☯ bab 14

409 105 20
                                    


Sebuah kereta Myvi membelok masuk ke pekarangan rumah Haji Daud. Kemudian kereta itu diparkir di belakang kereta Haji Daud yang terletak di bawah garaj.

Selepas mematikan enjin, Hadi keluar dari perut Myvi itu sambil menggalas sebuah beg di bahu. Tangan kirinya turut menjinjit satu paper bag. Langkah diatur menuju ke pintu dapur rumah Haji Daud.

Salam kesejahteraan diberi. Selang beberapa minit pintu itu dibuka dan muncul seorang lelaki tua berkaca mata. Hadi menghulur tangan untuk bersalaman dengan lelaki tua itu. Tangannya disambut dan Hadi tunduk mencium belakang tapak tangan Haji Daud.

"Abah sihat?" Soal Hadi kepada Haji Daud.

"Alhamdulillah sihat. Lama kau tak balik sini." Haji Daud membalas.

Ketika ini mereka berdua telah pun duduk di bangku kat meja makan.

"Busy sikit, Bah. Abah dah makan? Ni jiran depan rumah Hadi ada kirim makanan sikit. Hadi panaskan dulu, nanti abah makan tau."

Haji Daud mengangguk kecil. Dia hanya memandang anak sulungnya itu bangun untuk memanaskan makanan tersebut di dapur.

Selang beberapa minit kemudian, Hadi muncul semula di ruang makan itu bersama juadah yang telah dipanaskan olehnya.

"Jom Bah makan."

Mereka makan berdua. Rumah banglo satu tingkat itu terasa amat sunyi.

"Berapa lama kau cuti kali ni?" Haji Daud bertanya kepada Hadi bagi mengurangkan kesunyian yang mencengkam.

"Seminggu je Bah. Nak habiskan cuti tahunan. Bisness Abah ok? Siapa jaga kedai?"

"Biasalah, kadang ok kadang tak. Fikri dengan Aryan yang tolong jaga kedai tu. Diorang pekerja aku yang paling cemerlang setakat ni." Balas Haji Daud sambil makan.

Hampir dua puluh satu tahun Haji Daud membangunkan dan mengusahakan sebuah kedai alat telekomunikasi yang menjual pelbagai jenis gadget di bandar Kluang.

Pernah satu ketika dulu, perniagaan Haji Daud mengalami kerugian yang amat teruk. Sehinggakan sanggup isterinya yang dicintai meninggalkannya pada waktu itu.

Umur anak sulungnya baru mencecah angka 12 tahun semasa Haji Daud berpisah dengan bekas isterinya. Manakala anaknya yang kedua pada waktu itu baru berumur 11 tahun dan anak bongsunya pula berumur 8 tahun.

Anaknya yang kedua dan ketiga tinggal bersama bekas isterinya selepas mereka bercerai. Manakala dia pula menjaga dan menyara anak sulungnya sendirian.

Hadi anak yang baik. Walaupun dia agak pendiam, tapi dia sangat sayangkan ayahnya. Dia pernah bertanya Haji Daud, kenapa ayahnya tak cari perempuan lain untuk dijadikan isteri nombor dua dan bagi menggantikan ibunya yang dah pun berkahwin lain pada waktu itu. Namun ayahnya hanya bagitahu, dia masih mampu untuk menjaga Hadi seorang diri. Hingga kini, ayah Hadi masih menduda dan tidak pernah berkahwin lain selepas bercerai.

"Assalamu'alaikum." Kedengaran satu suara melaung ucapan salam di pintu utama rumah Haji Daud. Loceng juga ditekan berulang kali.

"Wa'alaikumussalam." Jawab Haji Daud diikuti oleh Hadi.

"Siapa tu Bah?" Hadi bertanya kehairanan.

"Haiqal." Jawab Haji Daud lantas bangun dan menuju ke depan. Telinganya dah hafal sangat dengan suara anak bongsunya itu.

Pintu utama banglo satu tingkat itu dibuka dan terpampang wajah tampan Qiden yang sedang tersenyum. Tangan ayahnya disambar lantas dicium tanda hormat dan sayang.

Hadi yang baru muncul di belakang ayahnya di muka pintu itu memandang adiknya, Qiden yang sedang mengepit helmet di celah lengan kiri. Kawasaki Ninja milik Qiden tersadai elok di bawah pokok teduh di halaman rumah Haji Daud.

Qiden masih lagi tersenyum saat membuat fist bump dengan Hadi. Sememangnya bibir Qiden murah dengan senyuman. Berbeza dengan Hadi yang sangat susah untuk tersenyum.

"Bila kau sampai, Di?" Soal Qiden kepada Hadi.

Mereka bertiga melangkah ke meja makan.

"Baru je sampai ni tadi. Kau selalu ke balik sini?"

"Takde lah selalu sangat. Kadang seminggu sekali aku balik sini jenguk abah. Kadang dua minggu sekali. Lagipun bukan jauh pun JB dengan Kluang ni."

Qiden tinggal di Johor Bahru bersama ibunya dan ayah tirinya. Ibunya tidak mempunyai anak hasil perkahwinan kali kedua.

Hanya hujung minggu saja Qiden dapat meluangkan masa bersama ayah kandungnya. Kalau hari-hari bekerja, dia selalu sibuk di bengkel.

Dulu semasa masih bersekolah, dia sering lepak bersama abangnya Hafiz dan Hadi. Walaupun dia tak tinggal sebumbung dengan Hadi, namun keakraban mereka adik beradik masih dikekalkan hingga kini.

Dulu, semasa bersekolah menengah, mereka bertiga tinggal di asrama. Ibu mereka menghantar Hafiz dan Qiden ke sebuah sekolah menengah agama di Bandar Tenggara, Kulai. Manakala Hadi pula dihantar ke sebuah sekolah sukan di Kota Tinggi oleh ayahnya. Setiap kali hujung minggu, mereka bertiga akan keluar untuk outing bersama.

"Haiqal, kau dah makan?" Haji Daud menyoal Qiden.

"Dah, tapi sarapan pagi tadi je Bah. Kenapa? Abah ada masak something special ke hari ni?" Qiden seakan teruja. Dia tahu ayahnya itu memang pakar memasak.

"Taklah. Aku malas nak masak hari ni. Hadi ni tadi ada bawak tomyam ayam dengan tomyam cendawan. Kau makanlah. Aku nak pergi masjid. Jap lagi dah nak masuk waktu Zuhur." Usai berkata begitu, Haji Daud terus menghilang ke biliknya. Sejak pulang dari menunaikan haji, Haji Daud makin kerap berjemaah di masjid. Kalau dulu, dia sering lalai dengan duniawi.

Hadi dan Qiden meneruskan langkah ke ruang makan. Tadi Hadi dan Haji Daud dah pun siap makan. Tapi masih ada sedikit lagi baki lauk dan nasi tersebut.

Qiden meletak helmetnya di atas meja makan. Dia berlalu ke dapur untuk mengambil pinggan dan sudu. Sekembalinya dia ke ruang makan, Hadi sedang duduk sambil bermain ps vita.

"Adi, kau masak ke tomyam ni?" Soal Qiden sambil menikmati makanan itu.

"Jiran depan rumah aku yang masak. Aku mana geti masak mende macam ni. Masak nasi goreng aku geti ah." Jawab Hadi. Dia masih tekun dengan game di tangan.



Kayu. [√]Where stories live. Discover now