KAIN telekung dilipat kemas. Inaya sandarkan tubuh di penjuru katil. Jam menunjukkan jam 2 pagi. Inaya terjaga. Manakala Nufail pula masih tidur. Tanpa berlengah, terus dia lakukan solat tahajjud. Dia cuma... mengikut pesanan Nufail. Inaya menghela nafas. Jujur, dia berasa lebih tenang selepas lakukan solat sunat tersebut. Fikiran Inaya menerawang jauh. Kepala masih terngiang-ngiang ayat Nufail semalam.
"Selama ini, apa guna aku sebagai suami kau ajar kau berdoa dan baca al-quran kalau isteri aku ini tak mahu gunakan ia sebagai sumber kekuatan dia saat dia bersedih?"
Tanpa Nufail tahu, sebaris ayat itulah yang sedarkan Inaya. Bersungguh Nufail membimbing dia selama ini walaupun dia masih bertatih. Nufail tak pernah mengeluh. Selama ini, Inaya buat tak endah tentang hukum-hakam. Bukan Tuan Irsyad tak didik dia dengan betul. Inaya sendiri pejamkan mata. Keraskan hati.
Inaya naik ke katil. Membaringkan tubuh di sisi Nufail. Kemudian, dia berpaling menghadap Nufail. Mesti lelaki ini penat kan, jaga dia selama beberapa hari ini? Getus hati Inaya. Inaya menyelit tangan ke pinggang Nufail. Tubuhnya dirapatkan lalu wajah disembam ke dada Nufail. Nufail yang terasa tubuh dihimpit serta-merta membuka mata separuh. Tangan diletak ke pinggang Inaya.
"Kenapa tak tidur lagi?" Soal Nufail bersama suara serak basahnya. Dia masih mengantuk.
"I solat tahajjud..." beritahu Inaya perlahan. Suaranya tenggelam timbul kerana wajah masih rapat ke dada Nufail.
"Dah pukul berapa ni?" Tanya Nufail lagi.
"Dua pagi," Nufail bangun daripada pembaringan. Wajah diraup perlahan. Dia menoleh ke arah Inaya. Ternyata isterinya itu sedang terkebil-kebil. Pelik apabila dia tiba-tiba bangun terduduk.
"Bagi aku solat tahajjud dulu, okay?" Alang-alang dia pun sudah terjaga. Rasanya tak salah kalau dia turut tunaikan solat sunat tersebut. Inaya sekadar angguk. Daripada Nufail bangun dari katil, masuk dan keluar tandas, sehinggakan lelaki itu mula solat di atas sejadah. Inaya perhati dengan penuh minat. Inaya obseskan suami sendiri! Setiap bait surah-surah yang dibaca Nufail menyusup masuk ke gegendang telinga Inaya biarpun agak perlahan. Mungkin kerana keadaan sunyi bilik itu.
"Maleeqa," sepasang mata yang merenung Nufail tadi kini berkelip apabila sedar Nufail kini berada di hadapannya.
"Tidur. Nanti kau tak cukup rehat." Tubuh Inaya ditolak baring di sisinya. Nufail tekup mulut yang mula menguap. Rasa kantuk mula kuasai diri semula.
"Arden..." Gemersik suara Inaya menerobos masuk ke gegendang telinga Nufail. Inaya merenung wajah tampan Nufail yang hanya disimbah cahaya malap lampu tidur di sisi katil.
"Hm."
"Terima kasih, sebab selalu sedarkan I. Bimbing I tanpa lelah." Sepasang mata Nufail kembali tercelik.
"Itu tanggungjawab aku, Maleeqa. Kau isteri aku. Tugas aku sebagai suami kau kena perbetulkan mana yang salah." Tangan kasar Nufail naik mengusap pipi Inaya. Hangat. Cuaca bumi Paris pada bulan September ini agak sejuk. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Sejuk mencengkam. Suhu pendingin hawa pun mereka terpaksa naikkan. Mahu guna penghangat, masih belum tiba musim sejuk.
"Kau yang sedarkan aku, Maleeqa. Tuhan hantar kau sebagai asbab aku berubah. Aku tak baik mana. Aku pernah terpesong. Bila aku kahwin dengan kau. Aku mula sedar, aku ada isteri untuk dipimpin." Luah Nufail. Inaya selalu menjadi sebab dia kuatkan hati untuk istiqamah. Berubah ke arah lebih baik. Pada mulanya, dia rasa agak susah. Diri sendiri pun terumbang-ambing. Inikan pula mahu bimbing Inaya. Sudahlah gaya hidup Inaya boleh dikatakan agak bebas. Perkataan solehah sungguh jauh daripada Inaya.
Akan tetapi, Nufail silap. Inaya mudah dibentuk jika kena dengan cara. Walaupun makan masa, lama-kelamaan Inaya sendiri tertarik untuk belajar lebih lagi dengannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
[C] Bukan Bidadari Nufail
RomanceBOOK 2. Spin-off Aryan: Her Biggest Heartbreak Kata Darya, Arden Nufail ini bersikap lembut walaupun dingin. Namun, kenapa dia bersikap kasar terhadap Inaya Maleeqa? Tutur kata lelaki itu pedas sekali. Lansung tidak menjaga sekeping hati Inaya. Dan...