DIA | 60

28.1K 805 9
                                    

Sejak Afiq selalu mengucapkan ayat-ayat yang mempunyai maksud mendalam, Adra perlahan-lahan cuba menjauhkan dirinya daripada lelaki itu.

Dia tidak selesa. Dia masih lagi menjaga batasnya sebagai seorang perempuan dan juga seorang isteri walaupun Adra sedar bahawa Rafique mungkin sudah melupakan dirinya.

Buktinya, sudah sebulan dia berada di kampung, tetapi Rafique masih tidak mencarinya sedangkan semuanya berpunca daripada dirinya sendiri. Jadi, memang tak patut kalau dia menanti lelaki itu padahal masalah ini dia yang timbulkan.

Jadi, Adra reda walau jauh di sudut hati... dia terlalu rindukan Rafique dan keluarga keduanya di sana.

Tapi, sepanjang dia berada di kampung, Afiq lah yang banyak membantunya apabila Lily ada hal. Sesungguhnya, Adra memang terhutang budi dengan Afiq.

Makanan tengah hari yang sudah siap dimasak untuk Puan Nora dibawa ke bilik tidur ibunya. Inilah rutin hariannya. Menjaga ibunya walau semakin hari, sikap Puan Nora yang tidak mengenalinya tetap sama. Tapi, dalam setiap doa Adra, tidak pernah putus dia berdoa supaya ibunya diberikan kesembuhan.

Dulang diletakkan di atas meja kecil sebelah katil. Puan Nora duduk di atas katil sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap.

"Ibu, jom makan," tutur Adra lembut. Setiap kali menatap wajah ibunya, hatinya pasti sebak. Sebak melihat keadaan ibunya begitu.

Puan Nora tidak mengalihkan pandangannya. Dia masih lagi termenung.

"Ibu, hari ni Ara masak sedap tau. Ara masak sayur air kentang. Ibu mesti suka." Adra cuba memujuk sambil tersenyum.

Adra menatap lama wajah ibunya dari tepi sebelum tiba-tiba Puan Nora berpaling dan menatap wajahnya. Adra terkedu. Apatah lagi melihat bekas air mata yang sudah kering di pipi ibunya.

"Ara..."

Bagai terpukul hatinya tatkala mendengar suara Puan Nora menyebut namanya. Sebak semakin bertandang.

"Ara... maafkan ibu..." ucap Puan Nora sayu. Tangan Adra dicapai lalu digenggam. Berdebar-debar dada Adra.

"Ara... ibu--- ibu banyak buat salah dengan Ara... ib-- ibu minta maaf, sayang... ibu minta maaf..." teresak-esak Puan Nora sambil menatap wajah Adra yang masih lagi terkedu itu.

"Ib-- ibu? Ya Allah, ibu!" Terus diraih tubuh Puan Nora ke dalam pelukan.

Mengongoi-ngongoi dia menangis. Dia tak sangka bahawa Puan Nora sudah ingat semula.

"Ibu... Ara rindu ibu... Ara sayang ibu..." ucap Adra mendayu-dayu. Belakang kepala Adra diusap perlahan. Puan Nora turut menangis.

Demi Allah, Adra terlalu gembira apabila doanya telah dimakbulkan. Adra kembali menatap wajah ibunya. Senyuman kesyukuran tidak lekang dari bibirnya.

"Ibu... ibu dah ingat Ara? Betul ibu dah ingat?" Soalnya bertalu. Seakan tak percaya.

Anggukan daripada Puan Nora membuatkan senyumannya semakin lebar.

"Ara maafkan ibu?" Soal Puan Nora. Tercebik-cebik bibirnya. Diusap kedua-dua belah pipi anak gadisnya.

"Ara dah lama maafkan ibu. Ibu tetap ibu Ara. Ara sayang ibu sangat-sangat..."

Sebak dada Puan Nora. Jika diingat semula kejadian dulu, bagaikan berat dosa yang ditanggungnya. Bagai tidak boleh dihitung dengan jari. Satu-persatu terlayar di fikirannya. Dulu, dia suka marah Adra. Menyalahkan Adra ibarat dia telah menyalahkan takdir. Kemudian, dihalau Adra dari rumah.

Besar kesalahannya terhadap gadis itu. Dia malu dengan anaknya sendiri. Betapa dulu dia terlalu membenci anaknya ini namun sekelumit perasaan dendam daripada Adra langsung tak ada walau bermacam perkara jahat yang dia lakukan.

"Ibu... ibu pun sayang Ara..." benar, dia sayangkan Adra. Dari dulu, tapi mungkin dia tidak boleh menerima ketentuan Allah jadi perasaan sayang terhadap anaknya itu terkabur serta-merta. Ibu mana yang tak sayang anak?

"Assalamualaikum!"

Mendengar sahaja suara orang memberi salam, bergegas Adra masuk ke biliknya untuk mencapai tudung kemudian dia berlari ke muka pintu.

"Afiq, Afiq..." panggilnya teruja.

Afiq memandang pelik. Dalam masa yang sama berbunga hatinya apabila Adra seolah-olah excited berjumpa dengannya.

"Afiq, ibu saya dah ingat saya. Dia dah ingat saya!" Cerita Adra terus. Lebar betul senyumannya.

Afiq turut tersenyum.

"Alhamdulillah..."

"Jomlah naik jumpa ibu. Jom!" Teruja betul Adra. Afiq ketawa kecil sebelum mengikut langkah Adra masuk ke dalam rumah.

"Ibu, ni Afiq. Ibu ingat Afiq?" Soal Adra.

Puan Nora menoleh ke arah Afiq yang berdiri di hadapan bilik tidurnya. Senyuman kecil dipamerkan.

"Ibu ingat-ingat lupa." Jawab Puan Nora.

Adra memandang Afiq dengan gelak kecil. Entah kenapa, Adra terasa sangat gembira. Mungkin hari ini merupakan hari yang paling gembira yang takkan pernah dia lupakan.

"Ibu, ibu nak makan? Ara suap." Terus diambil mangkuk bubur tadi. Puan Nora mengangguk.

Melihat dua beranak itu, Afiq perlahan-lahan keluar dari rumah untuk memberi ruang buat mereka berdua. Dia tak pernah melihat Adra sebahagia itu.

Dan Afiq bangga apabila dia menjadi orang pertama yang Adra beritahu berita gembira itu.

Assalamualaikum and hi everyone!

I want to say sorry, sorry and very sorry sbb terlalu lama tak update. Masa Ramadan, saya kena jaga butik so memang tak ada masa nak update even buat draft pun tak sempat. And hari ni barulah berkesempatan untuk update. Minta maaf sangat... :)

And nah, terimalah buah tangan daripada saya. In Shaa Allah, next bab saya update esok atau malam ni hihi

Selamat Hari Raya semuaaaa ❤️✨

Cintai Aku. [ complete ]Where stories live. Discover now