Bab 90 - Pelanggan Terakhir

31 3 0
                                        

Fareena menolak pintu rumah sewa kecil itu perlahan-lahan. Nafasnya masih tercungap. Suara Dae Hyun, pandangan mata lelaki itu, semuanya masih berputar di kepalanya.

Tangannya menggigil saat memutar tombol pintu bilik dan perlahan-lahan dia melabuhkan punggung ke tilam nipis di lantai. Tubuhnya menggigil bukan kerana cuaca, tapi kerana getaran perasaan yang terlalu sukar dijelaskan.

"Macam mana dia boleh muncul kat situ?" bisiknya perlahan, berulang kali.

Dia renung tangannya yang masih terasa hangat—bekas sentuhan Dae Hyun yang sempat meraih lengannya sebentar tadi. Air mata mula mengalir, satu demi satu.

Dia cuba tidur, tapi setiap kali pejam mata, wajah Dae Hyun datang. Suara lelaki itu memanggil namanya dengan nada penuh rindu. Tapi di balik semua itu, perasaan takut juga menguasainya. Takut disakiti semula. Takut kalau semuanya hanya sementara.

"Kenapa baru sekarang? Kenapa waktu aku hampir kuat berdiri sendiri... dia datang semula?"

Fareena bangun, membuka langsir dan memandang ke luar jendela. Angin musim bunga menyapa lembut wajahnya. Dia pegang perutnya—anaknya masih di situ. Perlindungan pertama dan terakhirnya.

"Aku tak boleh lemah lagi... Tapi aku juga tak kuat kalau dia betul-betul berubah."

Malam itu, dia termenung hingga hampir subuh. Dalam diam dia tahu, esok tak akan sama. Dan persoalan yang berlegar dalam benaknya masih belum punya jawapan:

Adakah Dae Hyun benar-benar datang untuk menebus segalanya... atau sekadar luka yang belum sembuh, kini berdarah semula?

________

Pagi itu, matahari muncul malu-malu di balik langit kelabu Seoul. Angin musim bunga masih sejuk, menyentuh pipi Fareena saat dia melangkah keluar dari rumah sewanya. Dia memakai jaket nipis dan menyarungkan tudung cepat-cepat, kononnya mahu ke kedai seni awal—tapi sebenarnya, hatinya resah dan tertanya-tanya... masih adakah Dae Hyun?

Langkahnya perlahan, cuba mengintai dari celahan tangga rumah kayu itu. Dan di bawah, bersandar pada dinding kedai yang belum dibuka, seorang lelaki berdiri dengan tangan dalam poket.

Dae Hyun.

Dia masih di situ. Dengan hoodie hitam dan wajah yang kelihatan sedikit sembap, seperti tidak cukup tidur. Mata mereka bertemu—dan seketika dunia sunyi. Dae Hyun berdiri tegak, lalu membuka mulut perlahan.

"Abang tak balik pun, Fareena. Abang tunggu sampai sayang sedia bercakap dengan abang ."

Fareena terpempan. Suaranya masih seperti dulu—tapi kali ini tanpa kemarahan, tanpa ego. Ada nada harapan yang buat jiwanya goyah.

"Kenapa..." Fareena bersuara perlahan, tangannya mengusap perut yang makin sarat.

"Sebab abang tak nak kehilangan sayang lagi. Biarpun semuanya dah hancur, abang tetap nak perbaiki. Kalau sayang izinkan..."

Mata Dae Hyun berkaca. Dia melangkah setapak, tapi tidak memaksa.

Fareena tunduk, hati berkecamuk. Tapi dalam keliru itu, dia tahu—hatinya belum pernah berhenti berharap.

"Kamu nak jumpa anak kita?" soalnya perlahan, memandang lelaki itu penuh tanda tanya.

Dae Hyun hanya mengangguk. Perlahan-lahan, dengan jari yang menggigil, Fareena hulurkan tangan ke perutnya.

Dan pagi itu, untuk pertama kalinya... mereka berkongsi sunyi yang damai.

__________

Di sudut paling hujung kafe seni itu, Dae Hyun duduk senyap dengan secawan latte yang sudah hampir sejuk. Rambutnya sedikit beralun, topi sukan hitam menutupi dahi, tapi wajahnya masih jelas—terlalu dikenali untuk sesiapa yang biasa melihat dunia hiburan Korea.

Fareena sibuk di kaunter hadapan, mencuci berus dan menyusun peralatan melukis. Sesekali dia melirik ke arah pelanggan misteri itu. Dia tahu siapa dia, tapi cuba bersikap biasa—seperti pelindung yang belum sedia terbuka semula.

Dae Hyun tak lepas pandang. Gerak Fareena yang lembut, wajahnya yang kini sedikit tembam, keletihannya yang jelas... Semua itu menggigit hatinya perlahan-lahan.

"Oppa! Betul ke ni Daniel Cha oppa?"
Seorang gadis remaja datang menghampiri, memegang telefon dan senyum lebar.

Dae Hyun tersenyum tipis dan mengangguk sopan.

"Ya, tapi saya di sini bukan sebagai selebriti hari ni. Boleh?"

Gadis itu faham lalu berundur dengan isyarat "fighting!" dan kawan-kawannya bersorak perlahan di meja seberang.

Fareena nampak segalanya, bibirnya mengetap rapat. Tapi jauh di sudut hati, ada rasa kagum. Bukan kerana dia selebriti, tapi kerana kesungguhan lelaki itu duduk berjam-jam tanpa mengganggu, hanya menunggu.

Waktu rehat tengah hari, Fareena menghampiri meja Dae Hyun.

"Kopi kamu dah sejuk."

"Tak apa... Abang tunggu sesuatu yang lebih penting daripada kopi."

"Kamu masih sama..." jawab Fareena, cuba mengawal suara yang hampir bergetar.

"Tapi abang nak jadi lebih baik. Kalau sayang izinkan."

Dia mendongak, pandangannya jujur dan tenang. Fareena tidak menjawab. Dia hanya meletakkan secawan kopi panas yang baru dan berlalu semula ke kaunter.

Tapi dalam hatinya—secawan harapan itu sudah mula
berbunga.

_______

Kafe seni itu mulai lengang. Langit luar sudah berwarna jingga, dan Fareena menutup tirai satu demi satu. Hanya tinggal Dae Hyun yang masih duduk di sudut hujung, matanya tidak beralih dari wanita yang sudah terlalu lama dia rindukan.

Fareena menghampiri dengan perlahan. Dia berdiri tegak di hadapan Dae Hyun, memeluk tubuh sendiri. Suaranya keluar perlahan, tapi cukup tajam menusuk ruang yang tenang.

"Kenapa kamu datang, Dae Hyun?"

Lelaki itu mendongak perlahan. Matanya yang redup kelihatan berkaca, namun dia tersenyum kecil, pahit.

"Abang tak boleh lagi pura-pura kuat, Fareena. Abang cuba, sungguh. Tapi... sejak sayang pergi, abang bukan diri abang yang dulu."

Fareena menarik nafas dalam.

"Tapi kamu biarkan saya pergi."

"Kerana abang fikir, itu akan buat sayang selamat. Abang fikir... abang boleh lupakan semua ini dan ikut rancangan Ayah. Tapi abang silap. Dan bila abang sedar, semuanya dah terlalu jauh."

Dia berdiri perlahan-lahan, langkahnya sedikit goyah. Fareena baru perasan kulit lelaki itu semakin pucat, seakan tidak sihat.

"Abang sakit, Fareena. Bukan cuma hati abang ... tapi jasad abang juga. Dan mungkin... mungkin ini semua balasan."

Fareena tergamam. Kata-kata Dae Hyun buat jiwanya bergoncang. Tapi dia masih menahan diri.

"Jadi sekarang kamu datang, nak apa sebenarnya?"

"Abang nak minta peluang. Bukan untuk betulkan semuanya sekaligus. Tapi untuk jadi seseorang yang sayang tak perlu lari daripadanya lagi."

Mata mereka bertaut. Sunyi seketika. Hanya bunyi jam dinding berdetik perlahan di ruang itu.

"Berikan abang masa sehari saja. Jika lepas itu sayang masih mahu abang pergi... abang akan pergi. Tapi hari ni, biar abang jadi pelanggan terakhir kafe ni. Boleh?"

Fareena menahan senyum di balik bibir yang hampir bergetar.

"Baiklah, tapi saya caj lebih mahal dari biasa."

Dae Hyun ketawa kecil, suara yang dia rindukan selama ini kembali bergema di ruang hatinya.

Bersambung...

𝐁𝐚𝐰𝐚𝐤𝐮 𝐉𝐚𝐮𝐡-𝐉𝐚𝐮𝐡Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang