URAT di leher Nufail menegang. Nufail dapat agak hubungan Tuan Nuqman dan Tuan Irsyad tak berapa baik. Meskipun begitu, itu bukan penghalang dia dan Inaya untuk berkahwin! Nufail genggam penumbuknya erat. Tak faham apa sebenarnya berlaku antara Tuan Nuqman dan juga Tuan Irsyad. Lalu pandangannya dilabuhkan ke arah Puan Hanisa. Wanita itu geleng kepala perlahan. Meminta anak ketiga daripada empat beradik itu agar terus bersabar.
"Achik nak kahwin dengan dia!" Nufail berkeras. Tuan Nuqman buat tak endah. Sebaliknya, lelaki tua itu mencicip air teh selamba, ibarat kata-kata Nufail lansung tak didengar.
"Abah dengar tak apa achik cakap ni?" Kakak-kakak dan adiknya sekadar memerhati. Lebih selesa berdiam diri daripada masuk campur dalam perbalahan anak lelaki tunggal dalam keluarga itu bersama si bapa. Arden Nufail sejak kecil lagi kuat membentak. Dia benci diatur. Masing-masing dah masak dengan perangai Nufail.
"Dengar," balas Tuan Nuqman sepatah. Cermin mata tersangkut di batang hidung ditolak ke atas semula. Topik pada keratan akhbar di hadapannya sekarang lebih menarik daripada amukan Nufail.
"Then? Abah tak ada alasan lebih bernas lagi ke? Masalah abah dengan uncle tak ada kena mengena dengan achik dan Maleeqa lansung!" Ujar Nufail lagi. Lantaklah kalau mereka berdua bermusuhan pun. Sekarang ini, keselamatan Inaya lebih penting! Tak terbayang dek akal jika Inaya jadi isteri muda Dato' Khalid mahupun sekadar sugar baby. Gadis itu terlalu polos.
"Abah tak mahu anak abah ada kaitan dengan anak pembelot." Nufail semakin bingung. Pembelot apa pula ini? Jadi, sekarang ini Tuan Nuqman mahu cop Tuan Irsyad sebagai pembelot pula? Wah! Drama apa pula Tuan Nuqman sedang reka sekarang ini. Nufail tolak lidah ke dalam pipi. Kalau ya pun Tuan Irsyad dikatakan seorang pembelot. Itu masalah Tuan Irsyad dan bukannya Inaya.
"Itu ayah dia, bukannya dia!" Tempik Nufail.
"Jangan degil boleh tak, Arden Nufail!" Suara Tuan Nuqman naik seoktaf. Nufail betul-betul mencabar kesabaran. Boleh naik darah dia setiap kali bertekak dengan Nufail. Padah bila Nufail merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini. Habis semua mahu dibantah. Suruh jadi polis, dia ikut kepala sendiri pergi jadi jurutera perisian. Sakit kepala dia dan Puan Hanisa mahu hadap Nufail.
"Kalau abah bantah, achik sanggup kahwin dekat seberang sana. Yang penting sah di sisi agama," Nufail bersuara tenang. Itulah rancangan kedua dia jika Tuan Nuqman berkeras. Tuan Nuqman ketap bibir. Ya Allah, kenapalah hati anak ini begitu keras? Susah betul mahu akur dengan arahannya. Bukan dia mahu menegah Nufail daripada mendirikan rumah tangga. Tapi asal-usul gadis itu. Tuan Nuqman sungguh tak berkenan.
"Uncle Irsyad datang sini kejap lagi. Pandai-pandailah abah selesaikan hal abah dengan dia. Achik nak kahwin dengan Maleeqa." Nufail berlalu meninggalkan ruang tamu. Dia mahu naik ke bilik.
Setelah pintu bilik dikunci. Nufail rebahkan diri ke atas katil. Tangan diletak ke atas dahi. Nufail merenung siling bilik. Kemudian dia ketawa perlahan. Terasa kelakar pula situasi hidupnya sekarang. Sebelum ini dia sungguh yakin dia tak akan berkahwin. Selepas itu, dia pernah hina Inaya semata mahu tolak perasaan gadis itu. Dan sekarang, dia berkeras mahu berkahwin. Dengan gadis yang dia pernah hina suatu ketika dulu. Takdir itu... pelik. Sebab dia tak dapat jangka lansung apa yang bakal berlaku dalam hidupnya.
Tok! Tok! Tok!
Sebelah kening Nufail spontan terangkat. Siapa pula rajin datang bilik dia pula? Rasanya kakak-kakak dan adiknya semua dilarang masuk ke sini. Nufail tak suka privasinya diganggu.
"Ibu ni," oh... Segera Nufail bangkit dari katil. Pintu dibuka. Terus Puan Hanisa meloloskan diri, masuk ke dalam bilik anak bujangnya itu. Nasiblah Nufail ini agak pembersih orangnya. Tak adalah dia bising kerana bilik bersepah. Bau tak menyenangkan pun tiada. Puan Hanisa kemudian melabuhkan punggung di sisi katil Nufail.
"Kenapa ibu masuk bilik achik?" Soal Nufail. Puan Hanisa tersenyum lembut. Tempat di sebelahnya ditepuk lembut. Memanggil Nufail duduk di sebelah.
"Apa nama dia?" Soalan Nufail tak berjawab. Sebaliknya wanita yang sudah dimamah usia itu menyoal Nufail tentang gadis tersebut. Pasti gadis itu begitu istimewa sehingga Nufail sanggup bertekad mahu kahwini dia walau apa jadi sekalipun.
"Maleeqa... Inaya Maleeqa," balas Nufail pula. Kepala tunduk menekur lantai. Segan dengan ibu. Dia mana pernah berbual tentang mana-mana perempuan dengan ibu. Puan Hanisa mengusap rambut Nufail lembut. Sedar tak sedar, seorang kanak-kanak lelaki nakal dahulu sudah membesar menjadi seorang lelaki. Malah, anaknya ini sudah bersiap sedia mahu dirikan rumah tangga.
"Kenapa Nufail nak sangat kahwin dengan dia?" Puan Hanisa mula tertarik dengan sebaris nama yang terpancul dari mulut Nufail tadi. Dengar daripada nama sahaja pun dia boleh bayang pasti pemilik nama itu cantik sekali.
"Achik rasa... achik perlu lindungi dia, ibu. Dia polos, nampak rapuh sangat. Achik tak boleh bayang kalau dia jatuh ke tangan yang salah." Luah Nufail pula. Jujur dari hati. Dia nampak Inaya seorang gadis polos, rapuh. Gadis itu nampak sahaja kuat pada tatapan umum. Tapi Nufail dapat rasa, Inaya perlukan seseorang untuk melindungi dia. Hidupnya seolah selalu diancam.
"Tapi ibu..." Jeda. Nufail tatap wajah Puan Hanisa lama. Bolehkah ibunya terima Inaya? Perkataan solehah sungguh jauh daripada diri Inaya.
"Kenapa Nufail?" Perasan atau tak. Puan Hanisa seorang sahaja dalam keluarga ini suka panggil Nufail dengan nama sebenar lelaki ini. Nufail menghela nafas.
"Dia tak bertudung. Dia juga penari. Ibu boleh google nama Nyx kalau ibu nak tahu rupa dia macam mana. Ibu... boleh terima dia ke?" Teragak-agak Nufail bertanya. Walaupun dia tak suka Inaya, dia masih bertimbang rasa. Dia tak mahu ada isu antara ibu dan Inaya. Inaya perlu dibimbing. Dia takut jika suatu hari nanti ibu bencikan Inaya kerana dia tak seperti gadis muslimah lain. Elok-elok dia boleh hindarkan Inaya dari Dato' Khalid, mental gadis itu pula disakiti keluarganya.
Ibu tampak seolah sedang berfikir sejenak. Kemudian ibu tersenyum nipis.
"Ibu yakin Nufail boleh bimbing isteri Nufail ke jalan benar. Abah dan ibu dah curahkan ilmu secukupnya kepada anak-anak kami. Kalau ada kurang sekalipun, Nufail boleh cari ilmu agama selebihnya di luar. Ada kala ibu dan abah khilaf bila terlepas pandang sekecil-kecil perkara." Liur terasa kelat tatkala mendengar pesanan si ibu. Nufail sedar, keluarganya telah terapkan ilmu agama kepada dia sejak kecil lagi. Tapi dia? Seolah tak pernah belajar agama.
Kalau ibu tahu mesti ibu kecewa dengan achik, kan? Fikir Nufail dalam hati.
"Nanti ibu cuba bercakap dengan abah. Ibu pun nak tengok anak lelaki ibu ini berkahwin. Kakak-kakak Nufail semua dah selamat mendirikan rumah tangga. Tak salah lepas ini kalau ibu dapat timang cucu daripada Nufail pula." Ibu ketawa kecil usai menghabiskan ayat terakhirnya.
Ibu, kalaulah ibu tahu achik tak cintakan Maleeqa.

ANDA SEDANG MEMBACA
[C] Bukan Bidadari Nufail
RomanceBOOK 2. Spin-off Aryan: Her Biggest Heartbreak Kata Darya, Arden Nufail ini bersikap lembut walaupun dingin. Namun, kenapa dia bersikap kasar terhadap Inaya Maleeqa? Tutur kata lelaki itu pedas sekali. Lansung tidak menjaga sekeping hati Inaya. Dan...