17

9.8K 329 2
                                        

BUK!

Pipi kiri Arden Nufail selamat dicium penumbuk entah ke berapa Isaac Mikael. Nufail pejam mata seketika. Sabar. Kau layak kena tumbuk, Pael. Pesannya kepada diri sendiri. Nufail sekadar berdiri kaku. Menerima segala hal yang bakal berlaku ke atas dirinya. Marah abang kepada Inaya sungguh tak main-main. Entah Nufail sendiri pun belum tentu mampu lindungi adik perempuannya sama seperti lelaki ini. Sekali lagi, Nufail membandingkan dirinya dengan orang lain.

Sepatutnya dia pergi ke sini selepas keluar dari auditorium semalam. Tapi ada hal syarikat pula buatkan Nufail terpaksa balik ke pejabat semula.

"Apa hak kau nak panggil adik aku pelacur sial!" Hambur Isaac. Tak perlu susah-susah dia cari Nufail. Lelaki ini sendiri datang serah diri. Kebetulan, selepas dia tanya Chloé ke mana Inaya selalu pergi untuk berjumpa 'seseorang', Chloé telah dedahkan nama dan tempat kerja Nufail. Dia fikir dia mahu ke pejabat Nufail esok. Tahu-tahu Chloé beritahu lelaki itu mahu berjumpa dengan Inaya.

"Aku... nak minta maaf dekat Maleeqa," jujur Nufail. Rasa kebas di pipi diabaikan. Dua beradik ini mempunyai tamparan dan tumbukan berbisa. Minggu ini sahaja boleh berdesing kepala otak Nufail.

Belum sempat sebuah tumbukan lagi mendarat ke pipi Nufail, satu tangan menahan lengan Isaac. Isaac mendengus. Apa Inaya buat dekat sini? Nak biar jantan keparat ini hina maruah diri itu lagi? Isaac mencerlung Inaya tajam. Berbalas dengan gelengan lembut Inaya. Tak pernah dia nampak Inaya berubah lembik sebegini hanya sebab lelaki. Baru sahaja Isaac ingin lepaskan tumbukan ke arah Nufail, suara Inaya sudah menghalang dahulu.

"Abang Mika!"

Nufail ketap bibir. Berdosanya dia terhadap Inaya Maleeqa.

"Kenapa adik tahan abang? Biar abang ajar jantan ni!" Bentak Isaac.

"Inaya dah tampar dia haritu, abang Mika. Abang Mika pergi, biar Inaya uruskan hal Inaya sendiri." Ujar Inaya pula. Nufail dipandang sekilas. Dia dapat rasa perit di pipi Nufail. Isaac bila marah, dia akan lepaskan sepenuh hati. Tak hairanlah pipi Nufail sudah naik ungu. Isaac berdecit sebelum beredar pergi. Sempat bahu Nufail dilanggar kasar.

"Kau jangan ingat antara aku dan kau dah habis. Jumpa aku balik nanti." Ucapnya perlahan. Cukup mereka berdua sahaja yang dengar.

Usai sahaja Isaac tinggalkan mereka berdua. Inaya peluk tubuh. Dia tak mahu berpindah tempat. Nanti sisi diva dia hilang bila jalan terhincut-hincut! Kemudian pandangan dibuang ke arah kolam ikan koi memandangkan mereka berdua berada di atas jambatan kecil di kawasan taman mini rumah keluarga Inaya.

"You nak apa datang sini?" Soal Inaya dingin. Jangan ingat dia sudah lupa. Masih berbekas rasa sakit hati itu.

Nufail toleh ke arah Inaya. Dia tahu gadis itu lansung tak mahu memandangnya. Tapi apakan daya, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata terimalah padahnya. Nufail tarik nafas dalam-dalam. Dia jarang nak minta maaf kepada orang dia tak kenali.

"Aku... minta maaf."

Sepi.

Inaya lansung tiada tanda mahu respons permohonan maafnya. Manakala Nufail sedang mengajar diri untuk bersabar. Kenapa dia yang baran ini ditakdirkan bertemu dengan gadis seperti Inaya? Penuh menguji kesabaran. Inaya menghela nafas. Dia suka Nufail. Tapi tindakan Nufail itu sungguh melampau. Mulut Nufail lansung tak bertapis.

"For what?" Tanya Inaya pula. Berpura-pura tak tahu. Walaupun dia suka Nufail. Dia rasa mulai beberapa hari lepas, dia patut buang perasaan bodoh ini. Dia layak dicintai oleh lelaki yang lebih layak. Lelaki yang lebih tahu menjaga hati dan perasaannya. Bukannya lelaki seperti Nufail ini.

"Aku hina maruah kau, Maleeqa. Aku tak patut cakap macam itu." Terang Nufail.

Maleeqa.

Kenapa lelaki ini gemar sangat gunakan nama Maleeqa? Inaya mula rimas dengan nama itu semula. Sama seperti sebelum-sebelum ini. Inaya pandang wajah tampan Nufail. Pipi lelaki itu juga sudah lebam. Berbekas. Jauh di sudut hati, terbit rasa kasihan. Namun akalnya menegah. Berfikir lelaki itu patut terima tumbukan padu Isaac. Biar sedar diri sikit. Mana tahu selepas ini Nufail reti menjaga tutur katanya.

"Okay." Balas Inaya sepatah. Dia sudah tiada hati mahu bercakap dengan Nufail.

"Aku... aku nak terima kasih juga sebab sukakan aku." Nufail pun tak tahu kenapa ayat itu tiba-tiba sahaja terpancul daripada belahan bibirnya. Mungkin sebab kata-kata Aryan semalam menyusup masuk ke tangkai hati. Nufail cuba. Dia cuba jadikan Aryan sebagai contoh terdekat. Pagi tadi pun, dia paksa diri untuk bangun tunaikan solat subuh. Mungkin bermula dengan paksaan, lama-lama dia akan terbiasa. Inaya memutarkan bebola matanya. Agaknya inilah sebab lelaki itu bersenang-lenang boleh hina dia sesuka hati. Sebab dia sahaja betul-betul sukakan Nufail berbanding perempuan lain.

"Pembetulan, pernah sukakan you." Kata Inaya. Sebelah kaki ditahan daripada terlalu memijak lantai kayu tersebut. Tekanan pada buku lali Inaya betul-betul menambah rasa sakit. Hati dah sakit, kaki pun sakit! Semuanya gara-gara Nufail. Dan bila  Nufail perasan raut wajah Inaya begitu tak selesa. Sepasang mata gelap itu tunduk memandang kaki Inaya. Jelas kaki kanan Inaya sedang terseliuh. Nufail mengeluh dalam
diam. Dialah punca Inaya sakit seperti ini.

Walaupun dia tiada hati terhadap Inaya. Dia masih punya rasa bersalah sebagai manusia.

"Kau ada pergi mana-mana lagi ke dalam rutin harian kau selain auditorium?" Soal Nufail tiba-tiba.

"Bukan masalah you." Balas Inaya pula. Kenapa lelaki ini sibuk pula nak tanya rutin harian dia?

"Aku nak tebus kesalahan aku. Mana tahu kau perlukan driver, aku boleh tolong bawakan." Pelawa Nufail. Hujung bibir Inaya terjungkit mengukir senyuman sinis. Dia dah ada Chloé yang sentiasa memandu untuknya. Pengawal peribadi pun ada. Rasanya pertolongan Nufail sangat tak diperlukan.

"Inaya," suara dari arah belakang mengalih perhatian mereka berdua. Serentak Inaya dan Nufail menoleh. Ternyata Puan Maria ada di situ sambil tersenyum lembut ke arah mereka berdua. Haih, dah pandai bawa balik lelaki ya... Inaya?

"Mummy..."Ujar Inaya perlahan. Aduh, awal pula mummy balik ke rumah hari ini. Kan tak pasal-pasal dah terjumpa dengan Nufail. Mesti nanti seribu satu soalan mummy ajukan kepada Nufail!

"Arden?" Walaupun masih terkial-kial dengan nama itu, Nufail hanya angguk. Dia agak, Inaya pernah bercerita tentang ini kepada ibunya. Nufail sekadar tunggu tindak-tindak selanjutnya wanita yang sudah berumur itu. Namun, tiada. Jangan kata... ibu Inaya masih tak tahu?

"Kenapa Arden ada dekat sini, sayang mummy?" Soal Puan Maria lembut. Dalam hati, tak henti memuji raut wajah kacak milik Nufail. Padanlah Inaya jatuh suka. Lihatlah rahang terletak elok, sepasang mata yang menawan. Hidung mancung. Kening juga lebat. Ketinggian Nufail juga boleh kata sempurna untuk lelaki. Pasti ibu dan bapa Nufail ini sama cantik dan sama padan.

"Er... dia tolong Inaya hantarkan balik rumah. Ni, tengok ini mummy. Inaya terjatuh masa latihan tadi." Kaki kanan ditunjuk Inaya. Dia cuba cari alasan selogik mungkin. Lagipun, Puan Maria tak ada di rumah semalam.

"Lah... kenapa sampai jatuh ni. Dah pergi klinik belum?" Puan Maria seakan termakan dengan penipuan Inaya. Inaya sudah tarik nafas lega. Namun, leganya tak berpanjangan bila Nufail bertindak menyoal Puan Maria sopan.

"Puan-"

"Apa panggil puan, panggil aje aunty, nak panggil mummy pun boleh." Nufail sudah tunduk segan. Ibu gadis ini terlalu baik.

"Boleh saya minta izin aunty untuk jadi driver Maleeqa sementara kaki dia belum sembuh?" Bibir Puan Maria sudah menguntum senyum. Macam mana Nufail boleh terlepas memanggil Inaya dengan panggilan Maleeqa? Anak bongsunya begitu pantang diusik bila melibatkan nama keduanya. Manakala Inaya pula sudah bertawakkal dalam hati agar ibunya menolak.

"Sure. Aunty izinkan."

Inaya rasa mahu pitam sekarang juga!

[C] Bukan Bidadari NufailTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang