budak office," balas Harraz ringkas.
Mengangguk Yuhanis dan kembali sunyi. Bunyi pinggan berlaga sahaja kedengaran di ruangan dapur itu.
"Lama tak nampak Angah. Angah memang tak ada balik-balik sini dah ke?" Tanya Harraz memecah sunyi.
Terhenti seketika tangan Yuhanis yang tadinya aktif membasuh pinggan. Kedengaran keluh dilepaskan.
"Ada lah sesekali dia singgah belikan barang dapur, bagi duit belanja. Dah tak ada tidur sini dah," balas Yuhanis perlahan.
"Ibu tak ada rasa rindu ke dekat Angah dengan menantu yang ibu buli-buli dulu tu?"
Diam Yuhanis. Malas dia mahu membalas. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan dirinya. Egonya begitu tinggi untuk mengungkap kata maaf pada anak dan menantunya itu tetapi sedikit sebanyak ada juga rasa rindu pada mereka berdua.
Sunyi sahaja rumah itu sejak mereka berdua keluar. Harraz pula seperti ada tiada sahaja selama ini di dalam rumah.
"Amra tu punya baik selama ni dengan ibu, langsung ibu tak appreciate dia. Ibu herdik-herdik dia lagi adalah. Sebab tu Yaz tak hairan kalau dia langsung tak nak balik sini tengok ibu," sindir Harraz.
"Kalau Amra tu isteri Yaz, Yaz pun akan buat benda yang sama macam Angah. Angah tu kira baik lah, langsung tak abai keperluan ibu dengan walid. Ikutkan, dia boleh je terus hilang tanpa jejak. Tapi sebab dia anak yang bertanggungjawab, dia jalankan juga tugas dia sebagai anak," tambah Harraz lagi. Sengaja ditekan perkataan anak itu pada ibunya.
Diam lagi Yuhanis langsung tidak menjawab. Hairan juga dia melihat Harraz yang kini kelihatan lebih positif. Jika tidak, ada sahaja yang tidak kena dengan Hakim di mata Harraz.
'Dah move on dari Raisa agaknya...' bisik hati Yuhanis.
"Assalamualaikum, Anis!" Tersentak Yuhanis dan Harraz berdua di dapur.
Terjengul kepala Cik Ros dan Cik Nah di pintu gril dapur mereka. Pintu pula sudah sedia terbuka sedari tadi oleh Yuhanis kerana berniat ingin membuang sampah yang berada di luar belakang rumah mereka itu.
YOU ARE READING
KIM'S: HIS STELLA | C | ✔️
Romance3rd HIS Series Syed Hakim Mikael x Ku Amra Raisa Ku Amra Raisa tidak pernah menyangka kekalahannya pada permainan gunting-batu-kertas atau nama modennya Osom bersama dengan kembarnya telah menjadi satu titik perubahan terbesar di dalam hidup. Pertem...