Bab 57

5.8K 204 6
                                    

Sampai hati Azril buat aku macam ni. Aku masuk hospital pun dia tak datang menjenguk apatah lagi nak menjaga. Bila aku dibenarkan untuk keluar dari hospital, aku cuma minta dia jemput aku. Itu pun dia tak mahu. Yang paling sedih, dia kata dia sibuk. Sibuk sangatkah dia sampai sanggup mengabaikan aku?

‘Bukan hubby saja hilang isteri. Wifey pun hilang suami. Suami yang akan jaga dan sayang Nita melebihi nyawa dia sendiri. Yang sentiasa maafkan Nita. Yang sentiasa faham Nita’ Gumamku.

Aku mencampakkan bag aku keatas sofa. Aku duduk lemah. Terbaring sedikit. Umar Khalif ambil beg aku dan membawanya naik ke atas. Aku biarkan saja.

Aku cukup lemah saat ini. Bukan saja badan malah otakku juga tidak mampu berfikir. Aku letih. Aku tak mampu untuk fikir apa lagi.

Mujur tadi aku belum sempat beritahu jururawat untuk menunggu Azril untuk melakukan urusan keluar hospital. Masa tu aku fikir, mungkin sempat untuk Azril sampai sementara menunggu pihak hospital berurusan dengan pihak insuran.

Hubby busy

Huh, cliché sangat alasan tu. Azril yang aku kenal mana pernah sibuk untuk aku. Sentiasa ada masa untuk aku kecuali dia sedang bertugas. Ini dia sedang bercuti. Aku tahu. Dia baru balik dari Uzbekistan. Aku tahulah. Sudah lebih seminggu tak dapat hubungi dia. Korang rasa aku tak cari dia dipejabat ke? Mestilah aku akan telefon pejabatnya bertanyakan dia. Mereka yang memberi maklumat dia ke mana dan bila akan sampai di Malaysia. Sebab itu aku tahu dia sudah sampai di Malaysia. Sebab itu aku jumpa Bonda. Kalau dia menyorok rumah Bonda.

Itulah orang kata, sarang tembuan jangan dijolok. Bila dijolok, buruk padahnya. Azril umpama sarang tembuan. Lihat dia diam diatas pokok tapi bila kita jolok, tengoklah padahnya sekarang.

Bukan sekejap dia merajuk. Ini dah hampir dua minggu dia hilang dari pandangan mata. Muncul sekejap kerana aku berjaya pedayakan dia untuk balik menggunakan telefon bimbit Umar Khalif yang aku jumpa secara tak sengaja sewaktu mengemas tempat tidur anak bujang aku itu.

Umar Khalif punyalah marah sewaktu aku ceritakan tentang kejadian pagi itu. Katanya aku mengeruhkan lagi keadaan. Malam itu pula, bertubi-tubi panggilan telefon aku terima dari Hang lima bersaudara. Mereka juga menuduh aku mengeruhkan keadaan.

Masalahnya siapa yang mengeruhkan keadaan? Bukankah Azril? Kenapa dia nak marah sangat? bukankah aku sudah memohon maaf. Sudah mengaku semua kesalahanku kepadanya. Dia yang mengeruhkan keadaan dengan masih lagi hendak merajuk dan mempertahankan ego.

“Ibu Lang, kami ikut saja kemahuan Ayah Lang bila dia kata dia nak sembunyikan diri. Nak tenangkan hatinya yang parah disebabkan Ibu Lang. Sebenarnya Ayah Lang dah sejuk. Hatinya dah terubat. Dia dah memang ada planning nak balik semula. Tapi Ibu Lang bukan tak kenal Ayah Lang, dia tak suka orang menipu dia. Ibu Lang tipu dia. Sekarang ni kami pun tak dapat hubungi dia. Dulu sebulan lebih dia hilang, kami masih tahu dia sihat, selamat dan kami masih boleh nak nasihatkan dia tapi bila Ibu Lang buat macam ni. Entahlah Ibu Lang” Zil pun telefon aku dan dengan tenang dia berkata-kata. Dihujung katanya dia mengeluh lemah.

“Pandai-pandailah Ibu Lang nak cari Ayah Lang” Dan Zil terus matikan talian.

Rupanya selama ini mereka berenam berpakat dengan Azril. Betul. Saat itu aku masih boleh hubungi Azril. Walau dia tak menjawab setiap panggilan telefonku tapi aku tahu dia membaca pesanan di applikasi whatapp yang aku kirimkan. Selepas peristiwa itu, tidak sekali pun aku dapat hubunginya. Mesejku di whatapp juga tidak sampai kepadanya.

Kini aku tidak juga boleh hubunginya. Selepas dia menyembur aku tadi, terus taliannya ditutup. Mesej aku sudah tidak diterimanya. Panggilan aku juga dijawab oleh operator syarikat telekomunikasi.

“Mengada-ngadalah Azril ni nak merajuk. Macam orang perempuan” tiba-tiba aku rasa marah sangat dengan Azril.

“Ibu baru sebulan lebih Ayah hilang dah nak marah. Ibu buat Ayah susah hati lagi lama. Ibu buat Ayah macam-macam, Ayah sabar saja. Tak ada marah-marah macam ibu” Umar yang baru turun duduk disebelahku.

Aku lihat bajunya basah sedikit. Tahulah aku anak ini sudah membasuh pakaian kami.

“Ayah ada sokongan dari semua anak-anak ibu tapi ibu semua anak-anak ibu semua marahkan ibu” Suaraku kendurkan.

“Kami tak marahkan Ibu. Kami sayang ibu” Pujuk Umar Khalif. Aku peluk Umar Khalif yang berada disebelahku. Telefon bimbit Umar Khalif berbunyi.

“Hello”

“Dah balik rumah. Meh lah datang rumah. Esokkan cuti” aku pandang Umar Khalif.

“Kak Mawar telefon. Diorang dekat LRT nak datang tengok ibu” Kata Umar Khalif.

Encik Hubby, Puan WifeyWhere stories live. Discover now