22

9K 312 0
                                        

GURAUAN Nufail kali ini sungguh tak kelakar. Inaya tak mampu ketawa. Orang tua ini dah gila ke macam mana? Ataupun seumur hidup lelaki ini sentiasa serius sehingga tak tahu mana satu gurauan dan mana satu perkara tak boleh dibuat main? Inaya masih kaku di sisi Nufail. Mereka berdua sekarang sedang berada di ruang tamu rumah keluarga Inaya.

Nufail sangat berani mati.

"Kamu Arden Nufail anak Komisioner Polis DCP Nuqman?" Nufail telan liur. Bagaimana Tuan Irsyad tahu? Sedangkan sudah lama dia sembunyikan fakta yang tak dapat disangkal itu. Nufail tak suka digelar anak polis. Kadang kala dia rasa kerja polis ini tak layak dibanggakan. Dicemuh masyarakat. Berapa banyak sudah kes polis makan rasuah dalam negara ini?

Polis pun membunuh.

Akan tetapi, kerana ayahnya mempunyai pangkat besar dalam institusi polis jugalah dia dapat membantu Aryan dan Darya tumpaskan sindiket yang bernaung di bawah Syakila. Skil pengkomputeran Nufail memang sedia hebat. Cuma maklumat siasatan kes Syakila antara maklumat sulit antara pihak polis. Sukar untuk dapatkannya secara lebih lanjut.

Sejak kecil lagi keluarga Nufail meletakkan harapan tinggi agar jejaka itu bakal mewarisi kerjaya si ayah. Nufail mahir dalam seni pertahankan diri dan tangkas menggunakan senjata. Jejaka ini juga genius dalam merungkai segala kes. Pernah juga dia membantu ayahnya secara diam-diam. Malang sekali, Nufail adalah Nufail. Dia lebih memilih untuk mengejar cita-cita sendiri daripada terus mengikut aturan keluarga.

"Ya, uncle." Jujur Nufail. Apa gunanya lagi jika dia bohong? Dia perlu kahwin dengan Inaya.

Perlu dan mahu.

Jelas membawa maksud berbeza. Kebiasaannya, rata-rata pasangan akan gunakan perkataan mahu. Tapi bukan Nufail. Mahu adalah istilah yang diguna jika dia sedang mencintai Inaya. Walaubagaimanapun, pada situasi sekarang. Dia lansung tak cintakan Inaya. Niatnya sekadar mahu melindungi Inaya.

Puan Maria kekal diam. Dia serahkan semua kepada suaminya memandangkan lelaki itu wali sah Inaya. Lagipun dia nampak Nufail seorang yang bertanggungjawab. Jejaka ini begitu berani meminta izinnya tempoh hari semata mahu tawarkan diri jadi pemandu Inaya. Riak wajah Tuan Irsyad serius sekali. Puan Maria tak pernah nampak suaminya serius begini. Bapa kepada tiga anak itu biasanya kuat mengusik dan sering kali tersenyum, bukan serius seperti ini.

Mungkin sebab ia melibatkan masa depan Inaya.

"Yang lain, tinggalkan daddy dengan Arden. There's something I need to discuss with him alone." Tegas Tuan Irsyad. Inaya tercengang. Kenapa sampai daddy nak halau mereka semua dari sini. Jangan kata daddy benarkan Arden kahwini dia? Inaya keraskan tubuh bila Puan Maria dan Issac mahu tarik dia meninggalkan Nufail dan Tuan Irsyad berdua.

"Apa ni daddy!" Bentak Inaya. Bukankah dia pernah kata, dia dah tak mahu sukakan Nufail? Sekarang dia lebih selesa berkawan sahaja dengan lelaki itu.

"Inaya Maleeqa." Tuan Irsyad mengeram bila anak gadisnya berdegil tak mahu tinggalkan ruangan itu. Isaac seolah mengerti, terus berbisik ke telinga Inaya.

"Jangan buat daddy marah, dik. Abang tak pernah nampak daddy serius macam ini." Dengan sebal, Inaya mengikuti langkah Isaac. Nufail dicerlung tajam. Tak faham apa yang lelaki itu nak. Hari itu, sampaikan sanggup menghina dia. Tiba-tiba hari ini lelaki itu meminta izin ibu dan bapanya untuk mengahwini dia.

Hilang sahaja kelibat mereka bertiga. Tuan Irsyad sandarkan tubuh ke sofa. Kaki disilang. Sepasang matanya tajam merenung Nufail umpama seekor helang mahu merejam mangsa. Entah kenapa, Nufail dapat rasa aura Tuan Irsyad bukan biasa-biasa. Telinganya sempat tangkap bisikan Isaac terhadap Inaya tadi memandangkan dia duduk bersebelahan dengan Inaya. Tuan Irsyad tak pernah serius begini.

Ataupun Tuan Irsyad tak pernah tunjuk sisi ini di hadapan ahli keluarganya.

"Apa yang kau dan bapak kau rancangkan sampai mahu libatkan anak aku?" Nufail angkat kepala. Dia bingung. Apa maksud kata-kata Tuan Irsyad itu? Nufail rasa, bapanya lansung tak tahu apa-apa.

"Apa maksud uncle? Abah saya kenal dengan uncle ke?" Soal Nufail. Jangan kata bapa Inaya ini kenal dengan bapanya. Jika mereka berdua kenal sekalipun, apa kena mengena dengan dia dan Inaya? Bermacam soalan dia mahu tanya kepada Tuan Irsyad. Namun, dia tahan saja. Cara Tuan Irsyad pandang dia pun, dia dapat rasa serba tak kena.

"Berhenti berlakon, Arden. Kau bagitahu aku sekarang. Apa yang kau dan bapak kau rancangkan!" Amuk Tuan Irsyad. Nada suara dia cuba tahan seboleh mungkin. Tak mahu ahli keluarganya dengar amukan dia. Tuan Irsyad berang. Kenapa anak lelaki Nuqman ada di sini, pada ketika ini. Lebih teruk lagi, dia datang bersama hajat mahu berkahwin dengan anak bongsunya, Inaya. Dia tak kisah jika Nuqman masih berdendam dengan dia sekalipun. Meskipun begitu, jangan sesekali libatkan anak-anaknya. Lebih-lebih lagi, Inaya Maleeqa.

Silap dia sebelum ini tak siasat latar belakang Nufail. Dia cuma sedia maklum daripada Puan Maria bahawa jejaka ini merupakan lelaki yang Inaya suka.

"Saya tak faham maksud uncle sebenarnya. Saya sendiri pun tak pernah kenal uncle dan Maleeqa. Saya ikhlas mahu memperisterikan dia. Saya tak rancang apa-apa pun dengan abah. Cuma saya tahu keselamatan Maleeqa sekarang terancam." Wajah Tuan Irsyad tadinya tegang kini mengendur. Apa yang lelaki muda di hadapannya ini tahu tentang keselamatan Inaya?

"Apa kau tahu pasal keselamatan Inaya?" Tuan Isyad mulai curiga.

Nufail betulkan kotak suara.

"Uncle kenal Dato' Khalid?" Tuan Irsyad kerut dahi. Dia kenal. Sebaris nama itu giat aktif dalam kerja-kerja amal sejak beberapa tahun lalu. Wajah lelaki tua itu juga sering terpapar dalam akhbar harian.

"Dia ancam keselamatan Maleeqa. Dah berapa kali saya nampak ada orang selalu ekori Maleeqa. Minggu lepas, gambar-gambar Maleeqa sampai ke pejabat saya. Dato' Khalid juga ada datang berjumpa saya." Terang Nufail.

"Dia nak apa dengan anak aku?" Tuan Irsyad mula tak sedap hati.

"Dia kata, kalau tak dapat Maleeqa jadi sugar baby, dia sanggup jadikan Maleeqa isteri muda dia walau apa cara sekalipun. Uncle rasa selamat ke untuk Maleeqa bergerak bebas kalau dia diekori ke mana-mana sahaja?" Nufail cuba bermain mental. Dia tak boleh kedengaran seperti memaksa Tuan Irsyad. Sebaliknya dia perlu gunakan taktik melibatkan psikologi.

"Bagi aku jumpa bapak kau dulu." Putus Tuan Irsyad. Memang dia risaukan Inaya. Tapi dia tak boleh sesuka hati serahkan Inaya di bawah jagaan Nufail. Walaupun Nufail nampak seperti tak tahu apa-apa, dia masih ragu-ragu dengan Nufail. Mana tahu lelaki itu hanya berlakon.

Dia ada perhitungan perlu dibuat dengan Nuqman.

[C] Bukan Bidadari NufailTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang