Bab 55

5.5K 174 2
                                    

“Bonda, takkan Bonda pun tak dapat call Azril” Sekali lagi aku bertanya.

Sudah lebih seminggu dari kejadian itu berlaku aku tak dapat hubunginya. Aku cuba mencarinya melalui Facebook tapi dia sudah lama tidak online. Aku hantar banyak pesanan whatapp padanya tapi tidak satu pun sampai kepadanya. SMS juga aku hantar. Juga tidak sampai. Email pun tiada balasan. Aku buntu. Akhir sekali, terpaksa tebalkan muka bertanyakan Bonda.

Aku kenal Azril. Dia boleh belakangkan sesiapa saja didunia ni tapi tidak bondanya. Dia mampu melawan dunia tapi bukan Bonda. aku sangat faham suami aku itu. Makanya bila aku bertanya Bonda tentang Azril dan Bonda hanya senyap dan angkat bahu, aku tahu Bonda sudah bekerjasama dengan Azril.

“Kenapa yang kamu tiba-tiba cari Azril ni? Tak pernah selama kamu berkahwin cari Azril. Azril bukan pergi bekerja ke? Hari tu dia datang rumah katanya nak ke Uzbekistan. Ganti kawan dia. Selalu kalau dia pergi bekerja kamu tak call dia pun kecuali kecemasan. Ini kecemasan apa ni? Kamu sihat. Umar pun elok saja ni” tanya Bonda.

Aku tak tahu nak jawab apa. Sesungguhnya Bonda sangat tahu perjalanan perkahwinan kami. Apa yang Bonda tak tahu? Aku yakin Azril sudah bercerita tentang masalah perkahwinan kami pada Bonda. entah kenapa aku sangat pasti.

“Rasanya Bonda tahu kenapa. Mustahil Azril tak bercerita apa-apa pada Bonda” Aku tiba-tiba serkap jarang Bonda.

Bonda geleng.

“Akhir-akhir ni memang dia macam kurang ceria. Datang rumah Bonda pun seorang saja. bila Bonda tanya kenapa kamu tak ikut, katanya kamu sibuk. Jadi Bonda tak syak apa-apa. Hari tu muka dia bukan sekadar tak ceria tapi lebih pada sedih Bonda tengok tapi bila ditanya dia geleng. Cuba cerita dekat Bonda, Nita. Apa sebenarnya yang dah berlaku dalam rumahtangga kamu ni?” Tanya bonda.

Kalau dah Azril mengeleng takkan aku nak bercerita. Kalau dia tak cerita pada Bonda pasti dia ada alasan yang kukuh untuk tidak bercerita. Makanya aku pun ambil langkah gelengkan kepala.

Akulah punca ketidakceriaan Azril. Aku juga punca kesedihannya. Tapi aku pun sedih dia tolak keikhlasan aku meminta maaf. Dia tolak kemaafan aku. Dia tolak aku.

“Umar Khalif” Bonda memanggil anakku. Aku tahu pasti nak korek cerita pada Umar Khalif.

“Umar, kenapa ibu dan Ayah sedih ni?” Tanya Bonda.

Aku gelengkan kepalaku pada Umar Khalif. Mataku jengilkan pada dia sebagai amaran untuk senyap.

“Umar tak boleh cerita. Nanti ibu marah” Jawab Umar Khalif.

Aku sedikit lega kerana Umar Khalif faham maksud aku. Bagus anak ni.

“Tak apa. Nenda ada. Ibu tak berani nak marah” Bonda cuba memujuk Umar Khalif.

“Bonda. Nita balik dululah. Umar tadi kata nak makan tutti frutti. Karang tutup pula” Aku terus bersalam dengan Bonda dan menarik tangan Umar Khalif.

“Ibu, boleh ke bohong macam tu? Tak dosa ke?” Umar Khalif bertanya aku bila kami sudah berada didalam kereta.

“Habis tu yang Umar sorokkan telefon yang Ayah beli tu dari ibu, tak kira bohong ke?” Tanyaku kembali.

“Umar bukan bohong tapi Ayah cakap jangan beritahu ibu” Jawab Umar.

“Macam tu ibu bukan berbohong tapi ibu larikan diri sebelum Umar buka cerita pasal ibu dan Ayah. Nak tutup malu” Jawabku kembali.

“Tapi ibu berbohong lah sebab tutti frutti tutup malam. Ni baru pukul 3 petang. Umar pun tak ada pun kata nak makan tutti frutti. Baru terasa nak makan lepas ibu sebut” Kata Umar Khalif.

“Diamlah, Umar” Marahku.

Aku tahu aku salah tapi tak payah nak tunjukkan sangat salah aku. Perangai macam Ayah dia. Suka paksa orang mengaku.

Aku terus memandu ke arah Sunway Giza. Alang-alang sudah berkata nak makan tutti frutti, baik buat. Kalau tidak, ternyata sangat aku berbohong. Tak baik untuk perkembangan akhlak Umar Khalif.

“Umar nak apa?” Aku bertanya padanya.

“Nak campur semua. Macam biasa” Jawabnya.

“Pergi ambil cup” Sebenarnya aku mahu dia pilih sendiri nak bekas besar mana. Aku lihat dia ambil yang kecil. Dia memberikan bekas itu kepadaku.

“Untuk ibu?” Sambil aku memenuhkan aiskrim didalam bekas kecil Umar Khalif. Setiap perasa aku bubuh sedikit saja.

“Ibu nak besar mana?”

“Macam biasa” Dan dia ambilkan aku juga bekas yang kecil.

Encik Hubby, Puan WifeyWhere stories live. Discover now