NUFAIL hanya duduk di luar rumah agam tersebut apabila perasan ada buaian di luar. Dia pun tak mahu penghuni rumah itu rasa tak selesa hanya sebab ada lelaki sesat dalam rumah itu. Dia faham. Nufail sekadar belek telefon di tangan. Nak hisap rokok, nampak seperti tak beradab. Aplikasi galeri Nufail buka. Ada gambar keluarganya, ada juga gambar Aryan dan Darya. Aryan... dah berapa hari lelaki itu tak menghubunginya. Nufail mengeluh.
Padahal Darya harapkan dia untuk tengok-tengokkan Aryan dan Firash. Sekali dia sendiri buat hal. Dia cari pasal dengan Aryan sedangkan lelaki itu hanya mahu menasihati dirinya. Bodohlah kau, Pael. Kutuk dia kepada diri sendiri.
"Arden," sapa wanita berusia yang dikenali sebagai umi tadi. Nufail tersentak. Terus dia ke hujung buai. Memberi ruang kepada umi agar duduk di situ juga. Dengan senang umi melabuhkan punggung di sisi Nufail. Dia agak Nufail ini boleh dikatakan 'istimewa' bagi Inaya. Gadis itu mana pernah bawa mana-mana lelaki ke rumah ini.
"Mana Maleeqa, puan?" Tanya Nufail. Dia rasa kekok mahu panggil umi. Lagipun dia bukan kenal rapat pun dengan wanita ini.
"Panggil aje umi. Umi anggap semua anak-anak umi." Pada ketika ini, Nufail dapat simpulkan sesuatu. Inaya dikelilingi orang-orang yang peramah. Juga penyayang. Tutur kata mereka sungguh lembut. Nufail berfikir sejenak. Kenapa sebelum ini Inaya sukakan dia jika sifatnya jauh daripada semua ini? Dia tak pernah berlembut dengan Inaya.
"Inaya ada dekat dalam. Layan budak-budak. Dia orang sukalah bila kakak Inaya dia orang datang." Nufail hanya mendengar. Umi tersenyum lembut.
"Rumah ni nampak terurus rapi kan?" Soal umi tiba-tiba. Sengaja mahu ajak Nufail berbual.
"Betul umi, bersih aje halaman pun."
"Kalau umi yang uruskan seorang diri, tak mungkin terurus macam ini, Arden. Pekerja lelaki pun tak ada. Kos selenggara lagilah umi tak mampu nak bayar." Beritahu umi. Rasanya kalau Inaya tak ambil keputusan untuk terus kekalkan rumah kebajikan ini, pastu dia dan penghuni lain tak dapat tempat berlindung yang selesa seperti ini. Pada pandangan masyarakat, Inaya tampak seperti seorang penari sombong. Namun, hanya yang rapat dengan gadis itu sahaja kenal hati budinya.
"Apa maksud umi?" Nufail berminat mahu dengar cerita umi. Sambil-sambil dia hirup udara segar di sini. Tak salah rasanya dia ambil tahu serba sedikit tentang Inaya.
"Selepas madam Aurélie meninggal, rumah kebajikan ini dalam krisis. Tak ada seorang pun sudi ambil alih sebagai pemilik memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya. Pada mulanya, kami hampir berpindah ke tempat lain. Tiba-tiba Inaya ambil keputusan, untuk ambil alih pemilikan rumah kebajikan milik arwah nenek dia. Dia kata, dia tak sampai hati nak tengok kanak-kanak dan remaja perempuan yang dah biasa hidup dengan suasana tenang tanpa lelaki perlu berpindah ke rumah kebajikan lain yang biasanya bercampur lelaki perempuan." Umi tersenyum nipis.
Dia masih ingat lagi ketika ibu dan bapa gadis itu tercengang dengan keputusan mendadak anak bongsu mereka.
"Bukan bermaksud Inaya berpegang prinsip untuk hidup tanpa lelaki. Bagi dia, suasana tenang tanpa lelaki itu di mana remaja-remaja perempuan yang berhijab dekat sini tak perlu fikirkan aurat mereka ketika tinggal di sini. Mesti agak lecehkan mahu jaga aurat mereka kalau rumah kebajikan itu bercampur lelaki dan perempuan." Terang umi lagi. Walaupun Inaya tak berhijab. Tapi gadis itu sangat menjaga dan hormatkan aurat penghuni rumah ini.
Nufail terdiam. Bayangkan, dia sudah hina Inaya sedangkan gadis itu sudah berbakti kepada perempuan-perempuan bertudung yang lain.
"Tapi kau tak bertudung macam dia."
"Dan aku tak nak isteri aku nanti suka tayang body dekat jantan lain. Kau penari Inaya. Kau tahu tak, dalam perspektif Islam. Tarian kau itu ada unsur-unsur tak bermoral. Kau menari di hadapan khalayak ramai, depan lelaki. Gerakan tubuh kau itu menonjol."
"Nampak murah. Macam pelacur."
Nufail pejamkan mata buat seketika. Teruknya kau, Pael. Ya Allah, apa aku dah buat ini?
"Kadang-kadang, Inaya buat persembahan tarian semata mahu kutip dana penambahbaikan rumah kebajikan ini. Ada masa, dia lansung tak ambil hasil keuntungan tiket persembahan dia. Dia serahkan semuanya dekat umi. Tapi tak ada siapa pun tahu tentang semua tu. Inaya rahsiakan daripada pihak media dan masyarakat luar." Bagi umi, Inaya persis bidadari dunia. Tolak tepi sebentar hal dia tak bertudung. Mungkin sampai masa nanti gadis itu jauh lebih baik daripada mereka semua.
"Umi, selalunya kalau Maleeqa merajuk, macam mana nak pujuk dia?" Tanya Nufail. Hatinya tak tenang selagi gadis itu masih marah terhadap dia.
"Bingsu. Inaya suka bingsu, dan matcha. Selalunya Inaya lepaskan amarah dia melalui tarian. Itu pada pandangan umilah. Bingsu dan matcha pula, masa Inaya kecil-kecil dahulu dia selalu bermain dekat sini. Nenek dialah selalu bagi dia bingsu ataupun matcha tiap kali dia merajuk." Nufail mengangguk. Maklumat itu disimpan kemas dalam kepala.
Matcha dan bingsu.
"Arden, umi minta tolong kamu lindungi Inaya, ya? Lindungi dia daripada kekejaman dunia ini. Lindungi dia daripada mata-mata yang berniat jahat kepada dia. Umi bukan ibu kandung Inaya, tapi umi juga saksi Inaya membesar sejak kecil lagi." Pinta umi. Kerana tak mahu kecewakan hati wanita itu, Nufail sekadar angguk biarpun dia tak faham.
Mungkin antara 'kekejaman' yang disebut umi termasuklah manusia seperti Dato' Khalid itu.
Usai Inaya keluar dari rumah agam tersebut. Dia mengajak Nufail pulang. Rasanya agak lama juga dia berada di sini. Pasti Nufail pun sudah bosan. Inaya tak mahu Nufail terlalu lama menunggu. Dia luar juga agak panas. Inaya takut Nufail tak selesa. Tangan tua umi disalam Inaya. Nufail juga meminta diri secara sopan. Tak lupa juga umi mengalu-alukan kedatangan Nufail nanti.
"Umur kau berapa, Maleeqa?" Inaya yang sedang membelek jarinya terhenti.
"23 tahun. You pula?" Rasanya dah lama dia nak tahu umur Nufail. Cuma tak pernah sempat bertanya. Nufail kan period memanjang! Susah nak beramah mesra.
"Mudanya." Komen Nufail pendek. Masih belum jawab soalan Inaya tadi. Inaya berdecit. 23 tahun bukannya bawah umur pun.
"Cepatlah, umur you berapa?"
"27 years old." Ringkas. Cukup sekadar menjawab soalan Inaya tadi.
"Old man," komen Inaya pula. Sebelah kening Nufail terangkat. Orang tua dia panggil aku?
"Orang tua ini juga kau pernah suka." Inaya ketap bibir. Boleh pula lelaki ini mengungkit? Tolonglah, siapa saja tak suka kalau ada lelaki tampan depan mata? Masa itu hal umur pun semua dicampak ke tepi. Rupa lebih menarik. Tapi Inaya belajar sesuatu. Do not judge a book by its cover. Sebab dia pandang rupalah dia banyak makan hati selama dua bulan ini!
"Kenapa? You dah suka I pula ke?" Tanya Inaya pula. Mana tahu situasi sekarang terbalik. Boleh dia buli Nufail habis-habisan.
"Jangan perasan, Maleeqa."

ANDA SEDANG MEMBACA
[C] Bukan Bidadari Nufail
RomanceBOOK 2. Spin-off Aryan: Her Biggest Heartbreak Kata Darya, Arden Nufail ini bersikap lembut walaupun dingin. Namun, kenapa dia bersikap kasar terhadap Inaya Maleeqa? Tutur kata lelaki itu pedas sekali. Lansung tidak menjaga sekeping hati Inaya. Dan...