33

10.1K 317 5
                                        

SESEKALI hujung lengan baju Nufail digenggam Inaya. Nufail sudah gulingkan bebola matanya sebelum tangan Inaya dibawa masuk ke dalam genggaman tangannya. Lantas, kepala Inaya yang tersarung topi milik Nufail mendongak memandang Nufail. Sepasang mata itu memandang Nufail polos. Nufail sudah tolak lidah ke dalam pipi. Kenapa Maleeqa nampak comel ketika ini? Dengan separuh wajah dilitupi topeng muka. Dahlah jauh lebih pendek darinya. Rasa nak buat keychain!

"Nanti kau hilang aku pula yang susah," kata Nufail. Seolah menjawab persoalan Inaya tanpa ditanya. Nufail sudah serik dengan kejadian di mana Darya diculik suatu ketika dahulu.

"Dalam Pavillion aje pun," gumam Inaya.

"Pavi tak Pavi. Tempat ramai orang macam inilah orang senang nak culik kau. Kau dahlah kecil. Sekali tarik sahaja dah hilang." Tambah Nufail lagi. Kali ini bersama sebuah bebelan. Mereka berdua berada di Pavillion atas permintaan Inaya. Habis sahaja waktu bekerja, Nufail pergi ke auditorium. Menjemput gadis itu. Kemudian, Inaya ajak dia keluar. Nufail hanya setuju memandangkan Inaya pun jarang merayau ke mana-mana.

Kadang-kadang, Nufail hairan juga. Takkanlah Inaya tak bosan terperap di rumah saja. Tak berada di rumah, Inaya berada di auditorium. Kalau gadis lain, sudah tentu merata-rata mereka pergi keluar bersama rakan ataupun secara bersendirian.

"Kau tak bosan ke duduk rumah memanjang? Tak rumah, auditorium. Tak teringin nak keluar sendiri ke?" Inaya geleng kepala perlahan. Mengundang perasaan hairan dalam diri Nufail. Seriuslah budak ini tak rasa teringin lansung?

"Daddy tak bagi I keluar sesuka hati. Dia kata bahaya. Sejak kecil I jarang sangat terluka. Daddy dengan mummy kalau boleh tak mahu I jatuh sakit lansung." Terang Inaya lagi. Secara tak lansung, dia sudah terbiasa terperap di rumah. Pada waktu ini, Nufail seolah berfikir sejenak. Teringat pesan Tuan Irsyad sebaik sahaja lelaki itu bersetuju untuk dia kahwini Inaya.

"Jangan bagi Inaya terluka walau sedikitpun."

Nufail tak nafikan. Mereka menjaga Inaya bak permata. Puteri bongsu dalam keluarga. Pastilah perhatian diberi lebih.

"Arden," panggil Inaya perlahan apabila mereka berhenti pada satu butik. Nufail tunduk memandang Inaya.

"I nak ni satu, boleh?" Nufail memandang ke arah di mana satu kain fabrik disentuh Inaya. Nufail merenung butik itu sekejap. Tanpa sedar, senyuman kecil terbit di bibir Nufail. Dah lama sebenarnya dia ingin tegur Inaya. Tapi tak terkeluar daripada mulut. Nufail mengusap rambut Inaya lembut.

"Ambillah, ambil lebih pun tak apa. Aku bayar," balas Nufail. Inaya sudah ketap bibir. Takkanlah dia mahu ambil lebih-lebih. Dia tak reti nak buat perkara itu. Manakala Nufail pula sudah merenung Inaya. Kenapa Inaya masih tercegat ini? Gadis itu fikir dia sedang memerli, ke?

"Hey, aku tak perli kaulah. Aku faham," kalut-kalut Nufail menerangkan isi hatinya. Lansung dia tiada niat mahu buat Inaya terasa.

"Taklah, cuma... I-I... tak reti," kecil sahaja suara itu membalas. Dia malu dengan Nufail. Selama ini dia mahu sertai Nufail sekali. Tapi dia segan. Kerana pengetahuannya tentang perkara itu seolah kosong.

"Apa gunanya aku sebagai suami kalau aku tak boleh bimbing kau solat, Maleeqa?" Sambil itu, tiga pasang telekung di ambil Nufail. Tangan kiri yang masih menggenggam tangan kecil Inaya mengheret gadis itu masuk ke dalam kedai. Telekung-telekung itu Nufail letak ke atas kaunter.

"S-satu pun dah cukup, Arden."

"Maleeqa sayang, habistu kalau satu telekung kau tu tengah basuh. Kau nak guna telekung mana pula? Hm?" Tak boleh cara kasar. Nufail terpaksa guna cara lembut. Betullah dia kata, takkan Inaya mahu sarung kain pelikat dia pula? Nak pinjam dengan Aisha pun, pasti gadis ini segan. Pipi Inaya sudah berona hangat. Kenapa tiba-tiba Arden berlembut dengan kita ni!

"Encik nak bayar secara tunai ke kad?" Soal pekerja butik itu. Sejak tadi dia menjadi penonton tak berbayar pasangan di hadapannya ini. Sampaikan terasa mahu lipat bumi. Ataupun patut ke dia sertai ajaran Abuya supaya dia dapat jodoh secepat mungkin?

"Kad." Balas Nufail sepatah. Kad diletak atas kaunter sambil sepasang mata gelap itu merenung Inaya lama. Hailah, isteri. Minta beli telekung saja pun. Bukan beli benda merapu. Dia punya gelabah suruh beli satu macam suami dia ini tak mampu nak beli lebih. Siapa lagi nak gunakan duit Nufail kalau bukan isteri sendiri?

Siap sahaja bayaran dilakukan. Nufail mengambil beg kertas itu. Dari arah kiri bersungguh Inaya cuba capai beg kertas berisi telekung tersebut. Lagi galak Nufail jauhkan daripada Inaya. Inaya sudah pasang wajah cemberut. Apa susah sangat Arden nak bagi kita pegang ni! Sudahlah tadi dia dah bayar semua. Jenama telekung tadi bukannya murah. Jenama Naelofar! Selepas itu tak bagi Inaya pegang sendiri. Inaya pun reti rasa terhutang budi.

"Aku tak suka biar perempuan bawa barang. Kalau boleh aku nak biar kau bawa diri aje, Maleeqa." Mungkin kerana sejak kecil dia dikelilingi kakak-kakak dan adik perempuan. Lama-lama dia jadi terbiasa melayan kaum perempuan sebegitu. Tapi Nufail bukan jenis lelaki melayan perempuan sembarangan. Setakat kawan baik sendiri iyalah. Dan mungkin selepas ini dia tak layan Darya seperti ini lagi. Dia sudah ada isteri.

Sudah tentulah layanan dia tertumpu kepada Inaya seorang sahaja.

"I nak aiskrim boleh?" Tanya Inaya sebaik sahaja dia terpandang satu kedai aiskrim. Tangan Nufail digoyang perlahan. Persis kanak-kanak kecil sedang memujuk meminta aiskrim. Nufail merenung Inaya lama. Aik, budak ini. Tadi bukan main rasa bersalah. Dah jumpa dunia dia terus lupa.

"Nak aiskrim ke nak bingsu?" Permintaan Inaya dilayankan saja. Selama dia berkahwin dengan Inaya pun. Mana pernah gadis itu minta macam-macam. Inaya Maleeqa sungguh aneh. Gadis ini bukan tipikal perempuan di luar sana. Biarpun dia dimanjakan dengan kehidupan mewah, tak pernah lansung gadis itu memilih bab makanan atau apa-apa sahaja. Mungkinlah, set penjagaan kulit Inaya ataupun wangian dan alat solek Inaya boleh kata berjenama mahal.

Tapi normallah untuk gadis seperti dia.

"Bingsu!" Nufail mengangguk faham.

"Tunggu sini kejap, aku pergi tapau. Kau pun mesti tak selesa nak tonjolkan diri dekat public buat masa sekarang." Pesan Nufail.

Sambil menunggu Nufail bungkuskan bingsu. Inaya keluarkan telefon dari dalam beg tangan. Betul-betul dia akur dengan arahan Nufail sehingga dia tak berganjak walau sedikitpun. Dari jauh Nufail perhatikan Inaya sambil menunggu bingsu siap dibungkus. Namun, jantung Nufail hampir berhenti apabila mata terpandang terdapat sebarang objek kaca dari atas sedang laju jatuh ke lantai.

"Maleeqa!" Jerit Nufail.

Silap jatuh, Inaya bakal menjadi mangsa. Beg kertas ditangan Nufail terlepas jatuh ke lantai. Pantas kaki berlari mendapatkan Inaya. Inaya masih bingung hanya berdiri statik di tempatnya. Terus tubuh direngkuh Nufail erat sebelum telinga berdesing menangkap bunyi objek kaca pecah betul-betul di sebelah mereka berdua.

"Kenapa kau tak lari!" Tempik Nufail. Hampir sahaja dia lihat sekujur tubuh di dalam dakapannya ini berlumuran darah. Nufail mendongak ke atas. Dia sudah agak. Mereka sengaja. Mereka tak mahu Inaya mati. Sebab itu objek kaca itu jatuh betul-betul di sebelah Inaya. Seolah mahu menguji Nufail.

Senang kata, ianya merupakan sebuah amaran.

"A-Arden, kita kena balik." Beritahu Inaya resah. Sebelum lebih ramai perasan dia adalah Nyx. Ada baiknya mereka berdua balik ke rumah sekarang.

Dengan pantas, Nufail membawa Inaya mengambil beg kertas tadi bersama bungkusan bingsu. Masuk sahaja ke dalam kereta. Nufail tunduk memandang kaki Inaya yang sedikit terluka. Jejaka itu tergamam. Sepasang matanya naik memandang Inaya yang sedang tunduk mengetap bibir.

"M-Maleeqa... kaki kau t-terluka." Tergagap Nufail menyatakan apa yang dia nampak sekarang.

"Kita balik, Arden. Biar I balut luka sendiri." Ucap Inaya dingin. Dia tak boleh ke hospital.

[C] Bukan Bidadari NufailTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang