DIA | 1

45.6K 1.4K 63
                                        

Tangisan anak kecil berusia 7 tahun bergema di ruang tamu kecil rumah papan itu. Teresak-esak gadis kecil itu menangis. Dipeluk jasad yang sudah kaku tidak bernyawa itu.

"Abah... abah..." gadis 7 tahun itu mengongoi teresak-esak. Dibiarkan hingus dan air matanya mengalir. Seketika, tubuhnya ditarik dari belakang namun semakin kuat dia memeluk tubuh kaku yang berbalut kain putih itu.

"Lepas! Ara nak abah! Lepas!" Suara kecilnya menjerit. Dia meronta dalam tarikan itu. Akhirnya, pelukannya terlepas. Semakin kuat tangisannya.

Dia duduk meringkuk di sudut rumah melihat orang ramai mengangkat jasad arwah abahnya yang sudah tidak bernyawa itu. Dia mahu ikut. Dia mahu ikut abahnya.

Setelah melihat orang ramai mula mengusung jenazah keluar dari rumah, pantas dia berlari mengejar mereka yang sudah mula bergerak membawa abahnya untuk dikebumikan.

"Abah! Abah! Jangan tinggalkan Ara! Abah!" Jeritnya kuat. Tubuh kecilnya pantas ditarik oleh jirannya yang masih berada di halaman rumahnya. Dia meronta keras namun siapalah dia untuk melepaskan diri dengan keadaan dirinya yang masih kecil itu.

Kelibat ibunya yang mula meninggalkan rumah, dijerit kuat. "Ibu, Ara nak ikut! Ara nak ikut ibu!"

Puan Nora yang baru sahaja ingin melangkah mengikuti mereka ke kubur, terus berpaling menghadap wajah budak kecil itu. Bila melihat wajah budak itu, terus rasa marahnya meluap-luap. Diketap giginya kuat. Air matanya yang sudah kering itu dibiarkan di pipi. Dia bergerak menuju ke arah gadis kecil itu lalu rambutnya ditarik kuat.

"Kau jangan mimpi nak ikut aku! Sebab kau! Sebab kau suami aku mati! Aku tak nak tengok muka kau!" Ditolak tubuh kecil Adra hingga terlentang di atas tanah.

"Ya Allah, Nora! Tak baik buat Ara macam tu. Istighfar banyak-banyak." Nasihat Mak Wan yang ada di situ. Terkejut dia melihat Puan Nora menolak Adra hingga terjatuh.

Puan Nora merengus kasar. Sempat dia menjeling gadis kecil itu yang masih teresak-esak menyebut namanya dan suaminya. Sakit telinga mendengar tangisan gadis itu, lalu dia mula meninggalkan mereka. Dia tidak mahu terlepas melihat pengebumian suami tersayang.

✨✨✨

Selesai sahaja majlis pengebumian petang tadi, orang ramai mula beredar meninggalkan rumah mereka. Sekarang, hanya tinggal dia dan Adra yang dari tadi menangis tak henti-henti di depan pintu.

Disebabkan rasa bingit mendengar tangisan budak itu, pantas dia menarik kasar lengan gadis itu sehingga memaksa gadis itu bangun.

"Hei, kau boleh senyap tak?! Aku bingitlah dengar kau menangis. Kau ingat dengan menangis, kau boleh bangunkan suami aku balik? Ha?!" Dijerkahnya gadis 7 tahun itu. Makin teresak dibuatnya.

"Kau ni tak faham bahasa ke? Sebab kau suami aku mati! Kalau bukan sebab suami aku nak tolong kau, mesti dia tak akan tinggalkan aku. Kau ni memang bawa malang tahu tak! Bodoh! Bangang!" Dimaki pula gadis kecil itu sambil ditunjal-tunjal kepala gadis itu.

"Ibu... sakit, bu..."

"Siapa ibu kau? Aku bukan ibu kaulah! Pergi mampuslah kau!" Seakan dirasuk, dia menolak kuat gadis itu. Sekali lagi, budak itu tersembam. Langsung tak dipeduli gadis kecil itu menangis. Terus dia masuk ke dalam bilik tidur. Mengunci diri.

Di luar, Adra masih lagi menangis. Mulutnya tidak henti-henti menyebut dan memanggil abahnya. Makin sayu hatinya tatkala dia langsung tidak dapat melihat abahnya buat kali terakhir. Langsung tiada siapa yang sudi membawanya ke kubur tadi petang.

"Ara rindu abah..."

Flashback...

Adra bermain di gigi air sambil berlari-lari anak. Seronok betul dia bila dapat keluar bermain air di tepi sungai. Bukan selalu abahnya nak bawa dia ke sini. Kebetulan, hari ini abahnya ingin memancing, jadi dia pun ikut sama.

"Hati-hati, Ara. Licin batu tu." Sempat Encik Azmi berpesan. Sesekali dia memandang anak gadisnya itu. Baru sahaja dia ingin memasang mata kail, telinganya menangkap sesuatu seakan terjatuh ke dalam sungai.

Terus dipandang ke tempat Adra bermain tadi. Hilang! Disebabkan rasa kalutnya, terus dia melempar pancing ke tepi. Dia bergerak ke tempat Adra bermain tadi. Matanya meliar mencari tubuh kecil Adra di dalam air.

"Abah! Ab-- abah!" Tiba-tiba, matanya menangkap tubuh Adra yang tenggelam-timbul sambil tangannya terawang-awang di udara.

Tanpa berfikir panjang, terus dia terjun ke dalam air untuk mendapatkan anaknya yang masih lagi teriak meminta tolong. Bila terasa kakinya sudah tidak jejak ke tanah, barulah dia perasan bahawa dia sudah berada di tengah sungai. Sudahlah dia tidak berapa pandai berenang. Namun, disebabkan anaknya yang masih lagi menjerit itu, dicuba juga meraih tubuh Adra yang sudah tenggelam-timbul di dalam air.

"Azmi! Azmi!" Laungan daripada Encik Daud membuatkan Encik Azmi terus menarik lengan Adra mendekat.

"Daud, tolong! To-- tolong aku, Daud. Tolong ambil anak aku!"

Tanpa berlengah, terus Encik Daud berenang ke tengah sungai. Dia menarik tubuh kecil Adra yang sudah tidak bergerak itu. Mujur, dia pandai berenang. Dia membawa tubuh Adra ke pinggir sungai.

Baru sahaja dia ingin berenang untuk mendapatkan Encik Azmi, dia ternampak yang kawan baiknya itu sudah pun tenggelam di dalam sungai dalam itu. Tanpa menunggu, dia terus berenang mendapatkan Encik Azmi yang sudah hilang di dalam air. Orang ramai sudah pum berkerumun di situ. Ada yang cuba mengeluarkan air dari dalam badan Adra.

Seketika, Encik Daud berjaya membawa Encik Azmi yang sudah tidak bernyawa ke pinggir sungai. Terus ditekan dada Encik Azmi beberapa kali. Apabila tiada respon, terus diletakkan jari telunjuknya pada hidung Encik Azmi. Tidak bernafas. Nadi Encik Azmi juga turut tidak berdenyut.

"Innalillahiwainnahirajiun..." ucap Encik Daud. Terduduk dia di situ. Adra yang masih lagi tidak sedarkan diri dipandang. Sekurang-kurangnya, gadis itu terselamat.

Kemudian, dipandang pula Encik Azmi yang tidak bernyawa. Sedih. Hatinya sedih. Demi menyelamatkan anaknya, dia yang pergi menghadap Ilahi.

Innalillahiwainnahirajiun...

Flashback end.

Cintai Aku. [ complete ]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang