Kebiasaan bila Azril akan terbang ke destinasi yang jauh, dia akan pergi ke rumah bonda dan ayah. Kalau saat itu aku kerja, maka dia akan pergi sendiri. Kalau aku tak bekerja, kami pergi bersama. Tapi selalunya Azril akan ke rumah Mama dan menjemput aku dari sana untuk ke rumah bonda.
Aku suka cara Azril. Tak melupakan ibu bapanya. Malahan keluargaku juga. Sama rata. Adil. Tak ada istilah keluarga awak atau keluarga saya. Semua dia anggap keluarganya. Susah nak jumpa lelaki macam ni.
Azril akan terbang hari Isnin ni. Kali ni aku tau kemana sebab aku dengar dia beritahu nenda tadi. Kebetulan aku dengar nenda bertanyanya tadi.
Nenda sekarang dah pindah tinggal dengan bonda dan ayah. Kata Azril susah juga nak pujuk nenda tinggal dengan bonda. Baru ni nenda setuju tinggal dengan bonda kerana orang gaji kesayangannya sudah meninggal dunia. Nenda takut untuk tinggal sendirian.
"Berapa tahun dah kamu kahwin, Azril?" Nenda bertanya saat kami semua sedang berehat selepas makan malam.
"Dua tahun, Nenda" Jawab Azril lembut. Aku sudah mula tak senang dengan pertanyaan itu. Sekali lagi isu anak akan dibangkitkan.
Mula berasa rimas.
"Ambillah anak angkat. Selalunya berkat anak angkat ni, pasangan selalunya akan mengandung. Cubalah" Cadang Nenda.
"Kami ada 5 orang anak angkat, Nenda. Mawar, Damia, Aisyah, Ayush dan Zil" Balas Azril. Aku angguk dan senyum.
"Mereka tak tinggal dengan kamu. Lagipun, mereka ada mak bapa sendiri. Maksud nenda ambil anak angkat yang baru lahir. Nanti Nita boleh makan ubat untuk breast feed anak tu. Jadinya mereka anak susuan kamu. Dah serupa anak kamu. Nenda bukan apa. Nanti kamu dah tua. Siapa nak jaga?" Kata Nenda.
"Saya jaga Nita, Nita jaga saya" Jawab Azril sambil tersenyum.
Dia kemudian menarik tanganku lalu menciumnya. Aku mengelak. Malu. Kalau dengan bonda dan ayah aku tak kisah. Dah biasa sangat. Bukan takat tangan, muka aku pun dia tak kisah nak cium depan mereka. Tak malu langsung suami aku ni.
"Kalau panjang umur dan panjang jodoh. Buatnya..."
"Insya Allah, jodoh kami panjang. Insya Allah, kami mati bersama" Potong Azril.
Dia memang seorang yang sangat sensitif dengan pemikiran negatif. Dia tak suka ada perkataan yang negatif yang diluahkan oleh sesiapa pun. Dengan Mama pun dia selalu potong. Lama kelamaan Mama pun dah faham dan menjaga apa yang nak dikatakan bila dihadapan Azril. Aku pun sama terikut.
"Nenda ingatkan saja. Ajal, jodoh ni bukan kita tau" Kata Nenda seperti jauh hati.
"Rezeki kita pun dah ditentukan. Andai ada rezeki anak, alhamdulillah. Andai tiada pun, alhamdulillah. Kami redha. Pasti itu yang terbaik buat kami" Balas Azril.
Bonda dan Ayah hanya menjadi pendengar dan pemerhati saja. Sedikit pun mereka tak campur perbualan nenek dan cucu itu. Lagipun, Azril dibesarkan oleh nenda. Pasti Azril tahu bagaimana hendak menguruskan Nendanya.
Dari kecil lagi Azril sebenarnya tinggal dengan Nenda. Cuma setelah Tok Ayah meninggal 9 tahun yang lalu, baru Azril berkeras mahu tinggal bersama Bonda dan Ayah dengan alasan susah hendak lupakan Tok Ayah andai dia masih tinggal disitu sementalah Azril memang rapat dengan Tok Ayah.
Cerita bonda, bukan dia tak mahu bela Azril sendiri tetapi tak mampu nak menghampakan permintaan seorang ibu yang telah melahir dan membesarkannya. Kata bonda, perangai Azril banyak dipengaruhi oleh Tok Ayahnya.
Kata bonda, Tok Ayah dan Nenda minta agar Azril dididik oleh mereka di kampung agar Bonda dan Ayah dapat tumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan mereka. Tok Ayah merupakan pesara tentera manakala Nenda adalah seorang surirumah tangga sepenuhnya tetapi mewarisi seluruh harta tinggalan keluarganya setelah abang sulungnya meninggal dunia sebelum sempat berkahwin. Tidaklah banyak tapi boleh menampung kehidupan setiap generasi andai diuruskan dengan betul tanah tanaman sawit seluas 50 ekar dan 10 buah rumah sewaan.
Dek kerana itu kehidupan Nenda lebih mewah berbanding Tok Ayah yang hanya menggunakan wang pesaraannya untuk menampung kehidupan keluarga. Tok Ayah tak mahu menggunakan duit hasil harta Nenda kerana katanya tugas memberi nafkah adalah suami bukan isteri. Tok ayah nampak lembut tapi sangat tegas bukan bengis. Tok Ayah kalau tegur pun lembut tak seperti Nenda yang suka marah dan menengking. Tok Ayah juga bukan suami yang mendiamkan setiap kesalahan isteri tetapi menegur dengan penuh hemah dan bijaksana.
Dan aku akui Azril memang mengikut perangai Tok Ayah. Bonda juga ikut perangai Tok Ayah. Hebatnya Tok Ayah dapat mendidik 2 orang manusia mengikut acuannya walau isterinya punya kemewahan yang dibanggakan. Tentu kalau Azril punya anak, anaknya akan mengikut perangainya. Jangan perangai aku yang mengharu-birukan keadaan sudahlah.
"Tapi kenalah usaha juga. Rezeki tak akan datang bergolek" Ada nada sindir pada kata Nenda.
"Kami tengah usahalah ni, Nenda. Setiap malam kami usaha. Kejap lagi nak usahalah ni" Jawab Azril sambil mengangkat kening padaku.
Ya Allah, tak malunya suami aku ni. Aku pandang bonda dan Ayah yang menahan senyum.
"Kalau cara tu tak berkesan, guna cara lain. Kalau susah sangat, kahwin lain. Kamu tak kisahkan, Nita?" Serangan Nenda beralih pada aku. Aku gagap nak menjawab.
"Nenda, kalau rezeki anak tu belum Allah nak bagi. Kahwin lain pun tetap Allah belum bagi" Jawab Azril bagi pihakku.
"Nenda tanya Nita. Nita bagi kalau Azril kahwin lain?" Soal Nenda padaku. Baru aku hendak buka mulut.
"Nita memang akan kata tak kisah kalau sudah nenda memaksa tapi Azril kisah. Azril yang tak nak. Azril tak nak curang" Balas Azril. Walaupun masih tenang tapi aku rasa semacam sudah tergugat sedikit sabarnya.
"Tak ada istilah curang lelaki kahwin lebih dari seorang" tegas Nenda.
"Ayah kahwin lain lah kalau macam tu. Boleh bagi Azril adik" Azril menghala pada ayah. Ayah dan bonda masih diam. Aku tak tahu kenapa mereka langsung tak bersuara.
"Kenapa kamu babitkan ayah kamu dalam topik kita, Azril? Tak kesian pada bonda kamukah kalau ayah kamu kahwin lain?" Suara Nenda sudah kendur. Tidak lagi lantang lagi.
"Kenapa Nenda boleh kesiankan bonda. Kenapa tak kesian pada Nita juga? Bukankah dia juga perempuan? Nenda juga perempuan. Kenapa tak boleh faham sakitnya hidup berkongsi? Kenapa nak paksa Azril buat perkara yang Azril tak nak?" Azril membalas. Sedikit lantang dia melontarkan ideanya. Aku gengam tangannya. Menyalurkan sabar.
"Bercakap dengan kamu memang tak akan menang. Sama saja dengan tok ayah kamu. Cakap Nenda tak pernah betul. Semua kamu bangkang. Nenda cuma risaukan kamu bila dah tua nanti. Siapa nak jaga? Kalau sihat tak mengapa. Kalau sakit?" Nenda sudah mengalah. Aku nampak Azril menarik nafas dalam dan dilepaskan perlahan.
"Nenda, kalau pun saya ada anak. Saya tak mahu susahkan anak saya jaga kami. Menjaga dan mendidik anak itu tugas ibu bapa tapi bukan untuk balasan mereka jaga kami nanti. Insya Allah, kalau dipanjangkan usia dan jodoh kami, kami jaga diri kami sendiri. Lagipun anak-anak kami yang berlima tu boleh tengok-tengokkan kami. Insya Allah. Nenda jangan risaukan kami. Allah ada. Allah pasti ada planning yang lebih baik untuk kami" Jawab Azril. Tegas benar lontaran ayatnya. Nampak sangat yang dia sudah terluka.
Nenda sedikit memprotest sebelum bangun dan meninggalkan kami. Kami berpandangan sesama kami. Aku, Azril, Bonda dan Ayah.
"Kamu tidur sini, Azril?" Tanya Bonda.
"Tak bonda. Takut tak sempat sebab esok pagi dah kena ada kat airport. Kalau dari sini, jemmed teruk. Takut tak sempat" Jawab Azril lembut.
Bonda hanya mengangguk.
YOU ARE READING
Encik Hubby, Puan Wifey
SonstigesSebuah perkahwinan yang tak dirancang. Menjadi sebuah kisah yang manis dan pahit. Manis bila suami super romantik dan super sabar. Dapat isteri yang workaholic dan tak reti duduk diam. Pahit bila doa tidak dimakbulkan. Si nenek campur tangan. Memak...