USAH ditanya perasaan Aryan sekarang. Terkejut, tercengang, terkedu. Semua ada. Rasanya hari itu Nufail begitu bencikan Inaya. Sampaikan sanggup menghina maruah gadis itu. Tapi hari ini pula... Aryan tak tahu mahu kata apa. Kalau Darya ada, pasti wanita itu sudah gelak berguling. Arden Nufail, lelaki beku. Tiba-tiba datang jumpa dia, dan tanya pendapat bagaimana jika dia berkahwin dengan Inaya?
Agaknya Aryan mahu beri reaksi bagaimana?
"Kau yakin ke nak kahwin dengan dia, Pael?" Walaupun Aryan tak berapa kenal gadis itu. Tapi terbit juga rasa simpati terhadapnya kalau Nufail berkahwin hanya sebab suka-suka.
"Aku kena protect dia, Yan. Aku tak tahu apa yang lelaki durjana tu nakkan sangat dengan Maleeqa. She's just a dancer. Bukan model, atau berdarah kerabat pun." Luah Nufail. Dia sedar dia tak cintakan Inaya. Tapi setiap kali dia pandang wajah polos Inaya. Ada satu perasaan menyatakan bahawa dia perlu lindungi gadis itu. Walau apa jua sekalipun. Aryan mengeluh. Dia faham perasaan Nufail. Cuma bezanya dia dan Nufail, dia lindungi Darya bersama perasaan cinta.
Berbeza pula dengan Nufail.
"Kau tak rasa boleh seksa perasaan dia ke? Kau tak cintakan dia, kan?" Uji Aryan lagi. Perkahwinan bukan suatu perkara boleh dibuat main. Dia tak mahu lihat sebarang penceraian berlaku kalau boleh. Inaya terlalu muda untuk semua ini.
"Perasaan tu boleh dipupuk selepas kahwin kan?" Soalan dibalas soalan. Nufail akan cuba. Nanti. Bukan sekarang. Buat masa sekarang, biar dia buang perasaan suka dia terhadap Darya jauh-jauh. Selesaikan semua masalah berkaitan dengan Dato' Khalid. Selepas itu, dia akan cuba sedaya upaya untuk mencintai Inaya Maleeqa. Itu tekadnya. Sekurang-kurangnya, dia mahu cuba.
"Perasaan boleh dipupuk. Tapi kau, dah betul-betul bersedia? Untuk jadi suami, untuk bimbing dia. Biar aku tanya kau, kau masih ingat cara bacaan al-quran?" Tanya Aryan sambil secawan teh dihulur ke arah Nufail. Mereka berdua sedang berada di rumah Aryan sekarang. Tak lupa juga dengan Firash. Cuma lelaki itu berada dalam bilik. Katanya sedang ulang kaji pelajaran memandangkan sekarang musim study week.
Nufail angguk. Dia masih ingat. Cuma, dia jarang buka kitab suci itu.
"Kau pun boleh bagi tunjuk ajar dekat aku kan, Yan?" Tanya Nufail. Bagi dia, Aryan sahaja mampu tolong dia. Lelaki ini serba-serbi berpengetahuan. Berilmu. Tak salah rasanya jika dia mahu berguru dengan Aryan.
"Mestilah boleh. Sementara Arya tak ada. Rumah aku sentiasa terbuka untuk kau. Bila-bila masa aje kau boleh datang kalau nak tanya apa-apa. Jangan datang masa aku kerja dahlah. Kau nak belajar dengan jin mana?" Seloroh Aryan. Nufail sudah berdecit. Sejak-sejak beban hidup Aryan dah hilang, rajin pula lelaki ini bergurau. Tapi Nufail hanya biarkan, dia tahu jauh di sudut hati Aryan lelaki itu risaukan keselamatan Darya.
"Kalau macam itu, soalan pertama. Macam mana kau latih diri untuk bersabar?" Aryan berfikir sejenak. Menghadam soalan Nufail. Sabar. Perkataan yang pendek dan ringkas. Tapi tak semua orang mampu sabar.
"Mula-mula, kau kena kawal pernafasan kau bila kau rasa perasaan marah tengah kuasai diri. Sambil kau kawal pernafasan kau, fikirkan akibat kau baran tak bertempat. Masa itu juga kau akan berfikir secara rasional. Kemudian, ubah persepsi kau terhadap perkara yang kau marahkan. Kau nilai situasi tu dalam perspektif yang berbeza, kadang syaitan ni kuat menghasut. Benda kecil pun boleh jadi besar." Kusyuk Nufail mendengar. Aryan menyambung lagi.
"Kalau rasa betul-betul panas hati, bagi diri ruang. Jauhkan diri kau dari situasi tersebut. Mungkin kau akan lebih tenang. Semua yang aku sebut tadi, kalau ikut cara psikologi. Tapi cara Rasulullah SAW, tak kurang juga bezanya."
"Macam mana pula?" Aryan sudah tayang sengih. Seronok pula bila Nufail berminat dengan cerita dia kali ini.
"Sentiasa meminta pertolongan Allah. Baginda banyakkan berzikir, berdoa dan sentiasa memohon ketenangan ketika menghadapi cabaran. Selain itu, baginda tahan diri daripada marah. Rasulullah SAW sentiasa ingatkan umatnya, 'orang yang kuat bukanlah orang yang pandai berlawan, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.' Seterusnya, baginda sentiasa utamakan hikmah dan yang jelas. Baginda tak buat keputusan terburu-buru, sebaliknya mengambil masa untuk pertimbangkan pilihan yang ada." Air diteguk. Tekak terasa kering bila lama bercerita.
"Dekat sini, aku nak sampaikan. Fikir betul-betul dengan pilihan kau nak kahwini dia. Kau dengan dia, sama-sama tak sempurna. Sedangkan aku dan Arya pun saling membimbing. Kami tak sempurna, Pael. Tapi kekurangan sesama sendiri itulah melengkapi antara satu sama lain." Pesan Aryan pula.
Nufail diam. Menghadam setiap satu pesanan dan nasihat Aryan. Begitu juga Aryan, memberi ruang untuk rakannya itu berfikir.
"Dato' Khalid itu, bagi aku munafik." Nufail bersuara. Dahi Aryan pula sudah berkerut.
"Apa maksud kau?"
"Dia antara pelanggan tetap Syakila. Dato' Khalid boleh dikatakan pelabur salah satu hospital swasta dekat KL ini. Kadang-kadang, stok organ yang dia bekalkan... hasil sindiket haram itu. Hasil siasatan aku, dia tutup kerja kotor dia dengan kaburi mata masyarakat luar dengan kerja-kerja amal. Darkside hospital swasta. Apa nak hairan." Aryan masih tak faham. Apa kena mengena orang tua itu dengan Inaya?
"Lepastu, apa kaitan dia dengan budak itu?" Aryan masih bingung.
"Masa dia berjumpa dengan Syakila, dia ada minta Syakila dapatkan Maleeqa. Tapi hidup-hidup. Dia nakkan Maleeqa jadi sugarbaby dia atau pun isteri muda dia. Sebab Syakila dah kena tangkap, dia mula ancam privasi Maleeqa. Dia datang pejabat aku. Dia ingat aku boyfriend Maleeqa. Dia juga warning aku bila-bila masa aje dia boleh kahwini Maleeqa." Terang Nufail lagi.
"Apa jijik sangat perangai orang tua ni?" Kutuk Aryan. Sungguh dia pun naik geli bulu roma bila dengar niat orang tua tersebut.
"Tu aku hairan. Dia tercabar sangat ke sebab Maleeqa ni boleh kata sombong dengan peminat lelaki. Tapi... takkan sebab itu aje dia mahukan Maleeqa?" Fikir Nufail lagi. Makin ribut otak dia bila pengurus rumah anak yatim itu juga minta dia lindungi Inaya. Bukan itu sahaja, Puan Maria dan Issac juga harapkan dia.
Nufail mengetuk jari ke permukaan meja makan. Berfikir. Inaya Maleeqa. Nyx. Kenapa gadis itu tak gunakan nama sebenar dia sahaja depan khalayak umum?
"Kalau kau rasa dengan berkahwin dengan dia merupakan keputusan tepat. Aku sokong kau. Lagipun tak manis kalau kau asyik keluar berdua dengan dia. Syaitan sentiasa ada untuk hasut setiap umat Islam bagi lakukan kejahatan. Kau fahamkan maksud aku?"
Nufail faham.

ANDA SEDANG MEMBACA
[C] Bukan Bidadari Nufail
RomanceBOOK 2. Spin-off Aryan: Her Biggest Heartbreak Kata Darya, Arden Nufail ini bersikap lembut walaupun dingin. Namun, kenapa dia bersikap kasar terhadap Inaya Maleeqa? Tutur kata lelaki itu pedas sekali. Lansung tidak menjaga sekeping hati Inaya. Dan...