Hampir lima belas minit Hakim bertapa di dalam bilik air. Cuba menenangkan diri dari rasa amarahnya pada Raisa. Wajah basah diraup Hakim.
Dia terlalu sayangkan Raisa. Cintanya pada Raisa sudah terlalu jauh dan dalam. Akibat dua rasa itu, pertimbangan logik mindanya menjadi tipis. Oleh kerana itulah dia takut untuk meletakkan perasaannya pada Raisa.
Dia takut isterinya berubah hati. Dia takut ditipu lagi, dia takut perkara yang dibencinya dahulu berulang kembali.
Kuat keluahan Hakim lepaskan. Tuala disangkut pada pinggang sebelum melangkah keluar dari bilik air. Serba salah mula merundung hatinya. Terlayar kembali wajah pucat Raisa yang jelas sugul tadi.
Sumpah dia lupa akan keadaan Raisa yang kurang sihat.
Meliar mata Hakim ke seluruh bilik tidur. Tidak kelihatan sosok tubuh isterinya. Pantas t-shirt hitam kosong disarung pada tubuh bersama seluar track hitam yang sering dipakai ketika duduk di dalam rumah.
Keluar Hakim dari bilik dan mula menuruni tangga ke ruang tamu. Kelihatan Harraz bersandar santai di hadapan televisyen sambil bermain dengan telefon bimbit.
Laju sahaja kaki dia ingin melangkah ke arah adik bongsunya itu tetapi terhenti dek teguran dari Syed Ali.
"Icha dah makan ubat Angah? Teruk dia demam tu. Bawalah dia ke klinik. Sampai nak pengsan dia tadi," ujar Syed Ali prihatin.
Perlahan orang tua itu menapak dari muka pintu dapur menuju ke sofa ruang tamu sambil memegang secawan air yang baru diambil tadi.
"Icha nak pengsan?!" Soal Hakim terkejut.
Menoleh Syed Ali dan Harraz pada Hakim.
"Aik, Icha tak ada cakap ke? Dia nak pengsan tadi dekat tangga. Nasib baik Harraz sempat sambut. Kalau tak, dah tergolek dah menantu walid tu jatuh tangga," balas Syed Ali.
Sejam yang lepas.
Usai sahaja Raisa selesai mencuci pinggan sambil dibantu oleh Azlinda, terus pinggan bersih dicapai dari rak pinggan untuk dia menjamah lebihan makanan majlis sambutan hari lahir ibu mertuanya tadi.
Tekaknya langsung tiada rasa. Apa yang ditelan terasa payau sahaja. Tetapi ditelan juga demi perutnya yang rancak berkeroncong.
Sup yang dimasaknya tadi dihirup. Tawar.
"Kak Linda, betul ke okay sup soto Icha masak tadi?"
Tertoleh Azlinda ke arah Raisa sambil membongkok dia sedikit menyapu lantai.
"Okay je! Sedap macam biasa. Kenapa Raisa? Ajim pun sibuk kata sedap tau. Yang akak masak semua dia tak makan. Duk mengulang sup awak," tersengih Azlinda kembali fokusnya pada kerja menyapu lantai di dapur itu.
Tersenyum Raisa lega.
"Kita rasa tawar je sup ni. Sebab tekak kita sakit kut," balas Raisa.
"Rehatlah, akak pun lepas settle mengemas ni, nak gerak balik dah. Abang Haziq masuk kerja awal esok. Awak pun lepas makan ni terus je masuk bilik tau. Duduk bawah nanti menyakitkan hati je. Perempuan tak tahu malu tu macam dah sesat tak jumpa jalan balik rumah dah tu," sindir Azlinda merujuk pada Julia yang masih menempel pada Yuhanis di ruang tamu. Buat seperti rumah ini, rumah keluarganya pula.
Memang naik berbulu mata Raisa melihat.
Usai Raisa menghabiskan semangkuk sup soto yang dirasakan tawar tadi, kembali dia mencuci sisa mangkuk yang ada di dalam sinki.
YOU ARE READING
KIM'S: HIS STELLA | C | ✔️
Romance3rd HIS Series Syed Hakim Mikael x Ku Amra Raisa Ku Amra Raisa tidak pernah menyangka kekalahannya pada permainan gunting-batu-kertas atau nama modennya Osom bersama dengan kembarnya telah menjadi satu titik perubahan terbesar di dalam hidup. Pertem...